PENDIRIAN KAMI TERHADAP PLASTIK DI INC-5 BUSAN

Mageswari Sangaralingam (tengah) dari CAP & SAM di Busan, Korea Selatan. Beliau adalah antara pertubuhan masyarakat sivil Malaysia yang menghadiri INC-5.

“Plastik terus menjadi antara bahan pencemar utama di seluruh dunia. Kita perlu membebaskan diri daripada plastik. Kita memerlukan Perjanjian Plastik Global yang lebih kukuh.” ~ Ketua Eksekutif Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mageswari Sangaralingam.

CAP dan SAM adalah sebahagian daripada IPEN: for a toxics-free future Friends of the Earth International Global Alliance for Incinerator Alternatives (GAIA) kini di pusingan ke-5 dan terakhir (INC-5) rundingan Perjanjian Plastik (25 Nov – 1 Dis 2024), di Busan, Korea Selatan untuk menyokong bagi perjanjian yang lebih kukuh.

Pegawai Penyelidik CAP, Ung Jun Min di Busan bagi tujuan yang sama.

Pada Mac 2022, Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA) memutuskan mandat untuk mewujudkan Perjanjian Plastik pertama di dunia, undang-undang antarabangsa yang mengikat secara sah yang bertujuan untuk mengurangkan pencemaran plastik di seluruh dunia dan meliputi kitaran hayat penuh plastik.

Plastik ialah krisis yang semakin meningkat dengan kesan buruk terhadap alam sekitar, kesihatan manusia, hak asasi manusia, keadilan alam sekitar, hak Orang Asli, kepelbagaian biologi dan iklim. Tindakan global untuk menangani krisis ini amat diperlukan.

Selama beberapa dekad, industri dan kerajaan yang memperoleh keuntungan daripada peningkatan pengeluaran plastik telah menggunakan tumpuan pada pengurusan sisa sebagai strategi untuk mengalih perhatian penggubal dasar dan orang ramai daripada keperluan mengurangkan plastik pada sumbernya. Proses perjanjian plastik tidak boleh menjadi satu lagi contoh kitaran yang dahsyat ini. Tidak kira berapa banyak wang dan masa yang dihamburkan oleh masyarakat antarabangsa untuk membersihkannya, kitar semula yang lebih baik, pengurusan sisa dan pendekatan hiliran yang lain, semakin banyak plastik baharu dihasilkan, semakin mustahil langkah kawalan kerosakan ini dapat menyainginya.

Aktivis, termasuk dari Malaysia, menggesa pengurangan dalam pengeluaran plastik.
Gesaan itu amat jelas: “Kurangkan pengeluaran plastik”, gesa aktivis di Busan.

Tanpa campur tangan kawal selia, pengeluaran plastik dijangka meningkat secara mendadak, mengakibatkan peningkatan masalah iklim, pencemaran dan kesihatan. Agar Perjanjian Plastik Global ini berkesan dalam membalikkan arus pencemaran plastik, mekanisme dan penyelesaian untuk menanganinya perlu wujud dalam sempadan iklim dan planet. Perjanjian ini adalah peluang untuk membetulkannya dan membuka laluan bagi dasar negara yang lebih  komprehensif untuk mengawal pengeluaran dan penggunaan plastik.