Menjadikan MySejahtera satu mandatori menganiayai golongan buta IT dan miskin

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah keras tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menggunakan MySejahtera sebagai satu-satunya kaedah untuk mengesan kontak. Kemudian, sebuah pasar raya di Pulau Pinang tidak lagi menyediakan buku log untuk pelanggannya. Malah pelanggan dihalang dari memasuki pasar raya jika mereka gagal mengimbas code QR. Ini menimbulkan kesulitan dan kekecewaan kepada pelanggan terbabit.

Tindakan itu diambil berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Februari  bahawa pelanggan perlu mengimbas MySejahtera berkuatkuasa mulai 10 Februari. Mereka yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda RM1,000. Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada kawasan tanpa perkhidmatan Internet seperti di kampung dan daerah pedalaman.

Dengan memperkenalkan peraturan seumpamanya, ia mendatangkan ketidakselesaan kepada mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit atau hanya mempunyai telefon bimbit biasa, tanpa kemudahan melayari Internet. Begitu juga mungkin terdapat pelanggan yang sama ada mempunyai telefon pintar tetapi tidak melanggani pakej Internet, mempunyai telefon pintar dengan memori terbatas, atau mereka yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Teknologi Maklumat (IT). Ternyata kerajaan tidak memikirkan nasib golongan ini.

Kerajaan tidak boleh mengharapkan golongan tua dan miskin untuk bertukar kepada telefon pintar kerana mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk mempelajari kemahiran baharu, malah sesetengahnya mungkin tidak berkemampuan untuk membeli telefon pintar dan pakej Internet yang memerlukan langganan bulanan. Kerajaan kelihatan berdiam diri mengenai bagaimana golongan yang tidak memiliki telefon pintar akan mendaftar setiap kali membuat kunjungan, di mana gagal melakukannya akan dikenakan denda.

Dengan mengenakan peraturan berkenaan, kerajaan menganiayai mereka yang tidak memiliki telefon pintar. Malah kerajaan seolah-olah menghalang mereka yang tidak mempunyai telefon pintar dari pergi ke mana-mana, termasuk untuk membeli barang keperluan rumah. Sehubungan ini, kami menggesa kerajaan akan menimbang semula keputusan tersebut.

 

Kenyataan Akhbar, 25 Februari 2021