Sakit Abdomen: Jangan Cepat Anggap Sekadar Angin

Sakit abdomen atau sakit perut adalah antara gejala yang paling biasa berlaku. Ada yang rasa pedih di ulu hati. Ada yang rasa memulas sekitar pusat. Ada yang sakit sebelah kanan bawah. Ada yang rasa kembung, loya atau mencucuk-cucuk.

Masalahnya, ramai orang cepat anggap semua sakit perut sebagai gastrik, angin atau salah makan. Sedangkan dalam perubatan, lokasi sakit abdomen boleh memberi petunjuk awal kepada kemungkinan punca.

Ia bukan untuk self-diagnose. Tetapi ia boleh bantu kita lebih peka bila sakit itu mungkin biasa, dan bila ia perlu diperiksa segera.

1. Sakit ulu hati. Jika sakit terasa di bahagian ulu hati, ia sering dikaitkan dengan gastritis, GERD atau ulser perut. Biasanya pesakit rasa pedih, senak, loya, dada panas, rasa masam naik ke tekak atau sakit bertambah selepas makan makanan tertentu, kopi, makanan pedas atau ubat tahan sakit tertentu.

2. Sakit kanan atas abdomen. Ini boleh berkait dengan masalah batu hempedu atau radang pundi hempedu. Sakit ini kadang-kadang datang selepas makan makanan berlemak. Ia boleh merebak ke belakang atau bahu kanan, dan disertai loya atau muntah.

3. Sakit kiri atas abdomen. Ini boleh berpunca daripada masalah perut, pankreas atau limpa. Jika sakit sangat kuat, berpanjangan, merebak ke belakang atau disertai muntah berulang, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan pemeriksaan.

4. Sakit sekitar pusat. Ini pula selalu berlaku dalam gastroenteritis, keracunan makanan, angin atau sembelit. Biasanya sakit jenis memulas, kembung, tidak selesa seluruh perut, dan boleh datang bersama cirit-birit, muntah atau demam ringan.

5. Sakit kanan bawah abdomen. Ini antara lokasi yang perlu diberi perhatian. Sakit kanan bawah abdomen boleh dikaitkan dengan apendisitis. Kadang-kadang sakit bermula di sekitar pusat, kemudian bergerak ke kanan bawah abdomen. Ia boleh disertai kurang selera makan, loya, muntah atau demam. Ini bukan sakit perut yang wajar dibuat main.

6. Sakit kiri bawah abdomen. Ini boleh berkait dengan masalah usus, sembelit atau diverticulitis. Ia mungkin datang bersama perubahan najis, perut kembung, sakit setempat atau demam jika ada keradangan.

7. Sakit bawah abdomen. Ini boleh berpunca daripada jangkitan kencing, batu karang atau masalah pelvis. Jika ada pedih kencing, kerap kencing, kencing berdarah, sakit pinggang atau sakit ari-ari, dapatkan pemeriksaan.

Untuk wanita, sakit bawah abdomen juga perlu dinilai dengan lebih berhati-hati. Ia boleh berkait dengan senggugut, ovarian cyst, jangkitan pelvis atau kehamilan luar rahim, terutama jika lewat haid, ada pendarahan faraj, pening atau sakit kuat sebelah.

Tanda amaran yang tidak boleh diabaikan:

● Sakit abdomen sangat kuat
● Sakit semakin teruk
● Muntah berterusan
● Demam tinggi
● Perut keras atau semakin kembung
● Najis berdarah atau muntah darah
● Pening, pengsan atau berpeluh sejuk
● Tidak boleh buang air besar atau kentut
● Sakit abdomen semasa hamil

Take home message: Sakit abdomen bukan sekadar “sakit perut”. Lokasi sakit boleh beri petunjuk, tetapi diagnosis sebenar tetap memerlukan pemeriksaan klinikal.

Jangan terlalu yakin dengan tekaan sendiri. Kadang-kadang yang kita sangka angin, rupanya masalah yang perlukan rawatan segera.

Jika sakit semakin kuat, berulang atau disertai tanda amaran, dapatkan pemeriksaan.

Sumber: Public Health Malaysia