Tidak Patuh Peraturan Penjarakan Sosial

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia dan Polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih gagal untuk mematuhi peraturan penjarakan sosial. Ini merupakan salah satu langkah daripada tiga asas pencegahan yang perlu dipatuhi di samping membasuh tangan dan memakai pelitup muka.

Tinjauan yang dijalankan di beberapa pasar basah di Pulau Pinang mendapati kebanyakan pembeli hanya memberikan tumpuan kepada pemilihan barangan dan tidak mempedulikan sepenuhnya peraturan penjarakan sosial.

Diketahui bahawa COVID-19 amat mudah menjangkiti dan berpotensi membunuh, penjarakan sosial juga dipanggil “penjarakan fizikal”, amat penting memandangkan ia mengurangkan risiko bersentuhan dengan corona virus. Penjarakan sosial bermaksud mengekalkan jarak selamat antara diri anda dan orang lain yang bukan datangnya daripada isirumah anda.

Untuk mengamalkan penjarakan fizikal atau sosial, kekalkan jarak 6 kaki (kira-kira 2 panjang lengan) daripada orang lain yang bukan daripada isirumah anda di ruang dalaman atau luaran. Ia merupakan langkah pencegahan untuk mengurangkan penularan corona virus COVID-19 bawaan udara.

Malaysia merekodkan kes COVID-19 baharu harian tertinggi ketika wabak ini melanda negara dengan 4,214 kes pada 1 Februari. Perkembangan ini membawa kepada kes kumulatif sebanyak 219,173 kes jangkitan dan 770 kematian di negara ini.

Berdasarkan kepada perkara ini, bilangan kes pandemik COVID-19 tidak dapat dikurangkan jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka yang gagal untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Oleh sebab itu, kami menggesa kerjasama orang ramai dalam usaha untuk mengurangkan bilangan jangkitan harian.

 

Kenyataan Akhbar, 2 Februari 2021