Banjir kilat di Putrajaya pada 8 Disember disebabkan oleh hujan lebat selama satu jam sehingga menyebabkan air Sungai Anak Gajah melimpah telah mengakibatkan kerosakan besar dengan 20 kenderaan tenggelam. Insiden ini menonjolkan keperluan mendesak untuk meningkatkan langkah-langkah penebatan banjir dan infrastruktur bandar terhadap cabaran akibat perubahan iklim.
Walaupun Putrajaya terkenal sebagai bandar yang dirancang dengan teliti dengan kawasan hijau yang luas dan sistem saliran yang sistematik, hujan lebat selama satu jam telah menyebabkan banjir teruk. Ini menimbulkan persoalan kritikal mengenai keberkesanan perancangan bandar dan infrastruktur semasa untuk menangani cuaca ekstrem.
Data terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan bahawa intensiti hujan telah meningkat sebanyak 40% dalam tempoh lima tahun lalu akibat pemanasan global dan perubahan iklim. Kenaikan suhu laut mempercepatkan proses penyejatan, menghasilkan hujan lebat dalam jangka masa pendek yang membawa kesan buruk kepada kawasan bandar. Namun, hujan lebat bukanlah satu-satunya punca banjir kilat di kawasan bandar. Faktor penyumbang lain termasuk:
1. Pembandaran Tidak Terkawal: Pembangunan pesat dengan konkrit menggantikan permukaan semula jadi yang dapat menyerap air, yang seterusnya membebankan sistem saliran.
2. Isu Pengurusan Sisa: Pembuangan sisa yang tidak terkawal menyebabkan longkang tersumbat, meningkatkan banjir di kawasan perumahan dan komersial.
3. Infrastruktur Lama: Sistem saliran yang usang tidak memadai untuk menangani peningkatan jumlah hujan, memburukkan lagi risiko banjir.
4. Penebangan Hutan dan Kehilangan Tumbuhan: Penebangan pokok mengurangkan pengekalan air, mempercepatkan aliran air ke kawasan bandar.
5. Kehilangan Laluan Air Semula Jadi: Pencerobohan kawasan sungai dan alur air mengurangkan kapasiti badan air tersebut untuk membawa lebihan air hujan, dan sering mengalihkan air ke kawasan bandar.
Putrajaya, dengan infrastruktur hijaunya seperti Tasik Buatan Putrajaya seluas 600 hektar, sepatutnya menjadi model keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar. Namun, pembangunan bandar yang tidak terkawal dan pengurusan sisa yang tidak sempurna telah membebankan sistem ini, menjadikan bandar ini semakin rentan.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera dari semua pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa tempatan, perancang bandar dan masyarakat awam untuk menangani banjir kilat. Pendekatan holistik adalah penting:
1. Memperkukuhkan Perancangan Bandar: Utamakan pembangunan mampan dengan mengintegrasikan kawasan lapang dan infrastruktur hijau seperti bumbung hijau dan permukaan boleh telap untuk menyerap lebihan air hujan.
2. Pengurusan Sisa Lebih Baik: Laksanakan amalan pengurusan sisa yang lebih baik dan tingkatkan kesedaran awam mengenai akibat pembuangan sampah yang tidak terkawal terhadap sistem saliran.
3. Menaik Taraf Sistem Saliran: Tambahbaik sistem saliran dan selenggara infrastruktur saliran secara berkala untuk menguruskan peningkatan jumlah air dengan berkesan serta membersihkan longkang yang tersumbat.
4. Pemulihan Laluan Air Semula Jadi: Mengelakkan pencerobohan di dataran banjir semula jadi, rizab sungai dan memulihkan sungai serta alur air untuk meningkatkan keupayaan mereka menguruskan air berlebihan.
5. Program Penghutanan Semula dan Penanaman Pokok: Lindungi hutan dan kawasan lapang hijau yang sedia ada berhampiran bandar. Menanam pokok dan mewujudkan kawasan hijau bandar untuk meningkatkan penyerapan air.
Dasar Teknologi Hijau Negara (2009) menyediakan asas bagi tujuan ini, tetapi pelaksanaannya perlu diperluas untuk merangkumi lebih banyak kawasan bandar dan menangani cabaran pembandaran dan perubahan iklim.
Banjir kilat bukan lagi insiden terpencil tetapi amaran tentang perubahan iklim yang tidak boleh kita abaikan lagi. Tindakan tegas adalah penting untuk mengelakkan kerosakan selanjutnya. Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti adalah penting untuk membina bandar yang berdaya tahan dan mampu menahan kesan perubahan iklim.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat kepada Pengarang, 27 Disember 2024