Masa yang sukar bagi burung di bandar

Burung di kawasan bandar mengalami masa yang sukar kerana banyak pokok yang rendang sering ditebang bagi memberi laluan kepada kompleks membeli-belah dan perumahan, pelebaran jalan, lebuh raya baharu, talian elektrik, tempat letak kereta dan menara komunikasi telefon bimbit yang sedang didirikan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beratus-ratus pokok dan semak telah dibersihkan bagi memberi laluan kepada projek pembesaran jalan dan penumpuan kawasan lapang yang besar.  Tanpa pokok, burung di bandar terperangkap dan tiada tempat untuk pergi, ia bersarang di atas struktur konkrit atau pun di atap bumbung kompleks perumahan.  Kemungkinannya, anak-anak burung yang baharu menetas itu akan dibunuh oleh panas terik matahari.

Jurutera jalan raya, perancang bandar dan pihak berkuasa tidak peduli atau tidak menyedari bahawa burung tidak mempunyai akses kepada buah-buahan, serangga dan tapak untuk bersarang jika tiada pokok. Tambahan pula, pemaju taksud dengan landskap buatan atau lebih suka tumbuhan eksotik dan import yang menghasilkan sedikit teduhan. Ilustrasi khusus trend ini ialah peningkatan populariti pokok palma di kawasan perumahan, yang tidak sesuai bagi burung kerana kekurangan dahan dan kanopi di bahagian atas, sekali gus tidak dapat memenuhi keperluan asas burung untuk makanan dan tempat tinggal.

Perancang bandar yang memberi tumpuan kepada kawasan pinggir bandar-luar bandar sering mengabaikan nilai biodiversiti yang sangat besar setiap kali mereka mengubah landskap secara drastik melalui penggunaan jentera berat. Banyak spesies burung kini jarang dilihat, seperti Burung Sewah Tahu, Burung Tiong Jambul Jawa, Merpati Ekor Kembang, Bulbul, Burung Kunyit Besar dan burung ciak rumah, kerana proses pembandaran secara besar-besaran.

Walaupun secara meluas diandaikan bahawa burung terbang jauh, ini tidak berlaku bagi burung Malaysia, yang bukan penerbang yang baik dan sering dilihat melompat dari dahan ke dahan atau pokok ke pokok, mencari makanan. Oleh itu adalah penting bahawa perancangan bandar mengambil kira keperluannya.

Burung bukan sahaja memainkan peranan penting dalam ekosistem, tetapi ia juga penting kepada banyak jaringan makanan. Contohnya, burung karnivor secara semula jadi mengekalkan populasi tikus di bawah kawalan, mengurangkan kerugian kewangan petani.

Selain itu, spesies burung yang mesra tanaman seperti Pucong Bendang dan Bangau memakan serangga, makhluk perosak, ikan dan ketam yang terdapat di tanah lembap dan sawah padi. Keadaan ini menunjukkan bahawa burung adalah sekutu berharga bagi petani yang biasanya bergantung pada racun makhluk perosak yang mahal dan sering memudaratkan untuk mengawal haiwan yang dianggap sebagai perosak.

Selain faedah ekologi kehadiran burung yang kaya, pergerakan, warna dan bunyi burung itu memperkayakan kualiti hidup manusia. Telah terbukti berulang kali bahawa hubungan rapat dengan alam semula jadi meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental kita.

Malangnya, masyarakat umum mempunyai persepsi negatif terhadap burung dan memandangnya sebagai pembawa penyakit dan gangguan. Stereotaip yang negatif mengenai burung ini akan hilang jika orang ramai lebih sedar mengenai peranan penting yang dimainkan oleh burung di alam sekitar sebagai pendebunga, penyebar benih, haiwan yang memakan bangkai dan pemangsa tikus dan haiwan kecil lain yang tinggal di ladang. Adalah penting untuk kita belajar untuk hidup dalam harmoni dengan spesies burung yang telah menyesuaikan diri dengan persekitaran buatan manusia dengan baik.

Proses memperkenalkan semula burung ke kawasan bandar bermula dengan penciptaan habitat yang sedekat mungkin dengan yang semula jadi, membolehkan ia berkembang dalam keadaan terbaik. Ini memerlukan peningkatan kepelbagaian tumbuhan untuk menampung banyak spesies burung yang bergantung kepada tumbuhan dan pokok bagi makanan dan tempat tinggal.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa negeri dan tempatan supaya menanam pokok asli yang menyokong hidupan liar dengan menghasilkan buah-buahan dan nektar serta menarik serangga dan burung pemakan benih. Ini adalah langkah pertama ke arah memperkenalkan semula burung ke persekitaran bandar. Sudah tiba masanya untuk membawa burung kembali ke bandar dengan menanam pokok yang lebih sesuai dan mengurangkan pemotongan pokok dengan ketara.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 3 Julai 2025