Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan 40 pertubuhan masyarakat sivil Malaysia yang lain menggesa Kerajaan Malaysia supaya menolak tuntutan hak harta intelek oleh Kesatuan Eropah (EU) yang melangkaui kewajipan Malaysia di bawah Perjanjian WTO mengenai Aspek Hak Harta Intelek Berkaitan Perdagangan (TRIPS).
Bersama-sama pertubuhan-pertubuhan ini, CAP telah mengemukakan surat kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran bahawa tuntutan TRIPS-plus oleh EU ini boleh menjejaskan akses kepada ubat-ubatan mampu milik, melemahkan industri farmaseutikal generik tempatan Malaysia, menyekat hak petani serta mengancam keselamatan makanan.
Memandangkan pusingan terkini rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU sedang berlangsung dari 21 hingga 25 September 2026, Kerajaan mestilah memastikan komitmen perdagangan tidak menyekat keupayaan Malaysia untuk melindungi kesihatan awam serta memelihara kepentingan petani dan pengguna.
CAP amat bimbang mengenai cadangan EU berkaitan eksklusiviti data dan pemasaran, pelanjutan tempoh paten, rahsia perdagangan, penguatkuasaan hak harta intelek, reka bentuk perindustrian dan perlindungan varieti tumbuhan. Langkah-langkah TRIPS-plus ini boleh melanjutkan perlindungan monopoli, melambatkan persaingan ubat generik serta meningkatkan kos bagi pengguna dan sistem penjagaan kesihatan awam.
Harga ubat yang lebih tinggi dan kelewatan persaingan ubat generik
Cadangan EU bagi melanjutkan tempoh paten sehingga lima tahun akan memanjangkan tempoh monopoli farmaseutikal melebihi tempoh paten 20 tahun yang ditetapkan di bawah TRIPS. Apabila digabungkan dengan peluasan eksklusiviti data dan pemasaran, peruntukan sebegini boleh melambatkan kemasukan ubat generik yang mampu milik.
Satu kajian semula pada 2022 terhadap 91 kajian mendapati bahawa monopoli farmaseutikal yang lebih kukuh, yang terhasil daripada peruntukan TRIPS-plus, secara umumnya dikaitkan dengan harga ubat yang lebih tinggi, kelewatan ketersediaan ubat serta peningkatan kos bagi pengguna dan kerajaan. Kajian yang sama menganggarkan bahawa kesan gabungan pelanjutan tempoh paten dan eksklusiviti data di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Colombia–EU boleh meningkatkan perbelanjaan farmaseutikal Colombia sebanyak AS$756 juta pada 2025.
Cadangan TRIPS-plus EU juga boleh menjejaskan industri farmaseutikal generik tempatan, yang telah dikenal pasti sebagai sektor penting secara strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 bagi meningkatkan kemampuan, aksesibiliti dan pengeluaran dalam negara.
Malaysia juga merupakan pengimport bersih harta intelek, dengan aliran keluar bersih royalti harta intelek berjumlah kira-kira AS$2.7 bilion pada 2024, berbanding penerimaan sebanyak kira-kira AS$348 juta. Perlindungan harta intelek yang lebih kukuh dan lebih lama akan meningkatkan aliran keluar royalti serta membebankan pengguna Malaysia, program kesihatan awam dan pengeluar tempatan dengan kos tambahan.
“Pada masa belanjawan kesihatan Malaysia telah pun dikurangkan, adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab bagi kerajaan Malaysia untuk bersetuju dengan cadangan EU yang boleh melonjakkan lagi harga produk perubatan serta menambah beban kewangan kepada rakyat Malaysia dan sistem kesihatan awam yang sedia terbeban,” kata Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Tolak UPOV 1991 dan lindungi hak petani
CAP dan 40 pertubuhan masyarakat sivil yang lain turut berasa amat bimbang mengenai cadangan EU yang menuntut Malaysia melindungi varieti tumbuhan selaras dengan Akta 1991 Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV 1991).
