Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights Perlu Ditubuhkan

Gambar melalui The Sun

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kebakaran saluran paip gas pada 1 April di Putra Heights dan memastikan bencana seperti itu tidak akan berulang.

Persoalan yang timbul ialah mengenai apa masalahnya dan mengapa mekanisme keselamatan automatik bagi saluran paip gas itu gagal dicetuskan dan bagaimana saluran paip gas itu begitu dekat dengan kawasan kediaman. Penubuhan RCI ini akan membolehkan persoalan itu dijawab melalui penyiasatan yang menyeluruh dan bebas untuk menentukan punca sebenar kebakaran, dan memastikan sama ada kejadian itu disebabkan oleh kesilapan manusia, kecuaian, kegagalan peralatan atau perbuatan khianat.

Suruhanjaya ini juga mestilah menyiasat sama ada protokol keselamatan dipatuhi oleh Petronas, pengurusan stesen dan pihak berkuasa yang berkaitan. Jika didapati berlaku kecuaian atau salah laku, RCI boleh mengesyorkan tindakan undang-undang atau tatatertib. RCI juga boleh menilai sama ada peraturan keselamatan kebakaran, saluran paip dan stesen bahan api semasa adalah mencukupi. Sekiranya terdapat kelemahan, ia boleh mengesyorkan penguatkuasaan yang lebih ketat, langkah keselamatan yang lebih baik dan pembaharuan dasar.

Memandangkan tahap keprihatinan awam yang amat tinggi, RCI akan memberikan ketelusan dan jaminan bahawa kerajaan mengambil serius akan isu itu. Ini boleh mengelakkan maklumat salah dan spekulasi mengenai punca kebakaran.

Siasatan itu juga boleh menilai kecekapan pasukan tindak balas kecemasan dan mencadangkan penambahbaikan. Cadangan mungkin termasuk sistem pencegahan kebakaran yang lebih baik, latihan yang dipertingkatkan untuk pekerja stesen dan mekanisme tindak balas yang lebih pantas.

Kebakaran saluran paip Putra Heights membawa akibat yang sangat teruk, seperti kesusahan awam yang meluas, kecederaan, dan kerosakan kepada harta benda. Oleh itu, RCI boleh memainkan peranan penting dalam memastikan akauntabiliti dan meningkatkan standard keselamatan.  Siasatan oleh agensi seperti polis, Bomba (Jabatan Bomba & Penyelamat), DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), atau SKMM (jika berkaitan dengan isu keselamatan) tidak akan mencukupi.

Majlis Perbandaran atau pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab untuk kelulusan zon dan perancangan guna tanah. Jika saluran paip gas melalui berhampiran dengan kawasan kediaman, ini bermakna majlis tempatan meluluskan rancangan itu atau membenarkan pembangunan berhampiran saluran paip sedia ada.

Kami menggesa siasatan mengenai bagaimana saluran paip yang membawa gas asli yang sangat mudah terbakar itu boleh diluluskan begitu dekat dengan kawasan berpenduduk tanpa zon penampan. Laporan menunjukkan bahawa lot kedai dua tingkat dibina hanya 30 meter dari lokasi kebakaran.

Kebakaran dilaporkan memusnahkan 78 rumah, 10 rumah kedai, dan 225 kenderaan dalam lingkungan 290 meter dari tempat kejadian.

Kami turut mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan segera sebanyak RM5,000 untuk pemilik rumah yang rumah mereka rosak teruk dan RM2,500 untuk mereka yang kurang terjejas. Walau bagaimanapun, ini adalah satu jumlah yang kecil, berbanding dengan kerugian yang dihadapi yang sangat besar. Penduduk yang terjejas harus menerima pampasan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan mereka seperti sebelum kebakaran, dan kerajaan perlu mempercepatkan pemprosesan dokumen peribadi yang hilang dalam kebakaran.

Kami berasa amat bimbang mengenai akibat jangka panjang bagi mangsa yang mengalami keadaan melecur, yang mungkin memerlukan rawatan perubatan berterusan seperti cantuman kulit dan fisioterapi. Orang lain mungkin mengalami kesan daripada penyedutan asap dan pendedahan kepada gas yang panas, serta penderitaan traumatik.

Kebakaran saluran paip juga menimbulkan kebimbangan mengenai kesan alam sekitar daripada pelepasan gas asli, terutamanya metana gas rumah hijau (GHG) yang kuat. Malah apabila dibakar, metana bertukar menjadi GHG yang lain iaitu karbon dioksida. Sebarang kebocoran di sepanjang Saluran Paip Penggunaan Gas Semenanjung sepanjang 2,623 kilometer yang dibina antara 1984 dan 1993 boleh membawa kesan kesihatan jangka pendek dan panjang yang serius.

Kita mesti belajar daripada tragedi ini untuk mengelakkan tragedi yang akan datang. RCI boleh menunjukkan jalannya.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 3 April 2025