Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sg. Kereh berharap bahawa isu pencemaran Sungai Kereh yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang akan diselesaikan dengan segera kerana penduduk di sini telah dihantui dengan pencemaran sungai ini selama lebih 40 tahun.
CAP, LEKAS dan badan bertindak tersebut telah mendapatkan perkhidmatan sebuah makmal bebas untuk menjalankan analisa kualiti air di beberapa badan air di Kampung Selamat termasuk Sungai Kereh pada Disember 2020 yang lalu. “Berdasarkan laporan analisa makmal telah ada bukti saintifik untuk menyimpulkan bahawa punca utama pencemaran Sungai Kereh adalah daripada aktiviti penternakan babi di Kampung Selamat,” kata Zikrullah Ismail, Pengerusi LEKAS.
Kewujudan bukti ini akan memperkukuhkan kenyataan yang dibuat Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sg. Kereh selama ini. LEKAS bertekad dengan komitmen untuk memberi advokasi kepada penduduk tempatan sehingga isu ini dapat diselesaikan segera.
Pengerusi LEKAS Zikrullah Ismail menunjukkan kawasan untuk mengambil contoh air.
LEKAS akan menggiatkan kempen kesedaran kepada masyarakat awam supaya isu ini dapat difahami berdasarkan fakta yang jelas dan bukan hanya sekadar sentimen kosong semata-mata seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab.
Abdul Razib bin Abdul Rahim, Pengerusi badan bertindak tersebut menyatakan, “Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sg. Kereh menganggap bahawa pencemaran Sg. Kereh sudah terlalu lama diambil untuk mencari jalan penyelesaian. Pencemaran najis babi terus disalirkan ke Sg. Kereh, walaupun sudah ada desakan demi desakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama kami.”
Tambah beliau, “Kami ingin tegaskan bahawa badan ini akan terus membela penduduk kampung yang telah lebih 40 tahun berdepan dengan isu pencemaran ini sama ada membuat laporan polis atau dengan lebih serius ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”
“Pihak CAP berharap dengan pemantauan kualiti air sungai yang berterusan, pematuhan penternak bagi pelaksanaan sistem pelepasan sisa-sifar (zero-waste discharge system) serta penguatkuasaan Enakmen Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2016 dan Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, isu pencemaran Sungai Kereh ini dapat diselesaikan agar penduduk dapat hidup sejahtera dalam alam sekitar yang bersih dan sihat,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.
Mohideen Abdul Kader
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Zikrullah Ismail
Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS)
Abdul Razib bin Abdul Rahim.
Pengerusi Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sg. Kereh
Siaran Media, 4 Februari 2021