Masalah gangguan bekalan air paip di Kedah
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Syarikat Air Darul Aman (SADA) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air paip yang dihadapi oleh puluhan ribu penduduk di negeri Kedah ketika ini.
Tindakan sedemikian perlu diambil berikutan kemarau yang melanda negeri itu sekarang di mana mereka memerlukan bekalan air yang mencukupi, bersih dan selamat dari segi kesihatan untuk kegunaan harian.
Mengulas laporan akhbar tempatan baru-baru ini (23 Februari 2021) mengenai 20,000 penduduk di Kuala Kedah yang berhadapan dengan masalah itu sejak 10 tahun lalu, CAP kesal kerana ia masih berlaku dan tidak ditangani hingga sekarang, sebelum ini masalah sama juga turut dihadapi oleh penduduk di kawasan Merbok, Sungai Petani, Baling dan Sanglang.
Mereka yang terlibat mendakwa bekalan air yang dibekalkan oleh SADA tidak mencukupi dan lambat tiba. Berikutan itu ada kalangan penduduk yang terlibat terpaksa membelanjakan wang untuk membeli air bagi menampung keperluan harian mereka.
CAP bimbang dengan situasi yang kian meruncing ini kerana ia bukan saja menimbulkan berbagai kesulitan kepada penduduk terbabit malah boleh menjejaskan kesihatan mereka akibat menggunakan air paip yang kotor dan berbau busuk.
Justeru CAP menggesa Kerajaan Kedah dan SADA mengatasi segala keluhan serta rungutan penduduk-penduduk di kawasan yang menghadapi masalah berkenaan dengan secepat mungkin. Air bersih yang mencukupi perlu dibekalkan segera oleh SADA kepada mereka.
CAP juga turut menggesa supaya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melakukan kajian mengenai punca sebenar masalah dan kualiti air yang dihadapi penduduk bagi mencari penyelesaian memandangkan masalah itu berlaku sejak sekian lama dan masih berulang.
Kenyataan Media, 25 Februari 2021