Satu laporan mengejut telah mendedahkan bahawa 70 peratus doktor yang ditemu bual mengakui mereka menjadi mangsa buli ketika berkhidmat dalam sektor awam sementara 17 peratus terfikir membunuh diri. Perkara ini tidak dapat diterima kerana ia menunjukkan betapa meluas dan teruknya budaya membuli yang berlaku.
Statistik ini membimbangkan kerana sekitar 75 peratus doktor yang memberikan maklum balas kepada satu kajian yang dilakukan oleh Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS) mendakwa mereka semakin hilang minat untuk bekerja sementara 80 peratus yang lain berasa bimbang.
Malah baru-baru ini sesetengah doktor mengakui kepada pihak media bahawa mereka pernah dibuli manakala seorang doktor pula menyebut ada sebahagian doktor berhenti kerja kerana “terlalu letih dan mengalami trauma”, bukan kerana mereka tidak lagi bersemangat untuk bekerja. Pengakuan sebegitu amat mengejutkan dan memperlihatkan sisi gelap profesion perubatan di mana doktor sendiri menjadi mangsa amalan yang tidak sihat.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan lain-lain badan yang berkaitan agar menangani masalah yang berulang ini sejak bertahun lamanya.
Kami menggesa doktor muda agar menggunakan talian bantuan Helpdoc 24 jam untuk melaporkan sebarang gangguan dari rakan senior mereka. Presiden MMA, Mohamed Namazie Ibrahim berkata Helpdoc diperkenalkan tahun lalu namun sambutannya “agak dingin” sungguhpun tinjauan pendapat yang dilakukan oleh DOBBS menunjukkan hampir 80 peratus responden pernah menjadi mangsa buli.
Jurang di antara hasil tinjauan pendapat DOBBS dan sambutan “agak dingin” doktor yang melapor kepada Helpdoc adalah membimbangkan. Ini menunjukkan doktor yang diganggu atau dibuli enggan tampil ke depan untuk membuat laporan mengenai senior mereka.
Walaupun Mohamed Namazie menekankan bahawa identiti pemanggil akan dirahsiakan dan masalah mereka akan ditangani oleh wakil di hospital pelatih di negara ini, punca sebenar keengganan mereka untuk melaporkan tentang gangguan yang berlaku harus dikenal pasti.
Sehubungan itu kami menggesa kerajaan agar menjalankan siasatan mengenai kegusaran dan masalah yang dihadapi oleh golongan perubatan daripada doktor hinggalah kepada jururawat kerana terdapat laporan mengenai jururawat turut diganggu. Masalah tersebut kian berleluasa dan serius, khususnya di hospital awam.
Kenyataan Akhbar, 5 Januari 2021