Sahabat Alam Malaysia (SAM) tidak terperanjat apabila mengetahui bahawa satu tan sampah sedang dikutip dari Sungai Pinang setiap hari. Ini adalah isu pembuangan sampah yang telah lama berlarutan, antaranya kerana kekurangan tindakan penguatkuasaan yang agresif oleh kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Negeri Pulau Pinang dipetik media menyatakan bahawa situasi pencemaran itu boleh dikaitkan dengan sikap orang ramai yang terus membuang sampah secara sewenang-wenangnya. Kita sering mengaitkan pembuangan sampah dengan tingkah laku tetapi kita perlu mengetahui mengapa mereka berbuat demikian. Adakah ini soal kekurangan pendidikan, sikap acuh tak acuh atau adakah ia masalah pengurusan sisa pepejal dan infrastruktur yang tidak mencukupi?
Dasar Pengasingan Sisa di Punca Pulau Pinang 2016 telah dikuatkuasakan sejak Jun 2017. Mengapakah rakyat tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Kerajaan Tempatan ini yang mana mereka dikehendaki mengasingkan sisa kepada dua aliran – bahan kitar semula dan sisa am sebelum ianya dipungut oleh kontraktor pihak berkuasa tempatan?
Kami yakin masalah pembuangan sampah dapat ditangani dengan pendidikan, perancangan pengurusan sisa yang berkesan, kemudahan bagi pengumpulan sisa besar atau pukal, pelaksanaan yang cekap dan penguatkuasaan yang ketat.
Antara rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menangani pencemaran Sungai Pinang ialah membina longkang selari yang akan memerangkap sampah daripada dihanyutkan ke sungai tersebut. Langkah ini dan pembersihan sungai boleh membantu mengurangkan jumlah sisa tetapi pencemaran sungai masih akan berlaku jika kita tidak menghentikan pencemaran di puncanya.
Sisa pepejal dalam bentuk sisa besar dan sampah di sungai adalah mudah dilihat. Kita juga perlu peka dengan bahan pencemar lain seperti sisa organik, kumbahan, bahan kimia dan mikroplastik. Kita semua sedar akan akibat pencemaran sungai, dan oleh demikian mesti mengambil langkah untuk menangani pencemaran dengan berkesan.
Pertama sekali adalah penting untuk memahami apakah semua punca pencemaran Sungai Pinang. Sejak beberapa dekad yang lalu Kerajaan Pulau Pinang telah mengenal pasti punca pencemaran di Lembangan Sungai Pinang dan menyusun strategi untuk menangani masalah pencemaran termasuk pendidikan alam sekitar. Sudah tiba masanya kerajaan mula melaksanakan pelan tindakan ini secara agresif.
Meenakshi Raman
President
Sahabat Alam Malaysia
Kenyataan Akhbar, 12 April 2022