Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam dengan segera.
“Kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mendakwa bahawa amat sukar untuk mereka mendapatkan bekalan itu sejak dua minggu lalu, keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan pada masa hadapan. Telur ayam merupakan sumber protein termurah di pasaran.
Menurut laporan berita, pengeluar telur memilih untuk menyembelih ayam telur mereka sebelum mencapai kematangan dan dengan itu telah mengakibatkan kekurangan telur.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi baru-baru ini mengenal pasti kos makanan ayam yang tinggi sebagai bertanggungjawab terhadap kekurangan bekalan telur ayam. Mengapa mereka tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal dan mengambil tindakan bagi menanganinya?
Sekiranya penternak ayam telah memberi maklum balas, adakah Pasukan Khas ini berbincang dengan pihak pengeluar makanan tempatan mengenai cara bagaimana untuk menghasilkan makanan yang lebih murah menggunakan sisa isirong sawit memandangkan kos makanan adalah merupakan isu utama yang menjadi pertikaian? Terdapat banyak kajian yang berkaitan dengan penggunaan kek isirong sawit sebagai bahan makanan haiwan sejak 1980-an.
Selangor mengumumkan bahawa ia akan menerima pakai kaedah menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif berdasarkan penyelidikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu. Kaedah tersebut telah dilaksanakan di Kedah dan didapati telah mengurangkan kos makanan ternakan dengan ketara.
Tinjauan CAP mendapati telur ayam masih boleh didapati di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong, dan Batu Lanchang. Bagaimanapun, peniaga mendakwa sukar untuk mereka mendapatkan bekalan kerana kuantiti yang diperolehi daripada pemborong adalah lebih rendah berbanding peniaga di pasar.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 8 November 2022