Risiko projek penebusan karbon menjadi rampasan hak tanah adat yang

Bantahan oleh tiga komuniti dari Logan Entasan, Logan Kompeni, dan Sungai Brit, Marudi, Februari 2025.

Sempena Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia yang jatuh pada 9 Ogos, SAM ingin menyeru kerajaan persekutuan dan negeri untuk memastikan bahawa wilayah adat orang asal di negara ini tidak akan dilibatkan ke dalam mana-mana projek penebusan karbon, tanpa proses pemberian izin dengan maklumat awal, bebas dan telus (IMABT) komuniti yang terjejas. Hakikatnya, kerajaan negeri dan pemaju projek penebusan karbon, tidak lagi boleh menentukan sempadan dan keluasan wilayah adat orang asal secara satu hala, sebelum memutuskan dengan muktamad bahawa kawasan projek-projek ini tidak termasuk wilayah komuniti.

Hanya minggu lepas, pada 30 Julai, lima wakil komuniti dari kampung Logan Entasan, Sungai Brit A, Sungai Peking dan Lobang Kompeni di Marudi dan Persatuan Melayu Marudi, telah memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Kuching, berhubung dengan pertindanan wilayah tanah adat mereka (NCR) mereka di dalam Marudi Peat Swamp Forest Conservatation and Restoration Project di Marudi.

Projek penebusan karbon hutan ini, yang dikenali sebagai aktiviti karbon hutan di bawah Ordinan Hutan 2015 di Sarawak, dibangunkan oleh Sara Carbon Sdn. Bhd, anak syarikat kumpulan perniagaan Samling, syarikat pembalakan dan perladangan monokultur Sarawak. Projek ini berada di dalam LPF 8, yang merupakan lesen ladang monokultur kayu yang dikeluarkan kepada Samling di bawah undang-undang perhutanan yang sama; dan akan dilaksanakan di bawah piawaian yang dibangunkan oleh Verra, sebuah syarikat yang berpangkalan di Washington.

Dalam dua tahun kebelakangan ini, komuniti ini telah menyatakan bantahan mereka terhadap pertindanan wilayah komuniti mereka di dalam kawasan projek melalui pelbagai cara, tanpa menemukan sebarang penyelesaian. Setakat ini, sekurang-kurangnya lima pucuk surat telah ditulis, empat buah laporan polis telah dibuat dan dua buah demonstrasi aman telah dijalankan.

Bantahan oleh penduduk Kampung Lobang Kompeni, Februari 2025.

Surat bantahan bersama komuniti yang pertama bertarikh 28 November 2024, telah ditandatangani seramai 319 orang dari 15 kampung di daerah Marudi, yang dihantar kepada semua pihak berkaitan, termasuklah Verra. Surat kedua bertarikh 11 Januari 2025, ditandatangani oleh 26 orang dari Kampung Lobang Kompeni, telah dihantar ke Pejabat Daerah Marudi. Surat ketiga pula, bertarikh 20 Januari 2025, ditandatangani oleh 63 orang, telah dihantar oleh komuniti Logan Entasan kepada pemaju projek dan Pejabat Daerah Marudi. Pada bulan Mac, surat keempat telah dihantar oleh komuniti Lobang Kompeni sekali lagi, ditujukan kepada pemaju projek, membantah pemasangan perangkap kamera hidupan liar di dalam wilayah mereka. Pada 18 Julai lalu, komuniti Sungai Peking menulis surat kelima kepada pemaju projek, Verra, Bursa Karbon Bursa (BCX), Jabatan Hutan Sarawak dan Pejabat Daerah Marudi.

