Rakyat Malaysia pada masa kini sedang berada dalam satu lagi pusingan Balik Kampung. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pemandu kenderaan serta pihak berkuasa pengangkutan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengelakkan daripada kematian di jalan raya.
Pihak Polis melaporkan lebih daripada 20,000 kemalangan di jalan raya pada setiap kempen Operasi Selamat, yang diadakan ketika musim perayaan. Mereka menjangkakan kira-kira 4 juta kenderaan akan berada di jalan raya ketika tempoh dua minggu kempen sehingga 12 Jun 2019.
Penunggang motosikal merupakan 63% daripada mangsa kemalangan jalan raya. Lebih daripada 40% daripada kemalangan motosikal ini berlaku di jalan luar bandar, bandar dan jalan persekutuan daripada lebuh raya. Ini kerana ramai orang di kawasan ini menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar, memandangkan kesedaran berhubung keselamatan amat rendah.
Sementara itu, PUSPAKOM dilaporkan berkata kira-kira 9 juta kereta persendirian mungkin mempunyai masalah brek dan ‘sideslip’. Oleh itu, pemilik kenderaan tidak seharusnya berkompromi dengan keselamatan dengan melabur dalam alat ganti kenderaan yang murah atau mengabaikan penyelengaraan kereta.
Jabatan Kerja Raya melaporkan tayar celup telah menyebabkan kira-kira 10,000 kemalangan sama ada secara langsung daripada yang mengelupas atau daripada serpihan tayar di jalan raya. Industri tayar celup menjawab balik kenyataan ini dan mendakwa tayar celup juga selamat seperti tayar baharu dan tayar celup haram yang menyebabkan masalah itu. Jika pihak berkuasa tidak mampu untuk menghentikan pengeluar tayar celup haram, maka mereka perlu mengharamkan semua tayar celup.
Beberapa hari lepas sebuah bas dilaporkan terbakar di Johor. Ini bukanlah kes yang terasing memandangkan insiden seperti itu telah menjadi perkara biasa. Ini menunjukkan pengendali kenderaan komersial tidak melakukan dengan secukupnya untuk mengekalkan kenderaan mereka dalam mematuhi peraturan ICOP SHE.
Kematian di jalan raya di Malaysia telah menjadi begitu serius sama seperti penyakit mengancam nyawa seperti kanser. Ia boleh menyerang sesiapa sahaja. Setiap orang yang berada di jalan raya berpotensi menjadi mangsanya. Bagaimanapun, tidak seperti kanser, tiada jalan lain bagi rawatan untuk kematian di jalan raya selepas ia berlaku. Malangnya, kita rakyat Malaysia tidak mengambil perkara ini dengan serius. Kita sebahagian besarnya mengambil sikap acuh tak acuh kepada masalah ini dan tidak begitu sensitif terhadap kematian di jalan raya.
Terdapat banyak faktor yang melibatkan kemalangan di jalan raya. Oleh itu, semua sektor perlu memainkan peranan mereka dan mengambil langkah positif untuk mengelakkan kemalangan.
Pertama sekali semua pemandu mestilah dalam keadaan segar sebelum memulakan perjalanan mereka. Mereka tidak seharusnya memulakan perjalanan apabila letih atau pada saat akhir berpuasa. Mereka perlu berhenti rehat sebaik sahaja mengalami keletihan dan rasa mengantuk ketika dalam perjalanan.
Penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan lagi di semua peringkat. Pihak Polis juga telah memberikan amaran kepada semua pemandu supaya mematuhi gesaan mereka supaya memandu dengan selamat atau membayar denda. Kami berharap pihak Polis akan bertindak tegas dan tidak memberikan diskaun bagi denda yang dikenakan.
Penyelesaian jangka panjang ialah untuk memperbaiki pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas ekspres dan keretapi. Sejak akhir-akhir ini perkhidmatan keretapi menjadi semakin popular, ini merupakan satu tanda yang positif. Bagaimanapun, bagi penumpang dari Pulau Pinang amat tidak selesa kerana mereka terpaksa melintasi laut dan berjalan dalam jarak yang jauh dengan membawa bagasi mereka. Bas Rapid perlu mempertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan bas ulang alik dari Terminal Bas Sungai Nibong ke Butterworth atau Stesen Keretapi Bukit Mertajam:-
CAP menyarankan agar langkah yang berikut diambil:-
1) Semua pemandu kenderaan mestilah mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan memandu dengan berhati-hati, tanpa mengambil risiko atau memandu apabila letih atau mengantuk;
2) Pihak berkuasa penguatkuasaan perlu tegas dan teguh. Mereka tidak seharusnya menawarkan diskaun bagi sebarang denda;
3) Pihak berkuasa perlu menangani masalah berkaitan dengan industri tayar celup;
4) Penguatkuasaan yang tegas terhadap penunggang motosikal yang menggunakan jalan raya luar bandar, persekutuan dan bandar;
5) Pastikan pengendali bas mematuhi peraturan ICOP SHE, dengan bas diselenggara dengan sempurna dan pemandu diuruskan dengan lebih ketat;
6) Untuk jangka panjang, pihak berkuasa perlu menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang memudahkan dan berpatutan.
Kenyataan Akhbar, 29 Mei 2019