
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik pengumuman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Malaysia telah mengenakan larangan mutlak dengan segera ke atas import sisa elektronik (e-waste) berkuat kuasa 4 Februari 2026. Dilaporkan bahawa mesyuarat kedua Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste juga turut membincangkan cadangan moratorium tiga bulan ke atas import sisa plastik.
Langkah ini adalah perlu untuk melindungi alam sekitar dan kesihatan awam, di samping mengingatkan dunia bahawa Malaysia bukanlah tapak pelupusan. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa penguatkuasaan yang tegas dan tersusun oleh semua agensi berkaitan amat penting untuk memastikan keberkesanan larangan itu. Kami bersetuju dengannya kerana penyeludupan sisa menimbulkan risiko yang serius kepada negara kita.
Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya melarang pembuangan sisa elektronik oleh negara-negara perindustrian ke negara membangun atau ekonomi yang sedang berkembang. Pada tahun 2025, peraturan baharu mula berkuat kuasa di mana semua sisa elektronik yang diperdagangkan tertakluk kepada kawalan antarabangsa bagi persetujuan dimaklumkan terlebih dahulu, bukan hanya yang dilabel sebagai “sisa berbahaya”.
Di pelabuhan masuk di Malaysia, penghantaran sisa haram mungkin terlepas pandang, mungkin kerana penghantaran itu diisytiharkan sebagai barangan yang dibenarkan, barangan terpakai, barangan elektronik terpakai atau skrap logam bercampur. Terdapat juga elemen jenayah terancang dan rasuah dalam memudahkan penyeludupan sisa.

Komponen elektronik dan elektrik mengandungi logam berat dan banyak bahan berbahaya. Oleh itu, pembuangan sisa elektronik dan aktiviti kitar semula haram adalah berbahaya kepada alam sekitar dan mengancam kesihatan pekerja serta komuniti sekitar kerana ia melepaskan bahan pencemar beracun yang mencemarkan udara, tanah, habuk dan air.
Pembakaran terbuka dan pemanasan sisa elektronik sangat berbahaya kerana pelepasan asap toksik. Kami telah menemui cebisan sisa elektronik yang dibuang dengan secara sewenang-wenangnya dan apabila ia terbakar akan melepaskan asap toksik. Komuniti yang terdedah kepada pencemaran ini menghadapi risiko yang meningkat bagi penyakit sistem pernafasan, malah risiko kanser dalam jangka panjang. Penyakit kronik yang berkaitan dengan pendedahan sisa elektronik memerlukan penjagaan perubatan jangka panjang yang meningkatkan perbelanjaan kesihatan awam dan mengurangkan produktiviti.
Penguatkuasaan yang tegas sama pentingnya dengan undang-undang yang kuat. Malaysia perlu memastikan penguatkuasaan melalui prosedur kastam yang kukuh, kawalan sempadan, pelaksanaan pemeriksaan yang teliti, meningkatkan pemeriksaan rawak dan tersasar ke atas penghantaran, membanteras rasuah, mengenakan hukuman berkesan bagi pelanggaran dan memastikan pendakwaan pesalah dilakukan dengan pantas dan telus. Hukuman bagi penyeludupan sisa mestilah setimpal dengan kerosakan alam sekitar dan kesan kepada kesihatan awam.
Garis Panduan bagi Pergerakan Rentas Sempadan Peralatan Elektrik dan Elektronik Terpakai (UEEE) di Malaysia, yang menyediakan panduan dan kriteria bagi tujuan pergerakan rentas sempadan UEEE atau komponennya untuk kegunaan semula secara langsung, penggunaan semula, pembaikan, dan pengubahsuaian, perlu dinilai semula dan kelemahannya ditangani kerana pengimportan UEEE dibenarkan atas nama “barangan terpakai” atau “boleh dibaiki” walaupun sebenarnya ia adalah e-waste.
Pengumpulan sisa elektronik di Malaysia secara domestik perlu dipertingkatkan untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi kilang kitar semula sisa elektronik berlesen yang telah ditubuhkan. Pihak berkuasa berkaitan mestilah memastikan kilang kitar semula sisa ini mematuhi undang-undang. Pihak berkuasa tempatan juga sepatutnya berwaspada dan mengambil tindakan terhadap kilang haram dan pembuangan sisa haram di kawasan mereka. Beberapa aktiviti haram ini telah dilaporkan oleh komuniti berdekatan. Pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan perlu bertindak atas maklumat ini dan juga bersikap proaktif dalam meronda untuk mendedahkan operasi haram.
Pembersihan dan pemulihan tanah dan air yang tercemar memerlukan kos yang tinggi. Hasil tanaman yang berkurangan akibat tanah yang tidak sihat, aliran toksik ke sungai dan perairan pantai yang meracuni hidupan air juga mengancam sumber pendapatan petani dan nelayan kita. Siapa yang akan membayar semua ini, dan mengapa komuniti kita perlu menderita dari segi kesihatan dan mata pencarian mereka? Inilah sebabnya kami menggesa untuk menghentikan perdagangan sisa dan tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil untuk membanteras penyeludupan dan pembuangan sisa.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Kenyataan Akhbar, 5 Februari 2026

