CAP GESA JAS DAN MPSP AMBIL TINDAKAN SEGERA
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran debu serta bau busuk yang berpunca dari operasi sebuah kilang melebur tin minuman di Taman Ria Jaya, Sungai Petani di sini.
CAP bimbang masalah yang mengancam kehidupan 380 keluarga di kawasan tersebut bukan saja menjejaskan keselesaan mereka tetapi juga kesihatan penduduk-penduduk terbabit di sini dengan lebih serius lagi jika ia dibiarkan berlarutan.
Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini (11 Mac 2021), CAP meminta JAS menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tegas agar kejadian ini dapat ditangani dengan berkesan dan tidak berulang.
Manakala MPSP perlu melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tidak ada mana-mana kilang yang beroperasi tanpa mengikut peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kerajaan Tempatan (PBT).
CAP turut meminta Pejabat Kesihatan menyiasat tahap kesihatan penduduk-penduduk yang terlibat kerana terdapat dalam kalangan mereka mendakwa mengalami penyakit lelah, gatal kulit, batuk dan pening dipercayai akibat terkena debu dan menyedut udara tercemar.
CAP berharap siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berkuasa berkenaan dan mendedahkan kepada umum hasil siasatan tersebut serta tindakan yang diambil bagi menangani masalah ini.
Kenyataan Media, 12 Mac 2021