Produk elektrik/elektronik tidak dikawal dan berbahaya di pasaran

Merujuk kepada kenyataan akhbar keluaran Berita Harian bertarikh 15hb Februari 2021 yang menyatakan  28 maut guna alat elektrik tiada kelulusan SIRIM, Suruhanjaya Tenaga.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786404/28-maut-guna-perkakasan-elektrik-tiada-kelulusan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut bagaimana produk elektrik tidak dikawal boleh terus diperolehi di pasaran.  Masalah ini sudah lama didedahkan oleh CAP.

Tinjauan kami mendapati banyak produk elektrik/elektronik yang membimbangkan tanpa label Suruhanjaya Tenaga-SIRIM seperti pengecas telefon bimbit, bateri power bank, soket dan sebagainya  telah membanjiri pasaran harian. Barangan seperti bateri yang boleh dicaj semula perlu dikawal kerana ia melibatkan arus ulang alik 240 volt. Adalah diketahui ia berpotensi tinggi meletup dan menyebabkan kebakaran bateri yang boleh dicaj semula.

Selain dari itu, yang amat membimbangkan pada masa ini, para pengguna dapat membeli barangan elektik melalui pembelian dalam talian (online purchase).  Barangan elektrik yang tidak diluluskan mungkin harganya lebih murah dan dapat menjimatkan sejumlah wang, tetapi boleh menyebabkan anda kehilangan nyawa, rumah atau nyawa orang tersayang.

CAP mengesyorkan langkah-langkah berikut:

  • EC dan SIRIMperlu meneliti semula dan mengembangkan senarai produk terkawal mereka sebab banyak produk elektrik yang tidak dikawal oleh EC terdapat di pasaran.
  • Pada masa yang sama, EC perlu membuat serbuan di pasaran yang menjual produk elektrik bermutu rendah yang mungkin menggunakan label jaminan keselamatan EC-SIRIM palsu.

CAP mengesa Suruhanjaya Tenaga harus berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk meningkatkan penguatkuasaan dan membatalkan lesen perniagaan jika terdapat penyalahgunaan undang-undang demi menjaga keselamatan para pengguna.

 

Kenyataan Akhbar, 16 Februari 2021