Penduduk Kampung Rumah Labang Nanga Seridan Tinjar Baram Bantah Penyambungan Semula Kerja-Kerja Keatas Lot 50 (Lot 12) Bok Land

Kami ingin menyatakan kekecewaan dan kebimbangan kami terhadap penyambungan semula kerja-kerja di atas tanah Lot 50 (Lot 12), Bok Land District, iaitu di atas tanah NCR kami. Kami telah mendapat tahu berkenaan perkara ini daripada surat bertarikh 11 September 2025  yang dihantar oleh Pegawai Penguasa Pejabat Daerah Kecil Tinjar kepada kami.

Selepas meneliti kandungan surat tersebut dan perkembangan terkini di lapangan, kami dengan ini menolak sekeras-kerasnya sebarang penyambungan semula kerja-kerja di kawasan berkenaan atas beberapa sebab yang sah dan berasas seperti dinyatakan di bawah:

Ketidaktelusan dalam proses dan dokumen rasmi

Kami turut ingin menarik perhatian kepada kandungan surat tersebut yang menyatakan bahawa kerja akan dijalankan “hanya di dalam sempadan yang terdapat di dalam geran sahaja.”

Persoalannya, bagaimana geran tersebut diperoleh oleh pihak Land Custody Development Authority (LCDA) sedangkan kerja ukur telah dilakukan tanpa kebenaran, tanpa perbincangan, dan tanpa menghormati adat kami.

Kami telah membuat laporan polis berkaitan tindakan penyambungan kerja-kerja di wilayah tanah NCR Rumah Labang, Nanga Seridan pada 1 November 2025 (No. Laporan: MARUDI/001027/25) di Balai Polis Beluru, Marudi.

Ketidakpatuhan syarat kelulusan tanah

Kami mendapati bahawa, kelulusan Lot 50 (Lot 12) Bok Land District adalah dibuat tanpa mengambil kira secara serius syarat-syarat khas (Special Condition(i)) yang menetapkan keperluan bagi memastikan proses survei tanah dijalankan dengan betul dan sah sebelum pajakan diberikan di bawah peruntukan Kanun Tanah Sarawak.

Ketidakpatuhan keputusan mesyuarat rasmi

Kami ingin menegaskan di sini bahawa Syarikat Mega Mashyur Pelita (Bakong) Sdn Bhd. dan juga wakil Jabatan Tanah dan Survei tidak mematuhi keputusan yang dicapai dalam perbincangan yang diadakan pada 29 Mei, 2024 yang turut dihadiri  oleh  Yang Berhormat Datu Penguang Manggil. Namun, minit mesyuarat yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kecil Tinjar tidak mencerminkan dengan tepat apa yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut.

Pencerobohan ke atas Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR)

Tindakan  syarikat untuk menyambung semula kerja-kerja di Lot tanah 50 (Lot 12) baru-baru ini adalah satu tindakan yang amat serius dan tidak  menghormati  hak kami ke atas wilayah tanah adat (NCR) kami seperti yang diakui dan diiktiraf di bawah undang-undang negeri Sarawak.

Kenyataan dalam surat tersebut adalah tidak berasas kerana surat tersebut menyatakan bahawa syarikat  menghormati adat setempat serta semua Tanah Adat Bumiputera (NCR) yang sah. Kami mempersoalkan bagaimana  syarikat boleh membuat dakwaan tersebut tanpa sebarang kerjasama dengan penduduk kampung dalam menjalankan survei lapangan. Penyambungan kerja tanpa persetujuan kami merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang serta tidak beretika.

Tuntutan kami

Melalui kenyataan ini, kami membantah sekeras-kerasnya projek ladang kelapa sawit di wilayah NCR kami. Kami menyeru agar pihak kerajaan mengiktiraf hak tanah adat kami dengan sepenuhnya seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan juga diiktiraf keputusan mahkamah, hak kami bukan sahaja merupakan hak ke atas harta, tetapi juga hak asas kepada kehidupan dan identiti masyarakat Bumiputera Sarawak.

 

 

Dikeluarkan oleh:
Penduduk Kampung Nanga Seridan, Tinjar, Baram

Surat Kepada Pengarang, 20 November 2025