Pihak berkuasa perlu memastikan beranda bangunan bertingkat selamat untuk kanak-kanak

Terdapat video yang tular dalam media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak yang kelihatan berusia 7 hingga 8 tahun, memanjat pagar beranda ke langkan bangunan bertingkat (mungkin rumah pangsa) dan terus berjalan ke sana ke mari di atas langkan. Kanak-kanak perempuan ini dilihat melakukannya di tingkat sepuluh atau sebelas bangunan itu. Sebentar kemudiannya, dia kelihatan seperti mendengar bunyi dan bergesas, dengan sedikit kesukaran, memanjat pagar kembali untuk ke beranda.

Video ini menunjukkan sesuatu yang sangat nyata dan mengerikan. Satu langkah yang salah dan kanak-kanak itu boleh jatuh menjunam hingga mati. Apa yang membimbangkan ialah ini mungkin berlaku lebih kerap daripada yang kita sedar.

Kita perlu menerima realiti bahawa akan sentiasa ada keluarga yang mempunyai anak kecil tinggal di bangunan bertingkat, seperti rumah pangsa, kerana kekangan kewangan. Kita juga perlu memahami bahawa ibu bapa tidak boleh memerhati anak-anak mereka 24/7; dan kanak-kanak, yang sentiasa ingin tahu tentang sesuatu perkara, tidak akan sentiasa mendengar dan mematuhi ibu bapa mereka tentang perkara-perkara yang mereka telah diberitahu untuk tidak lakukan. Ibu bapa hanya perlu pergi ke bilik lain (walaupun tidak keluar rumah) dan anak mereka boleh terlibat dengan perkara yang dilarang secara jelas. Contohnya, kami tidak mengetahui keseluruhan situasi dengan gadis dalam video itu, tetapi cara dia tergesa-gesa untuk melepasi pagar dan kembali ke beranda menunjukkan bahawa dia mungkin telah diberitahu untuk tidak memanjat pagar dan mengetahui dia sedang melakukan sesuatu yang dia tidak sepatutnya lakukan.

Jadi apakah penyelesaiannya? Pada Oktober 2018, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata kementeriannya akan mengkaji pelaksanaan langkah keselamatan baharu di bangunan bertingkat selepas beberapa tragedi maut membabitkan kanak-kanak terjatuh dari tingkat atas bangunan. Menurut Datuk Zuraida (seperti yang dinyatakan dalam artikel berita) Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984) telah menetapkan bahawa pagar beranda (bangunan bertingkat) tidak boleh kurang daripada 1 meter tinggi. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak mahu rumah dirasakan seperti penjara (dengan membuat pagar terlalu tinggi) tetapi kementeriannya akan melihat semula struktur untuk melihat sama ada spesifikasi itu perlu diubah.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bertanya apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai perkara ini sejak kenyataan ini dibuat pada akhir 2018? Kami percaya bahawa untuk mengelakkan sebarang tragedi yang melibatkan kanak-kanak dan beranda daripada berlaku, langkah keselamatan mestilah disepadukan ke dalam struktur bangunan itu sendiri. Seperti yang dapat kita lihat dari video itu, kanak-kanak perempuan itu boleh memanjat pagar ke langkan beranda, bermakna beranda bangunan itu tidak selamat. Pihak kementerian perlu menyiasat perkara ini dengan segera dan melaksanakan langkah keselamatan yang lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak yang tinggal di bangunan bertingkat.

 

Kenyataan Akhbar/Surat Kepada Pengarang,  15 November 2021