Penduduk Kuala Kurau bimbang diancam hakisan sungai – CAP

Keadaan hakisan sungai dan sampah sarap di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, Perak.

Lebih 10 keluarga di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, Perak berada dalam kebimbangan berikutan ancaman hakisan sungai yang semakin serius berlaku di kawasan itu. Masalah tersebut yang berlaku sejak lebih 10 tahun telah menyebabkan tebing Sungai Kurau runtuh, tanah penduduk terhakis dan pokok tumbang.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati penduduk-penduduk yang terlibat dengan masalah ini bukan saja terdedah kepada berbagai bahaya yang boleh berlaku, malah rumah mereka juga berisiko runtuh jika tindakan segera tidak diambil.

Seorang penduduk, Abu Bakar Man, 76, berkata, setiap kali air sungai ini pasang rumahnya dilimpahi air setinggi hampir satu meter dan sampah sarap yang dihanyut bertaburan terdampar di kawasan tersebut.

Abu Bakar Man

Beliau sekeluarga amat bimbang dengan kejadian ini lebih-lebih lagi jika berlaku pada waktu malam kerana ketika itu mereka sedang tidur.

Ia berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan secepat mungkin sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku. Selain tanah penduduk di sini akan lenyap diancam hakisan, keselamatan mereka juga mungkin terjejas jika masalah ini berterusan.

Pada 2021, CAP telah memaklumkan masalah ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, dan CAP diberitahu bahawa JPS telah memohon peruntukan Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) untuk mengatasinya.

CAP meminta kerajaan negeri Perak, kementerian berkenaan dan JPS menjalankan siasatan serta kajian secara menyeluruh punca berlakunya hakisan sungai di sini. CAP kesal walau pun masalah tersebut sudah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil.

CAP percaya jika keadaan ini tidak ditangani segera kehidupan penduduk-penduduk yang terlibat akan terancam dengan dengan teruk lagi pada masa akan datang. Bantuan atau pampasan perlu diberi kepada mereka yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda kerana masalah ini.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 8 Jun 2023