PETANI PERLU DIBERIKAN KEBEBASAN MEMILIH INPUT PERTANIAN ORGANIK DAN ALAMI DALAM SKIM SUBSIDI KERAJAAN

Pada 23 Januari lalu, Menteri Pertanian mengumumkan tambahan RM62 juta ringgit untuk insentif racun dalam Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Melalui insentif ini, pesawah akan mendapat tambahan insentif sebanyak RM100 menjadikan jumlah keseluruhan subsidi untuk pembelian racun bagi setiap hektar sebanyak RM300. Insentif ini adalah respon kepada keluhan pesawah terhadap kenaikan kos racun perosak dan rumpai sejak tahun lepas. Namun begitu, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) berpendirian bahawa tambahan subsidi racun melalui skim SIPP ini bukanlah penyelesaian jangka masa panjang kepada masalah kenaikan kos bersawah. Ini kerana, jika kerajaan terus menggalakkan penggunaan racun kimia dalam pertanian, kenaikan kos pada masa hadapan akan terus berlaku.

Dua tahun sejak bermulanya pandemik, kos pertanian telah meningkat dengan mendadak kerana gangguan logistik dan bahan mentah. Harga benih, baja, alat ganti jentera dan racun semuanya meningkat. Harga racun misalnya, meningkat 50% – 100%. Terdapat banyak jenis makhluk perosak dan rumpai yang boleh mengganggu penghasilan tanaman. Pada setiap peringkat tumbesaran tanaman, jenis-jenis rumpai dan makhluk perosak yang berlainan akan timbul bergantung kepada musim dan keadaan persekitaran. Para petani di Malaysia sudah terbiasa diajar menggunakan racun sebagai penyelesaian kepada semua masalah perosak dan rumpai. Tanpa disedari, amalan ini menjadi beban yang semakin berat untuk ditanggung setiap tahun. Tahun demi tahun, lebih banyak racun yang spesifik kepada sesejenis perosak atau rumpai diperlukan oleh petani dan dos yang perlu digunakan meningkat sedikit demi sedikit. Ini berlaku kerana perosak dan rumpai tersebut telah menjadi rintang terhadap racun yang digunakan. Secara langsung, peningkatan dos dan jenis racun yang digunakan akan meningkatkan kos bertani terutamanya kepada pesawah padi.

Rintangan perosak dan rumpai terhadap racun adalah masalah yang serius dan semakin berleluasa. Di seluruh dunia, lebih daripada 600 spesies perosak telah menjadi rintang terhadap racun perosak dalam tahap yang pelbagai. Jika rintangan terhadap racun perosak tertentu ini berkembang dari satu generasi perosak ke generasi seterusnya, produk ini tidak lagi boleh digunakan dengan berkesan sekali gus mengurangkan pilihan yang tersedia untuk mengawal perosak. Akhirnya petani akan terikat dan terpaksa menggunakan satu-satunya pilihan yang ada di pasaran walaupun perlu membelanjakan kos yang lebih besar.

Subsidi melalui skim SIPP tidak berikan terus kepada petani tetapi diberikan kepada vendor input racun dan baja dan pengusaha jentera. Pesawah hanya boleh memilih jenis racun atau baja yang hendak digunakan daripada satu senarai khas yang terhad. Ini bermakna, tambahan RM62 juta untuk insentif racun tersebut sebenarnya hanya akan menguntungkan syarikat pengeluar kerana petani terikat kepada pilihan yang terhad tersebut. FKMM menggesa supaya kaedah pemberian subsidi input pertanian melalui vendor ini dihapuskan dan digantikan dengan sistem bayaran terus kepada pesawah supaya pesawah dapat memilih sistem kawalan perosak dan rumpai yang sesuai dengan sawah mereka. Kesedaran terhadap bahaya kebergantungan kepada racun kimia semakin meningkat di kalangan pesawah tetapi mereka tidak diberi ruang untuk berubah kepada sistem pertanian tanpa kimia yang lebih selamat dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.

Pihak MAFI patut mengambil kesempatan melalui skim SIPP ini untuk menggalakkan peralihan petani di Malaysia kearah pertanian alami dan organik sesuai dengan inisiatif-inisiatif MAFI sedia ada seperti myOrganic, myGAP dan program kebun komuniti. Tindakan subsidi racun ini juga bercanggah dengan kenyataan Menteri di Parlimen tahun lalu yang memberi komitment untuk meningkatkan pertanian organik di Malaysia.

NURFITRI AMIR MUHAMMAD
Koordinator,
Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)

KENYATAAN INI DISOKONG OLEH:
1. IDRIS Association
2. Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
3. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS MALAYSIA)
4. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
5. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
6. Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas)
7. Third World Network (TWN)
8. Badan Bertindak Petani MADA
9. Malaysian Institute of Sustainable Agriculture (MISA)
10. Komuniti Pondok Sukun (KomPoS)
11. Organic Alliance Malaysia
12. Persatuan Pertanian Alami Kelantan (ALAMI)
13. Persatuan Pertanian Alami Malaysia ( NFAM)

 

KENYATAAN MEDIA, 28 JAN 2022

FKMM merupakan platform perbincangan dan tindakan untuk memperkukuh jaminan bekalan makanan dan kedaulatan makanan di Malaysia. FKMM memperjuangkan hak-hak petani dan perubahan dasar ke arahagrobiodiversiti dan agroekologi melalui pertanian semula jadi, permakultur dan pertanian organik.