Sokongan terhadap komuniti orang asal Marudi yang terjejas oleh projek karbon hutan

Sesi bantahan awam secara aman penduduk kampung 22 Jan 2025.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan SAVE Rivers, merakamkan solidariti mereka kepada komuniti orang asal dari Logan Entasan, Lobang Kompeni dan Sungai Brit yang terjejas akibat Projek Marudi Forest Conservation and Restoration. Kedua-dua organisasi menyokong sepenuhnya bantahan komuniti terhadap projek karbon hutan ini dan seruan mereka untuk mengukuhkan Hak Tanah Adat (Native Customary Rights – NCR) mereka, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan mereka.

Projek Marudi Forest Conservation and Restoration adalah projek kredit karbon hutan yang dikawal selia di bawah Forests (Amendments) Ordinance 2022. Projek ini terletak di dalam LPF/0008, sebuah konsesi ladang monokultur yang telah dilesenkan kepada Samling. Saiz LPF/0008 sendiri berjumlah 55,818 hektar, di mana 9,189 hektar daripadanya dilaporkan telah dibangunkan setakat Mac 2023. Daripada saiz asal LPF/0008, kira-kira 25,675 hektar akan diperuntukkan untuk projek karbon hutan.

Pada masa ini, projek ini sedang dalam proses pengesahan oleh Verra, sebuah badan standard kredit karbon antarabangsa. Semasa proses perundingan awam Verra, SAM dan SAVE Rivers (kedua-dua NGO alam sekitar) telah mengemukakan komen bertulis yang menyatakan bantahan dan kebimbangan mereka tentang projek kredit karbon hutan yang dicadangkan.

Pertama, kebimbangan utama NGO adalah projek yang dicadangkan ini melanggar NCR komuniti orang asal. Ini juga merupakan sebab utama kenyataan bersama ini untuk menyokong komuniti. Bantahan komuniti adalah berdasarkan penegasan fakta bahawa projek yang dicadangkan itu menceroboh wilayah tanah adat mereka. Tambahan pula, mereka juga telah menyampaikan kepada SAM bahawa mereka keliru dengan perundingan dan tinjauan yang dijalankan berkenaan dengan projek tersebut. Oleh itu, projek ini tidak melaksanakan Prinsip Izin Maklum Awal Bebas dan Telus (IMABT) (Free, Prior, and Informed Consent – FPIC) seperti yang dikehendaki oleh undang-undang antarabangsa.

Kedua, walaupun namanya, Projek Marudi Forest Conservation and Restoration, tetapi ia bukan sekadar projek yang hanya mejalankan pemuliharaan hutan.

Celine Lim, pengarah urusan SAVE Rivers menerangkan :

“Projek kredit karbon hutanlah yang membolehkan pencemar besar yang membeli unit kredit karbon itu untuk terus mencemarkan dan memburukkan lagi keadaan krisis iklim. Unit kredit karbon, pada asasnya, ialah permit untuk mencemarkan (permit to pollute). Ia memberi pembeli hak untuk mencemarkan dan membebaskan sejumlah karbon dioksida atau gas rumah hijau lain ke atmosfera.”

Lebih-lebih lagi, menurut NASA, sebaik sahaja karbon dioksida dilepaskan, ia boleh kekal di atmosfera sehingga 1,000 tahun. Apabila karbon dioksida terkumpul, suhu dunia akan terus meningkat, memburukkan lagi krisis iklim global. Oleh itu, satu-satunya cara untuk menghentikan pemanasan global ialah menghentikan pelepasan karbon dioksida yang berterusan ini. Inilah sebabnya kenapa projek kredit karbon ini yang dikatakan mengimbang balik pelepasan karbon dioksida (carbon offsetting) hanya berfungsi untuk memburukkan lagi krisis iklim sambil memberi manfaat kepada pencemar besar.

Pembelian kredit karbon membolehkan pembeli seperti syarikat minyak dan gas, penerbangan, makanan industri dan perniagaan tani atau negara kaya untuk terus melepaskan karbon dioksida dan menjalankan perniagaan seperti biasa, sambil mendakwa bahawa mereka telah mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net zero) mereka atau sekadar menunjukkan bahawa mereka telah melakukan sesuatu untuk membantu menangani perubahan iklim.

Meenakshi Raman, SAM presiden berkata:

“Pasaran karbon bukanlah penyelesaian kepada krisis iklim. Mereka penuh dengan masalah asas yang tidak boleh menjamin integriti alam sekitar dan melanggar hak orang asli dan orang asal.”

Kedua-dua NGO menyeru kerajaan Sarawak dan persekutuan untuk mengukuhkan Hak Tanah Adat Orang Asal dan pada masa yang sama, membatalkan Marudi Forest Conservation and Restoration memandangkan apa yang sudah diketengahkan di atas.

