Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah Baling menyiasat punca berlakunya banjir kilat di Kampung Ulu Legong di sini.
Kejadian itu telah menyebabkan kehidupan lebih 15 keluarga di kawasan berkenaan terjejas teruk dan banyak harta benda kepunyaan mereka musnah dan mengalami kerosakan.
Selain kampung tersebut, lima buah kampung lagi iaitu Kampung Siput, Kampung Batu 48, Kuala Kedua, Bukit Sebelah dan Kampung Baru turut menghadapi situasi cemas ketika masalah ini berlaku dua minggu lalu.
Penduduk kampung terbabit mendakwa keadaan itu berlaku berpunca dari kegiatan pembalakan di kawasan berhampiran. Kegiatan ini telah menyebabkan air sungai di kampung mereka dicemari sisa lumpur dan bertukar warna menjadi merah.
Masalah serupa pernah terjadi sebelum ini tetapi tidak seburuk sekarang di mana ada kalangan penduduk yang terlibat mengalami kerugian mencecah RM2,000 berikutan kerosakan dan kemusnahan harta benda.
CAP merasa kesal dan bimbang dengan kejadian ini dan berharap tindakan segera diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya.
CAP percaya jika masalah tersebut dibiarkan alam sekitar dan kehidupan penduduk-penduduk di enam buah kampung terbabit akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berwajib perlu dilaksanakan dengan tegas dan hukuman berat wajar dikenakan ke atas mereka yang menjadi punca tercetusnya kejadian tersebut.
CAP juga meminta Jabatan Perhutanan Kedah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penduduk di sini bahawa banjir kilat yang melanda kawasan itu berpunca dari kegiatan pembalakan. Laporan hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum punca sebenar masalah ini berlaku.
Kenyataan Media, 27 Januari 2016