Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Penang Port (PP) menyemak semula jadual perkhidmatan feri Pulau Pinang-Butterworth masa kini kerana selang dua jam antara perjalanan akan menyebabkan kesulitan khususnya kepada penumpang pejalan kaki. Jadual perkhidmatan feri PP diterbitkan dalam laman sesawang https://www.penangport.com.my/services/ferry-services/schedule
Pejalan kaki sering tidak berdaya, amat bergantung kepada feri untuk membawa mereka menyeberangi selat kerana kemungkinan mereka tidak mempunyai pengangkutan sendiri dan mengambil teksi untuk menyeberangi jambatan itu mahal.
PP juga perlu mempertimbangkan mereka yang bergantung kepada pengangkutan bersambung untuk mendapatkan atau mempunyai masa janji temu sensitif seperti janji temu untuk ke hospital. Ia tidak boleh mengharapkan penumpang pejalan kaki untuk merancang perjalanan mereka mengikut jadual feri kerana selang dua jam terlalu lama, membuang masa penumpang.
Selang dua puluh minit hingga setengah jam adalah lebih munasabah. Selang dua jam dalam jadual tidak memudahkan pengangkutan bersambung kerana orang ramai mungkin mempunyai janji temu pada masa kritikal untuk dipenuhi.
Dengan kehidupan di Pulau Pinang hampir pulih apabila ia beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kekerapan perkhidmatan feri harus dipertingkatkan.
Jika PP berpendapat bahawa selang dua jam itu diperlukan untuk mengurangkan kos operasi, maka adalah salah kerana operasi pengangkutan awam tidak boleh dianggap sebagai usaha mencari wang. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Penang Port.
Mungkin PP perlu belajar daripada perkhidmatan kereta api di Hokkaido, Jepun, yang terus menyediakan perkhidmatan ke stesen kereta api Kyu-Shirataki yang kurang digunakan dan terpencil beberapa kali sehari hanya untuk menghantar seorang pelajar sekolah menengah ke kelas dan balik. Ia beroperasi sehingga penumpang tunggal itu menamatkan pengajian.
Walaupun PP tidak dapat mencontohi perkhidmatan kereta api Hokkaido itu, ia sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan keperluan penumpang pejalan kaki untuk mengendalikan jadual yang lebih cekap. Ia tidak boleh mengharapkan penumpang yang tiba di Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth selepas 11 pagi untuk menunggu di terminal feri sehingga 1 tengah hari untuk mendapatkan feri seterusnya ke Pulau Pinang.
Kami ingin menyarankan satu lagi perkara: jadual feri dipaparkan dalam laman sesawang PP. Melainkan jika seseorang itu menyemak laman sesawang, mudah untuk mengandaikan bahawa perkhidmatan feri dikendalikan secara 20 minit hingga 30 minit. Lebih-lebih lagi, kekerapan perkhidmatan feri juga dikurangkan secara drastik pada cuti umum dan hujung minggu.
Kenyataan Media, 16 November 2021