PANTAI TANJUNG DAWAI SEMAKIN TERANCAM : CAP

Beginilah keadaan sisa kayu reput yang mendap di pantai Tanjung Dawai.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Majlis Daerah Kuala Muda (MDKM) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran pantai Tanjung Dawai dekat Sungai Petani ketika ini.

Pantai Tanjung Dawai dicemari bahan buangan plastik dan sisa pukat nelayan.

Kejadian yang berlaku sejak beberapa tahun yang lalu itu bertambah serius menyebabkan kawasan pantai tersebut kelihatan kotor di mana air laut dan pasir bertukar warna menjadi hitam.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain sisa pokok reput yang tumbang akibat diancam hakisan, terdapat juga bahan buangan plastik dan sisa pukat nelayan bersepah mendap di sepanjang 600 meter pantai berkenaan.

CAP kesal dan bimbang dengan masalah ini kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar di kawasan itu tetapi juga menjejaskan keselesaan orang ramai yang berkunjung ke tempat tersebut.

Pada tahun 2017, CAP pernah membuat tinjauan di kawasan terbabit dan menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah itu tetapi malangnya ia kini menjadi semakin buruk.

Air laut dan pasir di pantai Tanjung Dawai bertukar warna menjadi hitam.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaaan negeri dan MDKM menjalankan siasatan punca berlakunya pencemaran ini dan mengambil langkah berkesan agar ia tidak berlarutan sehingga menimbulkan kesan yang lebih buruk pada masa akan datang.

Di samping mengatasi masalah hakisan di kawasan tersebut, penguatkuasaan undang-undang dan tahap kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dalam kalangan orang ramai  perlu dipertingkatkan.

CAP percaya jika langkah segera tidak diambil seperti membina banteng pencegah hakisan dan menanam semula pokok serta membersihkan kawasan pantai di sini ia boleh menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk tempatan.

CAP meminta kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi yang terlibat  mendedahkan kepada umum hasil siasatan punca kejadian tersebut dan tindakan yang diambil bagi mengatasinya.

 

Kenyataan Media, 26 Mac 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/