Pinda Undang-Undang Untuk Kenakan Hukuman Berat Ke Atas Pengeluar Makanan Kotor

Laporan media baru-baru ini mendedahkan empat kilang fucuk (kepingan tauhu kering nipis) di Sungai Bakap dan Sungai Jawi, Pulau Pinang dikenakan notis kompaun kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Pulau Pinang (BKKM), Encik Mohd Wazir Khalid berkata notis kompaun bernilai RM8,500 dikeluarkan kepada premis yang beroperasi bersebelahan tapak bekas kandang babi, kerana melanggar Peraturan 10 dan Peraturan 32 Akta Makanan 1983.

Kami berpendapat bahawa Akta Makanan 1983 perlu dipinda, memandangkan Seksyen 11 Akta itu menyatakan bahawa mereka boleh mengeluarkan “perintah penutupan dengan segera tidak melebihi 14 hari bagi mana-mana premis yang menyediakan atau menjual makanan” dan “jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali”, tidak cukup untuk mencegahnya.

Hukuman yang ditetapkan oleh Seksyen 11 Akta itu jelas tidak mencukupi dengan mengambilkira sebahagian besar daripada penduduk boleh terjejas oleh penyebaran makanan tercemar daripada kilang itu.

Amalan tidak bersih dan kotor itu juga boleh menyebabkan pelanggan yang memakannya mengalami keracunan makanan. Ia juga mencemarkan nama baik mereka yang mematuhi amalan standard pengendalian makanan.

CAP menggesa Kerajaan supaya mempertimbangkan untuk menaikkan lagi denda kepada RM30,000 dengan mengambilkira kesan kesihatan yang serius akibat memakan makanan yang tidak bersih dan meminda Akta Makanan dengan sewajarnya.

 

Kenyataan Akhbar, 23 Februari 2021

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *