SAM memuji kawalan yang lebih ketat terhadap pengimportan sisa plastik

Gambar Bernama

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan kawalan yang lebih ketat ke atas pengimportan sisa plastik yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia di bawah Perintah Kastam yang dipinda baru-baru ini. Kami amat menghargai bahawa kerajaan Malaysia telah mengambil langkah terhadap ketidakadilan alam sekitar yang berkaitan dengan perdagangan sisa global.  Kami berharap dengan penguatkuasaan yang lebih ketat, ia akan membantu menamatkan kemudaratan kesihatan awam dan alam sekitar yang disebabkan oleh perdagangan sisa dan kitar semula toksik.

Perintah Kastam (Larangan Import)(Pindaan) 2025 yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 menghendaki pengimportan sisa, paring dan sekerap plastik di bawah kod tarif 39.15 bagi semua negara disertakan dengan Sijil Kelulusan (Certificate of Approval – COA) oleh atau bagi pihak SIRIM Berhad sepertimana yang ditakrifkan di bawah Garis Panduan bagi Pengimportan dan Pemeriksaan Sisa Plastik.

COA ialah permit untuk mengimport sisa plastik, yang dikeluarkan setelah berjaya mematuhi dengan semua keperluan yang digariskan dalam Garis Panduan, yang meliputi rangka kerja kawal selia pengimportan sisa plastik ke Malaysia bagi tujuan pembuatan, di mana sisa itu digunakan untuk menghasilkan produk siap atau barangan merentasi pelbagai industri.

Garis Panduan tersebut selanjutnya menyatakan bahawa pengimportan sisa plastik HANYA dibenarkan dari:

(i) Pihak yang telah meratifikasi Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya; atau

(ii) Negara-negara yang telah memeterai perjanjian dua hala, pelbagai hala atau serantau mengenai pergerakan rentas sempadan sisa plastik dengan Malaysia, perjanjian atau pengaturan itu tidak menjejaskan pengurusan sisa plastik yang mesra alam seperti yang dikehendaki oleh Konvensyen Basel.

Ini bermakna negara yang belum meratifikasi Konvensyen Basel seperti Amerika Syarikat, Fiji dan Haiti tidak boleh lagi mengeksport sisa mereka ke Malaysia. Menurut data yang dikumpul oleh Basel Action Network, pada 2024, Amerika Syarikat (AS)telah mengeksport 35,316 tan sisa plastik ke Malaysia.

Amerika Syarikat dan negara maju lain seharusnya bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa mereka, menambah baik kitar semula domestik, dan memastikan sistem pengurusan sisa adalah baik dari segi alam sekitar dan sosial. Negara-negara ini tidak sepatutnya mencari destinasi baharu untuk mengeksport sisa mereka. Ini akan menjadi insentif untuk mengutamakan pengurangan sisa dan mengambil langkah huluan untuk mengurangkan plastik.

Memandangkan kita kini mempunyai peraturan import yang lebih ketat, Malaysia perlu memastikan penguatkuasaan berkesan dengan prosedur kastam yang mantap, melaksanakan pemeriksaan rapi, membanteras rasuah, mengenakan penalti yang berkesan bagi pelanggaran peraturan dan memastikan pendakwaan yang cepat dan telus terhadap pesalah. Penyeludup bahan buangan tidak ragu-ragu untuk melanggar undang-undang atau mencari kecelahan dalam undang-undang bagi meneruskan operasi mereka. Maka, kita perlu sentiasa berwaspada dalam melindungi alam sekitar dan kesihatan awam kita daripada bahaya perdagangan sisa.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Kenyataan Akhbar, 30 Jun 2025