Pecahkan Hanya Sebiji Kelapa Semasa Thaipusam

Penganut Hindu yang menyambut Thaipusam pada 5 Februari digesa supaya memecahkan hanya sedikit kelapa. Wang yang digunakan untuk memecahkan kelapa itu boleh disalurkan untuk memenuhi pelbagai keperluan sebahagian daripada komuniti India yang masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Memecahkan kelapa semasa Thaipusam adalah amalan pembersihan yang diamalkan oleh penganut Hindu. Ia adalah simbolik yang mewakili penyerahan ego seseorang kepada Tuhannya yang dilakukan dengan penuh keazaman dan kebaktian.

Kelapa yang dipecahkan itu kemudiannya dikumpulkan dan isinya sama ada dimakan mentah atau digunakan untuk memasak. Amalan agama Hindu ini memastikan bahan makanan tidak dibazirkan. Apa sahaja bahan makanan yang dipersembahkan kepada Tuhan perlu dilayan sebagai prasadam dan dimakan oleh penganut dan tidak seharusnya dibuang sebagai sisa.

Kelapa digunakan dalam setiap perayaan agama Hindu disebabkan oleh paras kandungan nutriennya yang tinggi. Bertentangan dengan tanggapan popular yang menyatakan bahawa kelapa mempunyai paras kolesterol yang tinggi, penganut Hindu menggunakan kelapa dalam masakan mereka dan sebagai rawatan bagi pelbagai penyakit. Oleh itu ia menjadi buah yang dihormati dalam perayaan agama mereka.

Ramai penganut Hindu, terutamanya daripada komuniti Cina kurang berpengetahuan mengenai sebab di sebalik upacara memecah kelapa. Mereka fikir bahawa lebih banyak kelapa yang mereka pecahkan, lebih banyak keberuntungan yang melimpahi mereka.

Mereka memecahkan beribu biji kelapa setiap tahun, yang akhirnya berakhir di tapak pelupusan sampah, yang kemudiannya dibakar dan bertukar kepada wasap yang mencemarkan alam sekitar.

Tindakan ini sudah tentu tidak disukai oleh Tuhan.

Memecahkan kelapa ini telah menjadi sebati dalam hati setiap penganut Hindu, maka ia perlu dilaksanakan dalam cara yang betul dengan memecahkan hanya sebiji kelapa sahaja, yang perlu dilakukan dengan penuh kebaktian. Membelanjakan wang untuk membeli beribu kelapa dianggap tidak bijak terutama sekali dalam situasi ekonomi semasa.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penganut Hindu memecahkan hanya sebiji kelapa dan pengguna tidak seharusnya membeli kelapa jika ia dijual pada harga yang tinggi. Jika pengguna terus membayar lebih untuk membeli, harga akan meningkat lebih tinggi. Pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan penurunan harga barangan.

Harga kelapa dijangka meningkat daripada RM1.70 kepada RM1.90 sebiji.

Semasa Thaipusam harga kelapa dijangka meningkat daripada RM2.50 kepada RM3.00.

Penganut Hindu digesa berfikir terlebih dahulu mengenai perkara yang berkaitan memecah kelapa ini dan mengikut amalan agama yang betul supaya ia dapat menjadi contoh terbaik bagi generasi muda Hindu.

 

 

N V Subbarow
Pegawai Pendidikan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 3 Februari 2023