Tindakan yang terkecil sekalipun mempunyai kuasa jauh lebih hebat daripada pemikiran yang paling mendalam. Penuhi hari anda dengan tindakan dan kehidupan anda akan dipenuhi kekayaan dan kehidupan orang lain lebih bahagia.
VINCENT Van Gogh bukanlah seniman sepanjang masa. Malah beliau ingin menjadi paderi dan pernah dihantar ke kawasan komuniti pelombong di Borinage, Belgium pada 1879.
Di situ, beliau melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana pelombong terpaksa bertahan dalam persekitaran tempat kerja yang buruk dan gaji yang sangat rendah. Keluarga mereka kekurangan zat makanan dan bergelut untuk hidup.
Beliau berasa bimbang upah kecil yang diterima dari gereja membolehkannya menjalani kehidupan yang sederhana yang mengikut pandangan beliau kelihatan tidak adil.
Pada suatu petang Februari dalam musim dingin, ketika beliau sedang memerhatikan pelombong berjalan pulang ke rumah, beliau ternampak seorang tua berjalan terketar-ketar ke arah beliau di seberang jalan, berselimut kain guni yang sudah lusuh untuk memanaskan dirinya.
Van Gogh kemudian menghampar pakaiannya di atas katil, sambil mengenepikan satu persalinan pakaian untuk dirinya, dan memutuskan untuk memberikan baki pakaian yang ada kepada yang memerlukannya.
Beliau kemudian menyerahkan sepasang pakaiannya kepada orang tua tersebut dan memberikan baju kot luarnya kepada seorang wanita hamil yang kematian suami akibat gua runtuh.
Van Gogh kerap berlapar dan membelanjakan wang dari gereja yang diterimanya ke atas makanan untuk pelombong.
Apabila kanak-kanak dalam sebuah keluarga menghidap demam kepialu, walaupun beliau sendiri mengalami demam panas, Van Gogh mengusung katilnya dan memberikannya kepada mereka.
Sebuah keluarga kaya dalam komunitinya menawarkan bilik dan penginapan percuma. Namun Van Gogh menolaknya. Beliau percaya jika beliau mahu mereka mempercayainya, beliau perlu menjadi salah seorang dari mereka.
Dan sekiranya mereka belajar mengenai kasih sayang Tuhan melaluinya, beliau mesti cukup menyayangi mereka untuk berkongsi dengan mereka. Van Gogh cukup sedar akan perbezaan yang ketara di antara kata-kata dan tindakan. Beliau tahu kehidupan kita bersuara lebih lantang daripada kata-kata kita.