Sementara itu, pada Januari tahun ini, seorang ahli komuniti Logan Entasan telah pun membuat sebuah laporan polis, mendakwa bahawa aktiviti pengukuran tanah dijalankan di wilayah mereka tanpa izin mereka. Kemudian, pada bulan Februari, seorang ahli komuniti Lobang Kompeni membuat satu lagi laporan polis, mendakwa bahawa pencerobohan pemaju projek juga berlaku setelah menemukan pembinaan papan tanda projek. Pada Mac lalu, satu lagi laporan lagi dibuat oleh wakil Lobang Kompeni, bersama Persatuan Melayu Marudi. Terakhir sekali, pada bulan Julai yang lalu, wakil daripada Persatuan Melayu Marudi juga membuat satu lagi laporan polis, mendakwa pencerobohan dan penanaman pokok oleh pemaju projek di dalam wilayah mereka tanpa izin mereka.

Komuniti-komuniti ini juga telah mengadakan dua buah demonstrasi aman untuk membantah projek tersebut pada tahun ini. Yang pertama diadakan pada bulan Februari di Logan Entasan dan yang kedua pada Hari Sarawak pada Julai 22, di Tasong, di wilayah NCR Melayu Marudi.

Semua bantahan ini telah dibuat oleh komuniti yang terjejas berdasarkan kenyataan fakta bahawa wilayah tanah adat mereka sememangnya termasuk di dalam kawasan projek ini, bertentangan dengan dakwaan pihak pemaju projek.

Pada dasarnya, di kemelut kenyataan-kenyataan yang bertentangan ini, adalah kegagalan berterusan dan sistemik negara kita dalam mengiktiraf sepenuhnya wilayah tanah adat orang asal, berdasarkan adat dan sejarah komuniti, seperti yang digariskan oleh keputusan mahkamah. Hak tanah adat orang asal juga telah diisytiharkan oleh mahkamah kita sebagai hak terhadap harta dan nyawa, yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kegagalan ini juga tentunya didorong oleh kepentingan korporat.

Papan tanda projek dan komuniti wilayah Lobang Kompeni.

Dari dahulu sehinggalah hari ini, wilayah tanah adat orang asal telah dicerobohi oleh operasi seperti pembalakan, ladang monokultur dan pembinaan empangan besar serta infrastruktur lain. Hari ini, di atas nama pemuliharaan alam dan tindakan iklim, sebuah bentuk rampasan tanah yang baru telah muncul, atas nama projek penebusan karbon. Walau bagaimanapun, lumrah yang sama masih lagi terpakai – sektor korporat kini berpeluang mengaut keuntungan kewangan yang besar, kali ini di atas usaha pemuliharaan alam yang diswastakan, di ekosistem dan wilayah yang terus wujud pada hari ini, kerana perlindungan dan kepakaran komuniti sendiri.

Jelasnya, pasaran karbon telah dikenal pasti sebagai sebuah penyelesaian iklim yang palsu. Bukti telah menunjukkan bahawa projek penebusan karbon tidak membawa kepada sebarang pengurangan pelepasan karbon yang sebenar. Sebaliknya, mereka akan membenarkan industri dan negara yang berkuasa untuk meneruskan kadar pelepasan karbon mereka yang tinggi, asalkan pelepasan itu kononnya telah ditebus di tempat lain. Dalam jangka panjang, mereka sebenarnya berbahaya kepada iklim kita.

Sebagai setiakawan kami dengan kesemua komuniti ini, Sahabat Alam Malaysia, bersama Save Rivers, Bruno Manser Fonds (BMF) dan Projek Borneo, telah melancarkan sebuah petisyen pada bulan Mei yang lalu untuk menyuarakan bantahan kami terhadap projek kredit karbon di dalam wilayah tanah adat mereka, kerana ia mencetuskan pencabulan hak mereka secara langsung. Setakat ini, 76 organisasi telah menandatangani petisyen ini. Hari ini, ia akan dibuka kepada individu juga.

Di ufuk hari yang penting ini, kami menggesa kerajaan negeri Sarawak dan pemaju projek untuk menyahut seruan komuniti yang terjejas untuk mengecualikan wilayah mereka daripada Marudi Peat Swamp Forest Conservation and Restoration Project. Kami juga menyeru pemaju projek lain di negeri-negeri yang lain untuk juga memastikan projek penebusan karbon mereka, sekurang-kurangnya, tidak melanggar hak orang asal kita.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Kenyataan Akhbar, 8 Ogos 2025