Sebagai sebuah negara yang mempunyai sektor pertanian yang luas, Malaysia sangat bergantung pada racun perosak yang membawa akibat buruk terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar. Antaranya ialah racun perosak yang amat berbahaya (Highly Hazardous Pesticides – HHP), yang menimbulkan risiko yang amat tinggi kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), HHP ditakrifkan sebagai racun perosak yang diketahui mempunyai kesan toksik akut atau kronik yang teruk. Setakat 23 Julai 2026, daripada 3,135 jenis racun perosak yang dibenarkan untuk digunakan di Malaysia, sama ada bagi tujuan pertanian mahupun bukan pertanian, sebanyak 2,044 jenis dikelaskan sebagai “Amat Berbahaya” (Highly Hazardous) berdasarkan senarai Racun Perosak Amat Berbahaya oleh PAN International.
Kebergantungan berterusan kepada HHP dalam sektor pertanian merupakan satu kebimbangan kesihatan awam, memandangkan pelbagai kajian tempatan dan antarabangsa secara konsisten membuktikan kesan merosakkan bahan kimia ini terhadap populasi manusia dan ekosistem. Walaupun Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah pengawalseliaan untuk mengurus dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan racun perosak melalui Lembaga Racun Perosak di bawah Akta Racun Perosak 1974, tindakan pengawalseliaan yang drastik diperlukan untuk memacu sektor pertanian Malaysia ke arah agroekologi, mengurangkan pergantungan kepada bahan kimia toksik, melindungi kesihatan awam, biodiversiti dan keselamatan makanan jangka panjang.
Dalam laporan ini, Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) meneliti penggunaan beberapa racun perosak amat berbahaya di Malaysia iaitu glyphosate, chlorpyrifos dan racun perosak PFAS, dengan mengkaji status pendaftaran, penggunaan, risiko yang berkaitan, kebergantungan berterusan terhadap kimia pertanian yang berbahaya, perkembangan kawal selia, serta jurang utama yang menghalang kemajuan ke arah sistem pertanian yang lebih selamat. Selain meninjau situasi semasa berkaitan HHP di Malaysia, laporan ini turut mengemukakan cadangan tindakan bagi menyokong usaha pengharaman berperingkat HHP di peringkat kebangsaan. Cadangan-cadangan ini bertujuan untuk memangkin peralihan Malaysia ke arah sistem pertanian yang lestari dan bebas toksik, yang mampu melindungi kesihatan manusia, memperkukuh biodiversiti, serta menjamin daya tahan dalam sektor makanan dan pertanian negara.
Pautan ke fail Excel (data mengenai HHP): Excel
Laporan “Status Racun Perosak Amat Berbahaya (HHP) di Malaysia”: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2026/10/Final_HHP-Country-Situation-Report-2026_Malaysia-Malay.pdf


