Pertubuhan Pekerja Bangunan dan Kayu Antarabangsa (Building and Wood Workers’ International – BWI), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Health and Safety Advisory Centre (HASAC) mengalu-alukan pelantikan YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang baharu. Keempat-empat organisasi tersebut menggesa Menteri agar memuktamadkan pengharaman menyeluruh terhadap semua jenis asbestos di Malaysia.
Perjuangan Malaysia untuk mengharamkan asbestos telah berlarutan selama beberapa dekad. Sejak tahun 1980-an, kesatuan sekerja dan masyarakat sivil telah memberi amaran tentang bahan karsinogenik ini, sering berdepan tentangan hebat daripada industri. Walaupun Malaysia telah mengharamkan sebahagian asbestos jenis amfibol pada tahun 1999, dasar “penggunaan terkawal” bagi asbestos krisotil (asbestos putih) telah menyebabkan bahan berbahaya ini terus wujud dalam rantaian bekalan, tempat kerja dan kediaman kita. Usaha-usaha terdahulu, khususnya pada tahun 2014, telah digagalkan oleh kepentingan korporat yang mengutamakan keuntungan berbanding nyawa manusia, sekali gus mendedahkan pekerja dan pengguna kepada risiko untuk satu dekad lagi. Kami ingin memastikan sejarah ini tidak berulang.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah lama menegaskan dengan jelas bahawa tiada tahap pendedahan asbestos yang selamat.
Penyakit-penyakit berkaitan asbestos, termasuk mesotelioma, mempunyai tempoh pendam yang panjang, dan jumlah kes di Malaysia semakin meningkat: sebanyak 27 kes dilaporkan pada tahun 2022, dengan unjuran hampir berganda menjelang tahun 2045. Justifikasi ekonomi bagi penggunaan asbestos adalah satu mitos. Bagi setiap USD1 yang dibelanjakan untuk penggunaan asbestos, ekonomi terpaksa menanggung sekitar USD3 dalam kos penjagaan kesihatan, pemulihan dan kehilangan produktiviti akibat penyakit berkaitan asbestos. Dalam masa yang sama, ribuan pekerja dalam sektor pembinaan, penyelenggaraan, pengurusan sisa dan utiliti berdepan pendedahan harian kepada asbestos warisan.
Kami memuji komitmen berani Kerajaan Malaysia sejak tahun lalu untuk mengkaji pelaksanaan pengharaman menyeluruh terhadap asbestos. Penghargaan khusus diberikan kepada bekas Menteri NRES, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, atas kepimpinan beliau dalam memulakan perubahan penting ini serta penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Tadbir Urus Bahan Kimia Berbahaya oleh Kementerian. Tempoh perkhidmatan beliau telah meletakkan asas ke arah Malaysia yang lebih selamat. Kini, kami menaruh harapan kepada Menteri YB Arthur Joseph Kurup untuk menyempurnakan misi ini.
Menteri baharu, YB Arthur Joseph Kurup, membawa gabungan pengalaman yang unik dan kukuh dalam bidang perundangan, ekonomi dan sains bagi portfolio ini. Sebagai bekas Pegawai Perdagangan dan Undang-Undang di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), beliau berada pada kedudukan terbaik untuk merungkai “kekeliruan (fallacy) ekonomi” yang sering digunakan oleh lobi asbestos. Kami yakin beliau memahami bahawa beban ekonomi jangka panjang akibat kos penjagaan kesihatan jauh mengatasi sebarang kemudahan atau kepentingan industri jangka pendek.
Kami menyeru YB Arthur Joseph Kurup menjadikan pengharaman menyeluruh asbestos sebagai reformasi utama beliau. Dengan mengutamakan kesihatan awam berbanding keuntungan korporat, beliau berpeluang memantapkan dirinya sebagai pemimpin berwawasan yang menyampaikan salah satu kejayaan terbesar dalam sejarah kesihatan alam sekitar di Malaysia.
Menuju tahun 2027: Bagi memulihkan momentum serta memastikan keselamatan pekerja dan kesihatan awam, kami mengemukakan tuntutan utama berikut kepada Menteri baharu:
1. Utamakan Pengharaman sebagai Reformasi Utama: Pelupusan berperingkat dan pengharaman menyeluruh mesti dimuktamadkan dan dilaksanakan dalam penggal Parlimen ini, khususnya sebelum tahun 2027.
2. Mengadakan Mesyuarat Pemegang Taruh Dengan Segera: Kami menyeru agar mesyuarat segera diadakan antara Kementerian, kesatuan sekerja, dan organisasi masyarakat sivil bagi menyelaraskan pelan tindakan teknikal untuk pengharaman ini.
3. Menentang Lobi Industri: Menteri mesti berdiri teguh menentang tekanan daripada industri asbestos dan melindungi pegawai-pegawai Kementeriannya daripada ugutan. Latar belakang perundangan beliau berperanan sebagai perisai bagi memastikan dasar negara ditentukan oleh sains dan hak asasi manusia, bukan gangguan industri.
4. Bertindak sebagai Penyelaras Utama: Pengharaman yang berjaya memerlukan pendekatan “keseluruhan kerajaan”, dengan Kementerian NRES sebagai penyelaras utama. Dengan agenda Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040) yang bertujuan menggantikan infrastruktur lama, termasuk ribuan kilometer paip air asbestos-simen, risiko pelepasan serat semasa penyingkiran dan pelupusan sisa asbestos adalah tinggi. Oleh itu, kerjasama antara jabatan adalah amat penting. Kita mesti memastikan setiap kontraktor yang terlibat dalam pengubahsuaian infrastruktur besar ini mempunyai pengetahuan dan keupayaan teknikal untuk mengendalikan, menyingkirkan, dan melupuskan asbestos warisan dengan selamat.
Ini bukan sekadar isu nasional. Dengan melaksanakan pengharaman menyeluruh, Malaysia akan muncul sebagai peneraju dalam kesihatan pekerjaan di ASEAN, menetapkan piawaian emas bagi negara jiran dan meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas global.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Siaran Media. 29 Disember 2025


