PERJANJIAN MALAYSIA – AS MENGGADAIKAN KEDAULATAN NEGARA

Malaysia baru sahaja menandatangani perjanjian pedagangan dengan Amerika Syarikat (AS) yang akan menjejaskan autonomi perundangan kita, menundukkan dasar luar kita mengikut kepentingan Washington, menyekat keupayaan kita untuk meningkatkan hasil ekonomi, dan mengikat kita kepada perbelanjaan mencecah AS$220 bilion dalam tempoh sedekad akan datang.

Ternyata ini bukan perjanjian perdagangan timbal balik. Ini adalah suatu penyerahan yang disembunyikan di sebalik urusan perdagangan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dengan ini tegas menggesa kerajaan Malaysia untuk segera menolak perjanjian ini dan menjalankan pengkajian semula yang telus dan lengkap, diikuti dengan perbahasan terbuka di Parlimen.

Mengizinkan Washington Menentukan Dasar Luar Kita

Malaysia telah bersetuju untuk menjajarkan dasar ekonomi kita selaras dengan Amerika Syarikat  — termasuk dalam hal-hal yang tiada kaitan dengan perdagangan dua hala. Perjanjian ini menghendaki Malaysia:

  • Meniru sekatan perdagangan Amerika Syarikat terhadap mana-mana negara ketiga sekiranya Washington mendakwa ia menjejaskan ‘keselamatan dan ekonomi nasional’ Amerika;
  • Melaksanakan kawalan eksport Amerika Syarikat ke atas teknologi dan barangan — berdasarkan kepentingan keselamatan AS, bukan kepentingan nasional;
  • Menapis pelaburan asing ke dalam Malaysia berdasarkan penilaian risiko terhadap keselamatan nasional AS;
  • Harus berunding dengan Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum menandatangani perjanjian perdagangan digital dengan negara lain.

Peruntukan-peruntukan seperti ini adalah sangat di luar kebiasaan. Secara asasnya, perjanjian ini memberi Amerika Syarikat kuasa veto yang mengatasi kebebasan dasar luar negara Malaysia. Kita dipaksa untuk menerima kepentingan Amerika Syarikat sebagai kepentingan kita sendiri. Malaysia sebagai negara berdaulat harus mempertahankan kebebasan untuk membuat keputusan strategiknya sendiri. Perjanjian ini merampas kebebasan tersebut daripada kita.

Menyerahkan Piawaian Kita kepada Amerika Syarikat 

Melalui perjanjian ini, Malaysia harus menerima peraturan dan kelulusan Amerika Syarikat seolah-olah ianya sebahagian daripada peraturan kita sendiri — iaitu tanpa sebarang penilaian bebas. Perjanjian ini menghendaki Malaysia untuk:

  • Menerima kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (U.S. FDA) terhadap ubat-ubatan dan peranti perubatan memadai buat pasaran kita;
  • Mengiktiraf piawaian makanan dan pertanian Amerika sebagai memenuhi keperluan keselamatan kita;
  • Menerima produk daging, tenusu, dan ayam dari Amerika tanpa pemeriksaan bebas;
  • Mengguna pakai tahap toleransi Amerika terhadap sisa racun perosak, di mana Malaysia sendiri belum menetapkan piawaiannya bagi sesetengah produk.

Ini adalah sesuatu yang berbahaya. Piawaian kawal selia Amerika Syarikat tidak semestinya lebih ketat daripada piawaian kita. Malahan, dalam sesetengah kes ianya lebih longgar. Dengan menyerahkan hak untuk menetapkan piawaian keselamatan kita sendiri secara bebas, kita mempertaruhkan kesihatan awam Malaysia hanya untuk memenuhi kehendak pengeksport Amerika. Ini adalah hak kedaulatan kita, dan kita tidak boleh sesekali pun menyerahkannya kepada orang lain. Akhirnya, kitalah yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan fizikal kita sendiri.

Merencatkan Keupayaan Kita untuk Menjana Hasil

Perjanjian ini menyekat Malaysia daripada memungut cukai dan tarif ke atas barangan serta perkhidmatan Amerika Syarikat melalui cara yang tidak pernah kita persetujui sebelum ini. Malaysia dilarang daripada:

  • Mengenakan cukai perkhidmatan digital ke atas syarikat-syarikat gergasi teknologi Amerika, walaupun mereka meraih keuntungan besar di negara kita;
  • Mewajibkan syarikat media sosial dan teknologi digital awan (cloud) Amerika untuk melabur dalam kandungan digital tempatan serta inovasi (syarat sumbangan hasil sebanyak 6% telah dimansuhkan);
  • Melaksanakan larangan kekal terhadap duti kastam bagi produk digital dan penghantaran elektronik;
  • Menggunakan cukai pelarasan sempadan untuk menyamakan persaingan antara pengeluar tempatan dan asing.

Bagi sebuah ekonomi yang masih membangun dan sedang berusaha membina keupayaan tempatan dalam bidang teknologi dan perkhidmatan digital, larangan-larangan ini adalah satu tamparan yang hebat. Syarikat-syarikat AS dibenarkan beroperasi di Malaysia dengan pengecualian cukai yang meluas. Akibatnya, kita kehilangan alat penting untuk membiayai pembangunan dan membina ekonomi digital kita sendiri.