 

 

Meenakshi Raman                                                                 
Presiden                                                                        
Sahabat Alam Malaysia (SAM)                                    

Celine Lim
Pengarah urusan
SAVE Rivers

Kenyataan akhbar bersama SAM and SAVE Rivers, 24 Februari 2025

Klik di sini untuk baca “SAVE Rivers Submission Of Comments On Verified Carbon Standards: Marudi Forest Conservation and Restoration (version 2.0) Report”

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh komuniti orang asal Logan Entasan, Lobang Kompeni dan Sungai Brit.

KOMUNITI BANTAH PROJEK KARBON KREDIT OLEH SARACARBON SDN. BHD. DI KAWASAN WILAYAH TANAH ADAT (NCR)

Kami penduduk kampung dari Logan Entasan, Lobang Kompeni dan Sungai Brit telah membuat satu sesi bantahan awam secara aman terhadap projek karbon kredit syarikat SaraCarbon Sdn. Bhd. pada 22hb Februari 2025 di kawasan di hadapan rumah panjang Kampung Logan Entasan.

Kami membantah projek karbon kredit ini kerana ia dengan jelasnya akan membawa kepada risiko pencabulan hak tanah adat (Native Customary Right – NCR) kami. Projek karbon kredit ini dilihat sebagai sebuah cara baru yang mangancam hak dan merampas NCR kami.

Kami juga tidak bersetuju dengan tafsiran kerajaan dan syarikat mengenai sempadan “NCR”. Selagi hak tanah adat dan hak ke atas kehidupan kami tidak diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan, kami risau projek ini akan menyekat amalan-amalan tradisi di atas wilayah kami seperti memburu, mengambil hasil hutan dan bercucuk tanam

Kami juga tidak bersetuju sebab tiada penerangan secara telus dan tiada proses pemberian izin berasaskan maklumat awal, bebas dan telus (IMABT). Kami telah didatangi oleh pegawai dan konsultan dari syarikat SaraCarbon Sdn. Bhd., yang kami difahamkan merupakan anak syarikat Samling Sdn. Bhd., sejak tahun 2023 berkenaan projek karbon kredit di dalam kawasan License for Planted Forests (LPF) 0008. Penduduk kampung langsung tidak faham dengan penerangan pihak syarikat tentang maksud dan tujuan sebenar projek karbon kredit.

Pihak yang terbabit juga tidak menghormati adat istiadat penduduk dengan memasuki kawasan wilayah tanah adat untuk melakukan kerja-kerja sukatan tanpa persetujuan dan kebenaran dan tidak berbincang mengenainya dengan kami. Berhubung perkara ini penduduk kampung Logan Entasan telah membuat laporan polis pada 24hb Januari 2025 dan kampung Lobang Kompeni pada 11hb Februari 2025

Tambahan juga, projek ini juga menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di kalangan kampung-kampung yang terlibat kerana tiada dialog atau perbincangan secara menyeluruh terutamanya melibat hanya segelintir pihak sahaja.

Kami telah menghantar tiga surat bantahan:

1.  Surat Bantahan projek karbon kredit oleh SaraCarbon Sdn. Bhd di wilayah tanah NCR komuniti kepada SaraCarbon, Premier Sarawak, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, SUHAKAM, Bursa Carbon Exchange dan Verra yang bertarikh 28hb November 2024 dan ditandatangani oleh 319 penduduk dari 15 buah Kampung dari daerah Marudi.
2. Surat Bantahan projek karbon (Saracarbon) Samling di Kawasan Tanah Adat NCR (Pemakai Menua dan Pulau Galau) Kampung Lobang Kompeni, Marudi kepada Pegawai Daerah Marudi pada 11hb Januari 2025.
3. Surat Bantahan projek karbon oleh Saracarbon Sdn Bhd di wilayah tanah adat NCR Kampung Logan Entasan, Marudi kepada Pegawai Daerah Marudi dan SaraCarbon Sdn. Bhd. pada 20hb Januari 2025.

Jawapan daripada SaraCarbon Sdn. Bhd. terhadap surat bantahan 15 buah kampung yang bertarikh 27hb Januari 2025 menyatakan bahawa kawasan karbon projek tidak memberi kesan kepada penduduk kerana berada di atas tanah gambut dan tanah lembap. Tetapi, kawasan tasik atau Logan di situ adalah tempat kami mencari ikan sebagai sumber makanan dan pendapatan kami.

Melalui sesi bantahan awam ini, kami membantah sekeras-kerasnya projek karbon kredit di wilayah NCR kami. Kami menyeru agar pihak kerajaan mengiktiraf hak tanah adat kami dengan sepenuhnya yang telah dilindungi sepenuhnya oleh Perlembagaan Persekutuan dan keputusan mahkamah, yang telah mengiktiraf bahawa hak kami merupakan hak ke atas kehidupan dan hak ke atas harta.

 

24hb Februari 2025

 

Dikeluarkan oleh,

Penduduk kampung Logan Entasan, Lobang Kompeni dan Sungai Brit