

Kira-kira 300 nelayan pantai di Teluk Kumbar, dekat Bayan Lepas Pulau Pinang bimbang terputus mata pencarian berikutan masalah pencemaran laut yang semakin serius berlaku di perairan itu ketika ini.
Kejadian tersebut yang berlaku sejak lebih lima tahun yang lalu ini menyebabkan ikan, udang, ketam, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama mereka diancam kepupusan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat difahamkan, pencemaran ini disebabkan oleh pembuangan sisa kotoran dari penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan di kawasan itu.

Seorang nelayan Bakri Bakar, 56, ketika ditemui CAP berkata, bahan kotoran tersebut dibuang ke dalam sungai di sini dan terus ke laut di mana airnya bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk.
Sejak ancaman pencemaran itu berlaku hidupan laut dan hasil tangkapan nelayan di sini semakin berkurangan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka, jelas beliau.
Bakri kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku namun tidak ada tindakan bagi mengatasinya diambil oleh pihak berkenaan.
Menurut beliau, perairan 100 meter dari pantai Teluk Kumbar telah tercemar oleh sisa kotoran dan sampah sarap. Bahan itu terdampar di tepi pantai dibawa arus menyebabkan kawasan tersebut berbau busuk yang tidak menyenangkan.

CAP merasa bimbang dengan kejadian itu dan jika dibiarkan sungai serta laut di sini akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. Para nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di kawasan tersebut akan kehilangan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.
Justeru, CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan secara menyeluruh punca kejadian itu dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
CAP meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil kepada orang ramai khususnya nelayan-nelayan yang terlibat dengan masalah ini dengan secepat mungkin.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 29 April 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/


