Sungai Merbok diancam pencemaran: Nelayan dan penternak terjejas sumber pendapatan

Sungai Merbok.

Beratus nelayan termasuk penternak ikan dalam sangkar di Sungai Merbok dekat Sungai Petani, Kedah terjejas sumber pendapatan berikutan ancaman pencemaran yang semakin serius berlaku ketika ini.

Masalah tersebut berlaku disyaki berpunca dari sisa buangan dari bandar Sungai Petani, sisa racun dari kawasan sawah, sisa buangan kilang getah dan sisa buangan dari kolam ternakan udang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat dimaklumkan oleh nelayan-nelayan yang terlibat bahawa masalah yang berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu ini menyebabkan ikan, udang dan ketam di dalam sungai berkenaan mati dan semakin pupus.

Abdullah Baharom.

Seorang nelayan Abdullah Baharom, 58, berkata setiap kali berlaku pencemaran air sungai tersebut bertukar warna menjadi hitam. Masalah ini telah beberapa kali diadukan kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan yang diambil.

Menurut beliau, jika pencemaran tidak berlaku hasil tangkapan yang diperolehi ialah antara 20kg hingga 30kg sehari tetapi sekarang ia hanya mendapat 3kg atau 4kg sahaja sehari.

Sharudin Salleh, 46, pula memberitahu, ikan, udang dan ketam di dalam Sungai Merbok yang menjadi sumber tangkapan utama mereka kini diancam kepupusan akibat pencemaran tersebut.

Ia kesal walau pun masalah ini sudah lama menjejaskan sumber pendapatan dan kehidupan mereka namun tidak ada mana-mana pihak kerajaan yang bertanggungjawab mengambil tindakan bagi mengatasinya.

Sharudin Salleh.

CAP memandang serius kejadian ini dan menggesa kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jabatan dan agensi berkenaan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan pencemaran ke atas sungai tersebut.

Tindakan undang-undang yang tegas perlu dikenakan ke atas mereka yang terbabit manakala pemantauan yang berterusan oleh pihak berkuasa hendaklah dilakukan supaya kejadian ini tidak berulang.

CAP bimbang jika punca kejadian ini tidak ditangani dengan berkesan bukan saja alam sekitar akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang tetapi juga para nelayan dan penternak di sungai ini mungkin terputus mata pencarian.

CAP meminta pihak kerajaan mendedahkan hasil siasatan punca yang menyebabkan pencemaran Sungai Merbok ini berlaku dan tindakan yang diambil berhubung kejadian tersebut. Manakala nelayan dan penternak yang terjejas sumber pendapatan wajar diberi pampasan bagi meringankan beban kehidupan yang terpaksa ditanggung selama ini.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 15 April 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/