Tubuh jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan rungutan doktor pelatih

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang dengan laporan terbaharu mengenai seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang yang membunuh diri, ia merupakan kes kedua dalam tempoh dua tahun. Walaupun persekitaran kerja yang buruk dari segi psikologi profesional penjagaan kesihatan banyak ditonjolkan, siasatan kes bunuh diri doktor pelatih ini haruslah menyeluruh kerana kes buli terhadap pelatih dan kakitangan perubatan yang lebih muda (junior) mungkin hanya sebahagian kecil hal atau masalah yang kelihatan atau timbul daripada hal/masalah yang sebenarnya (yang mungkin lebih besar). Ia tidak boleh dikendalikan secara sedikit demi sedikit atau mengambil tindakan hanya apabila timbul masalah.

Kami menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menjalankan kajian di seluruh negara memandangkan kes buli doktor pelatih dan doktor junior tidak seharusnya terbatas kepada doktor di Pulau Pinang sahaja. Ia seharusnya termasuklah profesional penjagaan kesihatan lain seperti jururawat kerana mereka juga berada dalam persekitaran kerja dan sistem yang sama.

Kajian di negara seperti seperti Finland, Norway, Australia, Singapura, dan China menunjukkan peningkatan dalam kebimbangan, kemurungan, dan pemikiran ingin membunuh diri dalam kalangan pelajar perubatan dan profesional perubatan. Menjadi sesuatu yang berleluasa tidak bermakna isu itu boleh diabaikan atau dinormalisasi.

Terdapat lebih daripada 300,000 kajian yang didapati secara dalam talian berhubung perkara mengenai doktor yang membunuh diri dan penyakit mental. Ia menunjukkan bahawa kadar bunuh diri dalam kalangan doktor adalah antara yang tertinggi daripada sebarang kerjaya di Amerika Syarikat. Kes doktor bunuh diri adalah 28 hingga 40 orang bagi setiap 100,000 iaitu lebih daripada dua kali ganda daripada penduduk umum iaitu 12.3 bagi setiap 100,000.

Membuli dan waktu kerja yang panjang juga menjadi faktor yang tidak boleh diabaikan. Doktor sering berkerja lebih lama berbanding jadual tugas rasmi kerana mereka mungkin perlu melengkapkan laporan selepas waktu kerja dan perlu menyerahkan tugas itu kepada mereka yang bertugas pada syif yang seterusnya.

Banyak kemalangan jalan raya yang membawa maut dan tidak maut melibatkan profesional perubatan dan ini adalah kerana waktu bekerja yang panjang dengan rehat yang minimum di antara syif yang mereka hadapi. Data KKM menunjukkan antara 2014 dan 2016, terdapat 554 kemalangan berulang-alik ke tempat yang melibatkan profesional perubatan dan ini hanya kes yang dilaporkan. Adalah penting untuk menegaskan bahawa kemalangan jalan raya yang melibatkan profesional perubatan juga berlaku di negara lain dan sering dikaitkan dengan kurang tidur.

Tekanan dan kemurungan juga dikaitkan dengan bagaimana doktor dilayan dan bagaimana profesional mereka dan sistem institusi mengendalikan aduan mereka.

Pekerjaan profesional perubatan meletakkan seseorang itu dalam kedudukan unik yang mudah terdedah kepada tekanan kerana mereka berada di bawah tekanan yang berterusan dengan rasa tanggungjawab untuk menjaga nyawa orang lain adalah di tangan mereka. Mereka mungkin berasa gagal apabila pesakit di bawah jagaannya meninggal dunia walaupun telah mencuba yang terbaik. Bukan nyawa sahaja yang terkorban tetapi keperitan melihat keputusasaan ahli keluarga arwah yang kehilangan orang tersayang.

Satu lagi kemungkinan yang menyebabkan tekanan dan menyedihkan ialah seorang doktor mungkin disaman kerana kecuaian perubatan dan itu mungkin menamatkan kerjaya profesionalnya.

Dalam satu tinjauan terhadap doktor pelatih di Pulau Pinang, 88.5 peratus daripada mereka menilai tahap tekanan mereka antara tiga dan lima pada skala satu hingga lima. Amat mengejutkan apabila sebanyak 15.4 peratus menilai tahap tekanan mereka maksimum lima pada skala. Walau bagaimanapun, kami ingin menunjukkan kepada kajian yang menyimpulkan bahawa “sebilangan besar orang yang mungkin dianggap berisiko tinggi untuk membunuh diri tidak akan membunuh diri mereka sendiri, dan kira-kira separuh daripada semua kes bunuh diri akan berlaku dalam kalangan orang yang dilihat berisiko rendah”. Oleh itu, perlu diingatkan bahawa tahap tekanan yang rendah tidak bermakna seseorang tidak boleh mempunyai idea untuk membunuh diri.

Kekurangan jawatan tetap dan peluang untuk mengikuti latihan pakar di Malaysia adalah punca utama doktor berhenti dan mengalami tekanan akibat unsur ketidakpastian yang mereka cipta. Ini telah menjadi isu berterusan dan kebimbangan bagi doktor kerana tanpa jawatan tetap, mereka sukar untuk merancang laluan kerjaya mereka selain kehilangan faedah yang dinikmati oleh doktor tetap.

Tanpa menyelesaikan isu-isu tertunggak yang melibatkan doktor, peningkatan bilangan sekolah perubatan dan program perubatan selama ini akan terus menghasilkan graduan perubatan, melebihi kapasiti KKM untuk menyerap mereka ke jawatan tetap. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seharusnya membantu KKM menangani isu ini memandangkan kekosongan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan bagi doktor telah dibekukan sejak 2015.

Menurut KPT, purata 4,000 doktor baharu diperlukan setiap tahun untuk Malaysia mencapai sasaran seorang doktor bagi setiap 400 penduduk menjelang 2025, dengan menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi tempatan mempunyai jumlah kapasiti pengambilan seramai 4,820 pelajar. Ini bermakna kita masih memerlukan doktor tetapi hanya kekurangan jawatan tetap yang teruk, satu halangan yang akan terus membelenggu profesion perubatan untuk tahun-tahun akan datang jika tiada usaha bersepadu untuk menyelesaikannya.

Kami menggesa kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan perwakilan daripada doktor, jururawat, dan masyarakat awam untuk menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap doktor pelatih, beban kerja dan keadaan kerja mereka. Jawatankuasa ini perlu menerbitkan laporan dengan cadangan untuk memperbaiki keadaan kerja mereka dan memulihkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang wajar.

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 10 Mei 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/