Sejak 10 tahun yang lalu, setiap kali Ramadan CAP menjalankan kempen menentang pembaziran, berlebih-lebihan dan pemborosan yang dilarang oleh Islam dan agama lain.
Kempen ini dimulakan oleh Allahyarham Presiden kami, S. M. Mohamed Idris yang amat terkejut dengan sejumlah besar makanan yang dibazirkan dan perbelanjaan yang begitu boros oleh golongan elit Muslim ketika bulan suci ini manakala berjuta orang tidak mempunyai makanan, tempat berteduh, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi.
Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan. Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros.
Berlawanan dengan ajaran ini, sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan untuk melakukan kewajipan solat mereka. Kerakusan atau bersikap kelahapan juga boleh memberikan kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari, dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang memuaskan hati dengan menurut hawa nafsu.
Iftar, berbuka puasa, yang secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian telah bertukar kepada “pesta makan dengan 100 jenis hidangan” di hotel dan restoran. Ia telah bertukar menjadi sumber keuntungan bagi perniagaan.
Pelbagai jenis dan jumlah makanan yang berlebihan yang disediakan untuk iftar dan sahur telah membawa kepada pembaziran. Banyak makanan dibuang oleh pihak hotel dan keluarga ke tempat pembuangan sampah. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan pada 2016, bahawa setiap kali Ramadan 200,000 tan makanan dibuang terus ke dalam tong sampah. Jumlah makanan ini boleh memberi makan kepada 180 juta orang.
Membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan. Ia juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dan melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global.
Salah satu tujuan berpuasa ialah untuk merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir agar kita mempunyai sikap empati kepada mereka. Berjuta orang di Syria, Yaman, Iraq, Palestin, Myanmar, India, Ethiopia, Sudan Selatan, Pakistan dan Afghanistan sedang berhadapan dengan kebuluran dan malangnya kita membuang begitu banyak makanan pada bulan yang suci ini.
Golongan kaya seharusnya berkongsi kekayaan mereka dengan mereka yang miskin dan memerlukan bukannya bersikap rakus dan bermegah-megah dalam cara hidup. Gunakan kekayaan anda untuk membantu golongan miskin dan terpinggir keluar daripada kemiskinan dan penindasan dan menyokong program-program amal jariah.
Kempen ini mencapai kejayaan yang terhad dan menerima sokongan daripada komuniti dan pemimpin agama bahkan sesetengah ahli politik. Kami meneruskan kempen ini dan melancarkan rayuan kepada umat Islam agar dapat membuat sumbangan amal jariah (Infaq) kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandangkan aktivitinya adalah untuk mengupayakan orang ramai bagi membina masyarakat yang adil, saksama dan penyayang, selaras dengan ajaran Islam.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ditubuhkan pada 1970 dan didaftarkan sebagai persatuan di bawah Akta Persatuan 1966. Misi CAP adalah untuk mempromosikan keadilan sosial, pembangunan mampan dan perlindungan alam sekitar. Ia merupakan pertubuhan bukan mengambil untung yang bergantung kepada sumbangan secara sukarela untuk menjalankan kegiatannya.
CAP dikenali di dalam negara dan di peringkat antarabangsa sebagai perintis pertubuhan sosial dengan visi yang unik. Aktivitinya termasuklah memperjuangkan harga yang berpatutan dan kualiti barangan dan perkhidmatan yang baik serta mendidik pengguna untuk menjadi lebih bertanggungjawab, mencegah pembaziran, hidup sederhana, dan menguruskan pendapatan untuk hidup mengikut kemampuan dan tidak menjadi mangsa perangkap hutang.
Ia juga menjadi barisan hadapan dalam mewujudkan kesedaran perlindungan alam sekitar dalam kalangan orang ramai, pegawai dan penggubal dasar, dan menggesa kerajaan supaya memperkenalkan undang-undang untuk melindungi alam sekitar dan mencegah pencemaran. Sejak lebih lima dekad, ia memerangi masalah sosial seperti penagihan alkohol, perjudian dan merokok.
Ia juga menghasilkan penerbitan bagi mendidik pengguna Islam mengenai isu Halal Haram berkaitan dengan produk dan perkhidmatan. Pengupayaan komuniti kariah supaya ia dapat mengawal dan bertanggungjawab terhadap kebersihan, aktiviti dan perpaduan di kawasan mereka yang menjadi satu komponen penting daripada tugasan CAP.
CAP juga turut terlibat dalam rundingan dengan pihak kementerian dan jabatan kerajaan semasa menggubal dasar sosioekonomi dan alam sekitar. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Tun Razak memberikan anugerah kepada CAP sebagai pengiktirafan sumbangannya kepada masyarakat.
Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dan mengayakan lagi kerohanian. Elakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasa di rumah dan masjid dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Jemputlah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Bantulah kami dengan menyumbang seikhlas hati kepada CAP.
Siaran Akhbar, 29 Mac 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/