Bencana Kewangan Yang Bakal Melanda

Pun demikian, kosnya jauh melebihi kehilangan hasil. Malaysia berjanji untuk membeli barangan Amerika Syarikat bernilai AS$150 bilion dalam tempoh lima tahun — termasuk semikonduktor, peralatan pusat data, pesawat, arang batu, dan gas — serta penambahan pelaburan sejumlah AS$70 bilion di Amerika Syarikat dalam tempoh sepuluh tahun.

Jumlah AS$220 bilion ini boleh dibelanjakan bagi memenuhi keperluan Malaysia sendiri: iaitu peralihan tenaga, infrastruktur, penjagaan kesihatan, dan industri tempatan. Bahkan pembelian arang batu dari Amerika Syarikat turut menjejaskan komitmen iklim kita di bawah Perjanjian Paris, di mana Malaysia adalah negara pihak sementara Amerika Syarikat tidak.

Apa yang lebih membimbangkan adalah perbelanjaan ini akan menyebabkan defisit akaun semasa Malaysia semakin besar. Pakar ekonomi kita telahpun memberi amaran bahawa Malaysia bakal berdepan defisit tahunan sekitar AS$23 bilion, yang akan terkumpul kepada AS$115 bilion dalam tempoh lima tahun.

Kita pernah melihat situasi seperti ini berlaku. Pada tahun 1990-an, Malaysia mengalami masalah defisit yang sama — berjumlah AS$33.5 bilion dari 1990 hingga 1997 — yang turut menyumbang kepada Krisis Kewangan Asia 1997. Krisis itu meranapkan ekonomi kita dan mengakibatkan penderitaan yang amat besar. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan itu.

Malah Korea Selatan, dengan ekonomi empat kali ganda lebih besar daripada Malaysia, serta rizab asing yang jauh lebih kukuh dan lebihan akaun semasa yang jauh mengatasi AS$7 bilion Malaysia, turut bimbang bahawa tuntutan Amerika Syarikat bernilai ratusan bilion dolar boleh menggugat kestabilan mata wang dan ekonomi mereka.

Ancaman Hukuman

Perjanjian ini turut menyertakan satu ancaman: sekiranya Malaysia menyertai sebarang pengaturan ekonomi yang “mengancam kepentingan Amerika Syarikat,” perjanjian itu boleh ditamatkan, dan Malaysia akan berdepan tarif yang lebih tinggi mencecah 24% (dilabel sebagai kadar “Hari Pembebasan”).

Ini bukan rundingan, tetapi ugutan. Malaysia diberi arahan: patuh, atau bersiap sedia menghadapi hukuman ekonomi.

Apa Yang Kita Peroleh Sebagai Balasan?

Kerajaan belum memberikan penjelasan tentang apa yang Malaysia peroleh daripada perjanjian ini. Akses pasaran Amerika Syarikat yang dijanjikan dalam perjanjian ini adalah kecil berbanding dengan kos yang terpaksa Malaysia tanggung. Sementara itu, eksport Amerika Syarikat juga akan membanjiri pasaran kita dengan kadar tarif yang berkurangan, sekaligus menjejaskan pengeluar tempatan.

Syarikat-syarikat Amerika Syarikat akan menikmati pengecualian cukai bagi perkhidmatan digital. Pelabur Amerika Syarikat  juga dikenakan peraturan yang lebih longgar. Pengawal selia Amerika Syarikat pula mempunyai kuasa kelulusan terhadap piawaian Malaysia. Kepentingan Amerika Syarikat akan menentukan dasar luar Malaysia.

Dan sebagai balasan, Malaysia akan membelanjakan AS$220 bilion serta mempertaruhkan kestabilan ekonominya sendiri. Ini bukanlah perjanjian timbal balik. Ianya tidak adil.

Apa Yang Harus Berlaku Sekarang

Kami menggesa agar perkara-perkara ini dibuat:

  1. Kerajaan Persekutuan tidak mengambil sebarang langkah untuk meratifikasi perjanjian ini selagi penilaian menyeluruh terhadap implikasi peruntukan-peruntukannya belum dijalankan, dengan perundingan penuh bersama semua kementerian, agensi kerajaan, serta sektor ekonomi dan sosial;
  1. Parlimen melaksanakan penilaian parlimen yang komprehensif terhadap perjanjian ini, termasuk sesi pendengaran awam di mana pertubuhan masyarakat sivil, perniagaan tempatan, pekerja, dan ahli ekonomi dapat memberikan pandangan, dan hasilnya dibentangkan kepada Jemaah Menteri;
  1. Kerajaan tidak menyerahkan hak untuk menetapkan piawaian sendiri, melaksanakan dasar luar sendiri, dan mengurus ekonomi kita sendiri kepada mana-mana pihak lain.

Amerika Syarikat ialah rakan dagangan kita. Namun, perjanjian perdagangan mesti bersifat timbal balik, adil, dan menghormati kedaulatan Malaysia. Perjanjian ini langsung tidak memenuhi prinsip-prinsip ini.

Kami sebulat suara menuntut agar kerajaan mempertahankan kemerdekaan, kemakmuran, dan masa depan negara kita.

 

 

Mohideen Abdul Kader                                                                           Meenakshi Raman
Presiden                                                                                                     Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang                                                     Sahabat Alam Malaysia

Surat Kepada Pengarang, 30 Oktober 2025