Usaha bersama perlu dalam memastikan sungai kita bersih

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa jijik dengan sikap sesetengah penduduk membuang sampah dengan sewenang-wenangnya ke dalam Sungai Pinang. Sampah-sarap yang terperangkap oleh penghadang sungai itu kemudian terpaksa dibersihkan oleh pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) setiap hari.

Kami menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat yang strategik di sepanjang Sungai Pinang untuk menangkap mereka yang membuang sampah dan jika boleh, memagar tebing sungai di mana mungkin, khususnya berhampiran kawasan kediaman.

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu menimbangkan untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekitar (EQA) 1974 untuk menaikkan jumlah denda dan tempoh penjara yang dikenakan. Pada ketika itu pun ia memerlukan usaha penguatkuasaan yang tulen untuk mengheret mereka yang bersalah dan mengenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Sementara itu, majlis tempatan mesti menyediakan kemudahan untuk penduduk membuang barangan besar seperti tilam dan perabot.

Membersihkan sampah-sarap di sungai bukan menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata. Orang ramai juga bertanggungjawab mengambil pemilikan harta awam dan berbangga dengannya. Contoh terbaik orang awam mengambil pemilikan dengan jayanya adalah di Taman Linear Sungai Ara yang bertindak sebagai salah satu ‘green lungs’ utama di kejiranan   tersebut.

Perkara itu tidak mustahil dicapai jika wujudnya usaha bersama antara penduduk dan kerajaan untuk menghapuskan punca masalah itu.

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat kepada Pengarang, 13 April 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/