
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua pihak baik individu atau pihak berkuasa agar menangani dan menghentikan segera masalah pembuangan sampah haram yang sehingga kini masih berlaku di merata tempat di negara ini.
Akhbar tempatan pada Mei 2024 melaporkan masalah pembuangan sampah haram yang berlaku di seluruh negara, antaranya ialah isu tapak pelupusan haram di Kampung Jimah Lama, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pada Julai 2024, penduduk Semerak, Pasir Puteh, Kelantan mendedahkan kawasan berdekatan kubur turut menjadi tapak pelupusan sampah haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga membawa kepada pelbagai masalah pencemaran bau busuk dan menjadi tempat pembiakan tikus dan lalat.
Pada Disember 2024 pula penduduk Felda Kerteh 4, Dungun, Terengganu mendapati jalan di kawasan ladang kelapa sawit dijadikan tempat pembuangan sampah meskipun wujud papan tanda larangan membuang sampah.
Pada Disember 2024 juga penduduk Kampung Telok Serdang, Perling, Johor menyuarakan kebimbangan terhadap tapak pembuangan sampah haram yang dikesan berdekatan Sungai Skudai.Tapak pembuangan sampah haram seluas padang bola itu berada di pinggir Sungai Skudai yang sebelum ini sering dilaporkan tercemar dan dipenuhi dengan sampah sarap yang kebanyakannya longgokan beg plastik berisi sisa plastik.

Sebelum itu pada Oktober 2024, penduduk Kampung Tuah Jaya, Johor Bahru kecewa susulan kewujudan sebuah tapak pelupusan sampah haram berhampiran Sungai Danga yang menyebabkan pencemaran udara dan menjejaskan kesihatan awam. Beberapa lokasi di kawasan pinggir Sungai Danga dipenuhi longgokan sampah juga menyebabkan pencemaran bau busuk.
Tapak pembuangan sampah haram mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar, kesihatan dan komuniti memandangkan air larut resap yang terhasil daripada sisa sampah itu boleh menjejaskan sistem saliran yang berhampiran.
Kebanyakan kawasan tapak pelupusan haram ini juga banyak dipenuhi dengan sisa sampah yang terdiri daripada plastik dan kita semua maklum bahawa masalah pembuangan sisa plastik juga turut menjadi masalah kepada alam sekitar.
Bahaya plastik kepada alam sekitar dan kesihatan manusia adalah amat ketara. Plastik kini terdapat di semua sistem air. Plastik dalam bentuk lengkap menimbulkan ancaman besar kepada kehidupan marin dan dalam bentuk pecahan (iaitu mikroplastik dan nanoplastik) ia memasuki rantaian makanan dan akhirnya berkumpul di dalam badan manusia. Apabila dibakar, plastik melepaskan pencemar organik yang berkekalan, pelbagai pelepasan gas toksik, dan gas rumah hijau.
Laporan “Cleanest Countries in the World” yang diterbitkan oleh World Population Review, hasil kajian Universiti Yale, Universiti Columbia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendedahkan kedudukan Malaysia dalam penilaian kebersihan global jauh ketinggalan berbanding banyak negara lain.

Perkara ini amat memalukan memandangkan sejak di alam persekolahan lagi kita dididik untuk menjaga kebersihan baik di sekolah mahu pun semasa berada di luar sekolah. Generasi demi generasi telah terdidik dengan kepentingan menjaga kebersihan tetapi malangnya masih tidak diamalkan apabila dewasa.
Kita perlu mengambil iktibar daripada rakyat Jepun yang terkenal dengan sikap bersih yang berjaya memupuk budaya kebersihan sejak kecil melalui amalan membersihkan kelas secara berkumpulan.
Selain itu, usaha melalui kempen kebersihan yang berterusan dijalankan oleh pihak berkuasa dan komuniti juga tidak menunjukkan keberkesanannya disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat dan pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati menyebabkan munculnya tapak pembuangan sampah haram.
Pihak berkuasa digesa agar menguatkuasakan Akta 672 serta undang-undang kecil masing-masing dengan lebih tegas dalam menangani masalah pembuangan sampah haram ini memandangkan hanya mereka yang telah diberi lesen sahaja boleh menjalankan perkhidmatan sisa pepejal, kemudahan pengurusan sisa pepejal atau menjalankan perkhidmatan pembersihan awam.
Pengasingan sisa di punca, pengurangan janaan sisa, penggunaan semula bahan dan kitar semula bahan dengan selamat boleh diamalkan oleh semua pihak dalam usaha menangani masalah pembuangan sampah haram ini. Kempen kesedaran di institusi pendidikan dan komuniti perlu ditingkatkan.
Memasuki 2025 usaha membanteras tapak pelupusan dan pembuangan sampah haram mestilah ditangani dan dihentikan segera oleh semua pihak memandangkan tanggungjawab untuk memastikan negara ini bersih adalah terletak kepada setiap orang.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Surat Kepada Pengarang, 5 Februari 2025