Tangani segera pencemaran sungai di Kuala Kerpan – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Kedah mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan kolam ternakan udang yang mengancam kehidupan 200 nelayan di Kuala Kerpan, daerah Kubang Pasu dekat Jitra di sini.

Kejadian yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu itu, menjadi semakin serius sejak tiga tahun kebelakangan ini mencemarkan sungai di kampung tersebut walau pun ia telah beberapa kali dibuat aduan oleh penduduk-penduduk yang terlibat kepada pihak berkenaan.

 

Air sungai di Kuala Kerpan, Kedah menjadi hitam dan berbau busuk akibat dicemari sisa buangan kolam ternakan udang. Gambar kecil: Bangkai ikan mati terapung.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain air Sungai Kerpan bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk, hidupan di dalamnya seperti ikan, udang, ketam serta kerang semakin berkurangan dan hampir pupus.

Berikutan itu, pendapatan nelayan di sini telah merosot melebihi 50% dan kadang-kadang mencecah hingga 90% jika masalah ini terus berlaku.

Mereka mendakwa pengusaha ternakan udang terbabit membuang sisa kolam pada awal pagi bagi mengelak diketahui oleh orang ramai dan pihak berkuasa.

Namun begitu, perbuatan tersebut dapat dikesan kerana air sungai menjadi hitam, berbau busuk dan beberapa jenis ikan seperti sembilang, gelama, siakap dan lain-lain didapati mati terapung di permukaan air.

CAP kesal dengan kejadian ini yang sudah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan. CAP bimbang jika ia dibiarkan air sungai tersebut akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang dan boleh menyebabkan hidupan di dalamnya pupus dan nelayan tempatan putus mata pencarian.

CAP berharap JAS dan Jabatan Perikanan menyiasat secara menyeluruh masalah ini dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas supaya ia tidak berulang serta merebak ke laut berhampiran tempat nelayan pantai mencari rezeki.

 

Kenyataan Media, 23 Februari 2021

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *