Jangan biarkan pencemaran Sungai Skudai senasib Sungai Kim Kim : CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas pengusaha kilang yang dikenalpasti terlibat dengan pencemaran Sungai Skudai yang berlaku baru baru ini.

CAP bimbang dengan kejadian tersebut kerana ia bukan saja mencemarkan air sungai itu malah boleh menjejaskan kesihatan pengguna jika masalah ini dibiarkan berterusan.

Justeru, CAP meminta JAS mengenakan hukuman berat ke atas pengusaha kilang terbabit setimpal dengan kesan buruk yang berlaku akibat ancaman pencemaran tersebut. Siasatan dan pemantauan secara berterusan juga perlu dilakukan JAS supaya kejadian ini tidak berulang.

Seminggu yang lalu air Sungai Skudai dilaporkan berbuih putih dan hasil siasatan JAS mendapati sebuah kilang logam di Kawasan Perindustrian Senai Fasa III disyaki menyebabkan masalah ini berlaku.

CAP kesal sejak beberapa tahun kebelakangan kejadian pencemaran sungai di negeri ini kerap berlaku dan menimbulkan kebimbangan kalangan penduduk yang terlibat dan berharap masalah yang pernah melanda Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang sebelum ini tidak berlaku ke atas Sungai Skudai.

Kerajaan Johor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JAS) perlu menjalankan tinjauan dan melakukan pemereksaan lebih kerap ke atas semua kilang di negeri ini bagi memastikan tidak ada pengusaha yang menjadikan sistem pengairan sebagai kolam buangan sisa toksik.

CAP menegaskan, segala peraturan yang termaktub dibawah undang-undang yang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan tegas tanpa memberi sebarang pertimbangan kepada mereka yang melanggarnya.

CAP meminta pihak kerajaan mendedahkan kepada umum hasil siasatan dan tindakan yang diambil berhubung masalah pencemaran Sungai Skudai dengan segera.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna

Kenyataan Media, 13 Mei 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/