Bertepatan dengan ulang tahun ke 72 Hari Hak Asasi Manusia Sedunia dan sempena dengan ulang tahun ke 50 Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), kami memperbaharui semula platform digital kami untuk menambah baik dan meningkatkan capaian kami kepada semua bahagian masyarakat. Sejak ditubuhkan 50 tahun lalu, misi CAP adalah untuk menyumbang kepada kemunculan masyarakat yang adil, bertanggungjawab dan penyayang. Sehingga kini, kami menjadi tunjang dalam pergerakan bagi alam sekitar yang mampan, keselamatan makanan dan produk, advokasi hak pengguna dan pendidikan pengguna. Ini dilakukan melalui penerbitan, persidangan dan seminar, dengan komuniti akar umbi serta pertubuhan serantau dan antarabangsa.
Peranan CAP dalam memperbaharui dan mengembangkan kehadirannya dalam dunia maya adalah berdasarkan kepada keperluan untuk berkomunikasi dengan berkesan dan melibatkan pengguna berhubung pelbagai isu semasa yang amat diperlukan segera pada masa di mana kita berhadapan pelbagai krisis seperti pandemik Covid-19, sosio-ekonomi dan krisis ekologi. Semua krisis ini adalah hasil aktiviti manusia, tidak dipandu oleh kebijaksanaan dan etika, dan didorong oleh ketamakan dan keangkuhan. Penglibatan kami dalam dunia digital, ketika kami menyedari akan bahaya dan penyalahgunaan, adalah untuk berkomunikasi, melibatkan dan menanamkan nilai-nilai mulia dalam generasi yang akan menentukan akan hala tuju dunia. Jika kami tidak terlibat sama, mereka yang mempunyai agenda mementingkan diri sendiri dan dasar yang memusnahkan akan mempengaruhinya.
Virus halus, yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, telah menyebabkan huru-hara dalam kehidupan kita, kanak-kanak tidak dapat ke sekolah, pekerja menganggur, perniagaan berdepan dengan bankrap, perdagangan antarabangsa terganggu, tempat ibadat ditutup dan kehidupan sosial kita terbatas. Bunuh diri, penyakit mental dan jenayah semakin meningkat, keganasan rumahtangga juga meningkat dan perkahwinan turut runtuh. Kesan penuh sosio-ekonomi pandemik ini akan diketahui dalam masa beberapa tahun akan datang. Ketika berjuta orang menderita segelintir individu kaya mendapat keuntungan daripada tragedi ini dan menambah berbilion dolar dalam kekayaan mereka.
Pandemik ini memburukkan lagi kemiskinan dan ketaksamaan di peringkat negara dan dunia. Malah sebelum pandemik, Keadaan Jaminan Keselamatan Makanan dan Pemakanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2019 dalam Laporan Dunia, dianggarkan bahawa 820 juta orang (1 daripada 9 orang) tidak mempunyai sesuatu yang cukup untuk dimakan, meningkat daripada 811 juta orang pada 2018. Keadaan ini kini menjadi semakin bertambah buruk dengan penutupan perniagaan dan meningkatnya pengangguran.
Laporan itu mendedahkan bahawa lebih 2 bilion orang, kebanyakannya di negara berpendapatan sederhana dan rendah, tidak mempunyai akses tetap kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mencukupi. Perubahan besar dalam sistem makanan bagi menyediakan diet sihat yang dihasilkan secara mampan untuk penduduk dunia yang semakin bertambah amat diperlukan.
Laporan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi amaran bahawa kemerosotan yang cepat dunia semula jadi mendedahkan ancaman serius kepada kehidupan di bumi ini. Ia menyatakan bahawa biosfera, di mana keseluruhan manusia bergantung kepadanya, sedang berubah ke tahap yang tidak dapat ditandingi meliputi semua skala ruang. Biodiversiti – kepelbagaian dalam spesies, antara spesies dan ekosistem semakin merosot dengan cepat berbanding pada bila-bila masa dalam sejarah manusia. Penebangan hutan, eksploitasi berlebihan hasil laut dan tanah, pencemaran udara dan air turut mendorong bersama kehidupan dunia ke jurang kemusnahan.
Laporan itu menggesa perubahan dilakukan untuk mencapai matlamat sosial global kita berkaitan makanan, air, tenaga, kesihatan dan keperluan lain. Sejak struktur semasa sering menghalangi pembangunan mampan dan sebenarnya mewakili pendorong tidak langsung kepada kehilangan biodiversiti, perubahan struktural dan asas amat diperlukan. Perubahan ini boleh dijangkakan akan mendapat tentangan daripada mereka yang mempunyai kepentingan dalam status quo, tetapi penentangan itu boleh diatasi untuk kebaikan awam yang lebih meluas.
Pandemik Covid-19 seharusnya memaksa kita untuk meneliti semula dimanakah kesilapan kita dan melaksanakan perubahan struktural yang diperlukan. Kerajaan dan pembuat dasar tidak bergerak cukup laju untuk membawa perubahan dalam dasar ekonomi dan sosial yang menggalakkan kebaikan awam sebagai ganti keuntungan persendirian.
Perubahan radikal diperlukan dalam cara kita melihat dan mengaitkan dengan alam semula jadi, perkhidmatan dan barangan dihasilkan dan digunakan. Kita tidak seharusnya menganggap sumber semula jadi sebagai sesuatu yang boleh dieksploitasi untuk memenuhi ketamakan dan penggunaan berlebihan kita. Kita mesti mempelajari untuk menghormati, menilai dan hidup berharmoni dengannya.
Sistem ekonomi pada masa kini berakar dalam pertumbuhan tidak terbatas, pengumpulan modal persendirian, memaksimumkan keuntungan dan pemusatan kuasa ekonomi dalam perbadanan besar adalah punca utama pelbagai krisis. Kita memerlukan model pembangunan kemampanan ekologi dan keadilan sosial untuk menggantikan model semasa yang menyebabkan kemusnahan ekologi dan mewujudkan kemiskinan serta ketaksamaan kepada ramai orang dan bukan ketamakan segelintir minoriti.
CAP akan meneruskan kerjanya untuk pengupayaan orang ramai supaya suara dan permintaan mereka akan didengari oleh mereka yang berkuasa dan tidak diabaikan. Kami menggesa kerajaan dan sektor swasta supaya bekerjasama untuk memastikan setiap keluarga dapat melalui pandemik ini dengan kesan yang paling minimum. Pengguna juga digalakkan untuk berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka, mengurangkan pembaziran dan kekal selamat.
CAP 50 tahun tidak akan berjaya tanpa sokongan media untuk menyuarakan suara orang ramai untuk didengarkan dan kepentingan mereka dilindungi. Kita perlu bersama-sama menyokong rakyat Malaysia untuk membina masyarakat yang baik, penyayang dan bertanggungjawab sepertimana yang kita mahukan.
Berikut adalah pautan untuk melayari dan mempelajari mengenai isu pengguna dan alam sekitar yang didedahkan oleh kami. Pastikan anda bookmark dan ikuti kami di platform ini jika anda mendapati isu yang dikemukakan oleh kami amat membantu dan berguna kepada anda sebagai pengguna.
LAMAN SESAWANG : https://consumer.org.my/
FACEBOOK : https://www.facebook.com/ConsumerAssociationPenang
INSTAGRAM : https://www.instagram.com/consumer_penang/
TWITTER : https://twitter.com/consumer_penang
Kenyataan Akhbar, 10 Disember 2020