Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenapa undang-undang, institusi dan pihak berkuasa kita gagal untuk mengekang pengaliran wang haram, mengenal pasti kelemahan, dan membuat saranan bagi menghapuskan masalah ini. Berdasarkan dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Dana Matawang Antarabangsa, kumpulan pemikir berpangkalan di Washington Global Financial Integrity (GFI) meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga dalam kalangan 147 negara bagi pengaliran keluar kewangan haram.
Pembongkaran Macau scam oleh polis Johor pada bulan lepas mendedahan betapa seriusnya transaksi kewangan haram dan pengubahan wang haram di Malaysia. Orang ramai ditipu dan dipaksa untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank keldai yang berlapis berjumlah RM336 juta.
Wang yang diperolehi secara haram itu kemudiannya dilaburkan dalam Bitcoins dan membeli hartanah. Sejak Jun tahun lepas, kira-kira RM25 juta digunakan untuk membuat bayaran kemajuan bagi 100 kondominium dan unit komersial di George Town. Pihak berkuasa mesti menjelaskan bagaimana operasi sindiket berjalan tanpa dikesan lebih awal walaupun infrastruktur antipengubahan wang haram wujud.
Tedy Teow Wooi Huat, yang sebelum ini disabitkan kesalahan dan didenda kerana terlibat dalam transaksi kewangan haram termasuk pengubahan wang, didakwa menjadi sebahagian daripada sindiket yang menjalankan Macau scam. Beliau mempunyai sejarah menipu orang ramai dengan menarik perhatian dengan pulangan yang tinggi bagi pelaburan mereka.
Pada 2016, CAP menerima aduan daripada pengguna mengenai penipuan oleh syarikat Tedy, MBI International Sdn. Bhd. Dalam siasatan, kami mendapati bahawa ia satu lagi penipuan skim cepat kaya, di antara beberapanya di Pulau Pinang, mempromosikan skim piramid dan permainan wang sebagai pelaburan dengan pulangan yang luar biasa.
Kami melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Tetapi mereka gagal untuk bertindak dengan segera terhadap penipu, alasan yang diberikan ialah beberapa pihak berkuasa terlibat dan mereka perlu lebih banyak masa. Hanya dua tahun kemudian, pelaku jenayah disabitkan kesalahan dan didenda.
Sementara itu, orang ramai ditipu untuk menyerahkan wang simpanan sepanjang hayat mereka dengan harapan akan mendapat pulangan yang baik. Pasti ada sesuatu yang silap pada asasnya dalam sistem keadilan jenayah kita yang membolehkan orang ramai ditipu tanpa sebarang tindakan segera yang berkesan oleh pihak berkuasa untuk menghentikannya.
Pengubahan wang haram adalah masalah yang serius yang memberi kesan kepada sumber negara untuk pembangunan. Ia adalah satu fakta bahawa tanpa dana mana-mana negara tidak akan mampu untuk maju. Menurut laporan terbaharu 10 tahun oleh GFI bertajuk Illicit Financial Flows to and from 148 Developing Countries: 2006-2015, Malaysia kehilangan antara US$22.9 bilion (RM94.22 bilion) dan US$33.7 bilion (RM138.66 bilion) dalam pengaliran keluar haram dari 2006 hingga 2015. Sejumlah besar wang ini boleh menyediakan dana bagi pertumbuhan ekonomi mampan, mewujudkan lebih banyak kerja, mengurangkan ketaksamaan, dan menangani krisis perubahan iklim.
Sesetengah sumber wang haram adalah penyelewengan perdagangan, pemerdagangan manusia, rasuah, sindiket jenayah, dadah dan penyeludupan. Aktiviti jenayah ini tidak dapat dibendung kecuali dengan melumpuhkan aliran wang haram.
Wang haram sering didepositkan ke dalam negara yang menjadi syurga percukaian seperti Singapura di mana terdapat undang-undang kerahsiaan perbankan yang ketat berhubung pendedahan identiti pendeposit. Beberapa tahun lalu, Panama Papers mendedahkan bahawa lebih 2,000 warganegara dan syarikat Malaysia mempunyai akaun rahsia di Panama, mungkin untuk menyembunyikan keuntungan haram. Di Pakistan, bekas Perdana Menteri didakwa tetapi di Malaysia pihak berkuasa tidak mendedahkan hasil penyiasatan mereka, jika ada.
Memandangkan kepada betapa seriusnya perkara ini di mana kita kehilangan berbilion Ringgit yang diperlukan untuk pembangunan melalui pengaliran keluar wang haram, kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenapa undang-undang, institusi dan pihak berkuasa kita gagal untuk mengekang pengaliran wang haram, mengenal pasti kelemahan, dan membuat saranan bagi menghapuskan masalah ini.
Kenyataan Akhbar, 16 Februari 2021