Malaysia sudah pun mempunyai sistem perlindungan varieti tumbuhan sendiri di bawah Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu 2004 (Akta 634). Rangka kerja ini melindungi pembiak baka tumbuhan komersial di samping memelihara hak petani untuk menyimpan, menggunakan, menukar dan menjual benih varieti yang dilindungi yang disimpan sendiri. Ia juga mengandungi langkah-langkah perlindungan seperti langkah untuk mencegah biopirasi sumber genetik tumbuhan tempatan, serta memastikan ketersediaan benih pada harga yang berpatutan bagi petani Malaysia.
Menyelaraskan sistem Malaysia dengan UPOV 1991 hanya akan menyumbang kepada penguasaan korporat yang lebih besar dalam sektor benih, dan seterusnya meningkatkan kos benih yang membawa implikasi lebih luas kepada pengguna akibat kenaikan harga makanan, serta menjejaskan keselamatan makanan, kepelbagaian biologi pertanian dan daya tahan sektor pertanian Malaysia. Kepentingan EU adalah untuk meningkatkan akses pasaran bagi syarikat benih Eropah di Malaysia.
“Malaysia tidak perlu menerima komitmen TRIPS-plus untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan yang bercita-cita tinggi dengan EU. Perjanjian EU dengan India baru-baru ini menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk merundingkan perjanjian perdagangan tanpa perlu menyelaraskan dengan UPOV 1991 dan bersetuju dengan peruntukan TRIPS-plus seperti pelanjutan tempoh paten, eksklusiviti data dan pemasaran, serta kewajipan TRIPS-plus yang lain,” kata Chee Yoke Ling, Pengarah Eksekutif Third World Network, salah satu pihak yang turut menandatangani surat kepada Perdana Menteri itu.
Surat itu menggesa Kerajaan untuk:
- Menolak semua peruntukan harta intelek (IP) TRIPS-plus yang melangkaui kewajipan WTO Malaysia, termasuk eksklusiviti data dan pemasaran, pelanjutan tempoh paten, perlindungan rahsia perdagangan dan reka bentuk perindustrian yang berlebihan, langkah-langkah sempadan IP yang diperluas serta komitmen UPOV 1991;
- Melindungi ruang dasar Malaysia untuk menggunakan pelesenan wajib, penggunaan oleh kerajaan dan langkah-langkah perlindungan kesihatan awam yang lain;
- Mengekalkan Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu 2004 (Akta 634) dan menolak sebarang komitmen untuk menyelaraskan dengan atau menyertai UPOV 1991;
- Memastikan bahawa FTA itu tidak menjejaskan akses kepada ubat-ubatan mampu milik, persaingan ubat generik dan biosimilar, industri farmaseutikal generik tempatan Malaysia, hak petani atau daya tahan sistem pertanian; dan
- Memastikan ketelusan serta perundingan yang bermakna dengan masyarakat sivil, pertubuhan pengguna, kumpulan pesakit dan petani pekebun kecil sepanjang proses rundingan berlangsung.
CAP selanjutnya menyatakan bahawa kebimbangan terperinci telah pun dibangkitkan dengan kementerian berkaitan, termasuk melalui surat yang dihantar oleh Third World Network pada 4 Jun dan oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) pada 19 Jun 2026. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil itu menyatakan bahawa sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana kementerian mengenai status rundingan itu.
CAP menggesa Kerajaan supaya memastikan FTA Malaysia-EU tidak mengorbankan akses rakyat Malaysia kepada ubat-ubatan mampu milik, hak petani, keselamatan makanan, mahupun keupayaan Malaysia untuk melaksanakan dasar-dasar demi kepentingan awam. Perjanjian perdagangan mestilah berteraskan kepentingan awam serta memelihara ruang dasar yang diperlukan bagi pembangunan kesihatan, pertanian, dan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.
Antara pihak yang menandatangani surat itu ialah Malaysian Agroecology Society – SRI-Mas, Majlis AIDS Malaysia (MAC), Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Malaysian Rare Disorders Society; Médecins Sans Frontières (MSF) – cawangan Malaysia; Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Sahabat Alam Malaysia (SAM); serta Together Against Cancer Association.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 25 September 2026


