Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa amat sedih dengan kematian dan masalah kesihatan yang dihadapi oleh orang asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan. Malah amat mengejutkan setelah beberapa hari berlalu dan pihak berkuasa masih belum pasti penyebab sebenar kematian dan kemerosotan kesihatan dalam kalangan suku Bateq.
Sementara kami mengalu-alukan mesyuarat tergempar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah dalam memberikan perhatian khusus kepada isu itu dan dalam menyuarakan betapa perlunya tindakan menyeluruh, SAM berpandangan ia tidak cukup dengan hanya menangani isu kesihatan yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli tetapi perlunya untuk menangani punca permasalahan sebenar yang membawa kepada kemerosotan kesihatan mereka.
Tindak balas menyeluruh diperlukan pihak berkuasa Negeri dan Persekutuan untuk mengakui akan kelemahan yang dihadapi oleh komuniti orang asli akibat daripada kemusnahan tanah mereka dan pencemaran sumber asli mereka dan alam sekitar di persekitaran mereka, termasuk sumber air mereka.
Masalah kesihatan yang dihadapi oleh komuniti orang asli bukanlah dialami oleh suku Bateq sahaja. SAM telah lama mendokumetasikan insiden masalah kesihatan dalam kalangan orang asli sejak 1980-an dan beberapa tahun lalu. Melalui kerja kami di lapangan, kami kerap berdepan masalah yang dikemukakan oleh komuniti orang asli di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, di mana banyak daripada penyakit mereka adalah disebabkan oleh kemusnahan dan pencemaran alam sekitar. Antara penyakit yang sering dihadapi oleh mereka ialah demam, masalah perut dan penghadaman, cirit-birit, muntah, penyakit kulit dan jangkitan mata hinggalah kepada malaria. Keadaan ini boleh dilihat terutama sekali dalam kalangan suku nomad seperti komuniti Penan di Baram, Sarawak.
Di tambah lagi dengan perampasan dan tidak mengiktiraf hak tanah adat dan sumber asli mereka dalam usaha untuk memberi laluan bagi syarikat yang terlibat dalam pembalakan, peladangan, syarikat pelombongan dan kepentingan lain yang membawa kepada kemiskinan, kekurangan zat, tekanan psikologi dan kesihatan yang buruk menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyakit dan kematian.
Masalah ini sebenarnya boleh dicegah jika Kerajaan Negeri mengakui hak dan adat orang asli terhadap sumber asli dan tanah mereka. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri mempunyai kewajipan fiduciary untuk melindungi hak komuniti orang asli sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan beberapa keputusan kehakiman.
Tambahan pula, terdapat kegagalan di pihak berkuasa kita dalam menyampaikan perkhidmatan asas kepada komuniti orang asli kita di luar bandar, daripada bekalan air bersih dan elektrik, kemudahan sanitasi yang baik, infrastruktur pengangkutan dan pendidikan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Sepanjang masa, tidak terkira jumlah surat dan memorandum yang dihantar oleh kami kepada semua pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri yang mengulangi rungutan masalah yang dihadapi oleh komuniti penduduk asli di negara ini.
Banyak daripada kebimbangan kami telah dikemukakan dalam 136 resolusi yang dihasilkan oleh Konvensyen Orang Asli Kebangsaan pada April 2019. Seterusnya, Laporan Penyiasatan Kebangsaan terhadap Hak Tanah Penduduk Asli yang diterbitkan oleh SUHAKAM pada 2013 menjadi kunci rujukan negara, menjelaskan pencabulan sistemik hak tanah adat penduduk asli di Malaysia dan kesannya. Malangnya, 18 saranannya masih belum dilaksanakan.
Oleh sebab itu, kami menggesa pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri yang bertanggungjawab terhadap penduduk asli, tanah, hutan, air, sumber asli, alam sekitar, penjagaan kesihatan, perkhidmatan luar bandar, pendidikan, pengangkutan, industri utama dan undang-undang, bekerja bersama dengan komuniti penduduk asli, perundangan dan masyarakat sivil, untuk menangani sepenuhnya punca permasalahan tragedi ini, dalam usaha untuk mewujudkan satu dasar yang betul dan pembaharuan dalam undang-undang untuk melindungi hak dan kebajikan penduduk asli kita.
Sama juga dengan Parlimen mestilah menubuhkan satu badan untuk menangani perlindungan hak penduduk asli Malaysia.
Melainkan kerajaan mengakui punca masalah sistemik komuniti penduduk asli, penyelesaian institusional yang betul akan terus menghantui kita.
Jika perkara ini berterusan, maka tragedi yang dialami oleh komuniti suku Bateq mungkin akan berulang kembali.
Siaran Akhbar, 12 Jun 2019