Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menyuarakan kebimbangan kerana Kementerian Pertanian meneruskan agenda agar Malaysia menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV), walaupun terdapat bantahan meluas daripada para petani dan pertubuhan masyarakat sivil.
Akta UPOV 1991 merupakan satu perjanjian antarabangsa yang zalim dan mengancam untuk menyerahkan kawalan sektor benih Malaysia kepada kepentingan komersial asing.Perjanjian ini akan menyebabkan harga benih menjadi lebih tinggi, meningkatkan risiko biopirasi (pencurian sumber genetik) tempatan, dan menghakis hak-hak petani secara sistematik, termasuk hak orang asal dan komuniti tempatan (IPLC).
Setiap persidangan Parlimen yang akan datang kini menjadi titik penentu yang kritikal—satu detik penting bagi komuniti yang hak-hak mereka diamanahkan kepada Parlimen untuk dijunjung dan dilindungi di bawah Perlembagaan.
Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta PNPV 2004) sedia ada telah mewujudkan keseimbangan yang teliti — ia melindungi hak pembiak baka sambil menjaga kepentingan para petani, orang asal dan komuniti tempatan (IPLC), kepelbagaian biologi, serta hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan.Melaksanakan UPOV 1991 akan menyebabkan undang-undang ini terpaksa dimansuhkan, seterusnya melenyapkan perlindungan penting dan menjejaskan kedaulatan Malaysia.
Langkah ini akan menjejaskan dan bercanggah secara langsung dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta undang-undang negara yang lain seperti Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017, Akta Biokeselamatan 2007, Enakmen Biodiversiti Sabah, Ordinan Pusat Biodiversiti Sarawak 1997 yang baru dipinda, dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pertama, Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk hidup—satu hak yang telah ditafsirkan sebagai merangkumi hak untuk mencari rezeki.Sekatan UPOV ke atas amalan tradisi petani untuk menyimpan, menggunakan, bertukar-tukar, dan menjual benih dari hasil tuaian mereka secara langsung mengancam sumber pendapatan komuniti tempatan dan orang asal yang bergantung pada amalan ini untuk mendapatkan benih dan menghasilkan makanan.Perkara 76(2) Perlembagaan juga menyatakan dengan jelas bahawa sebarang undang-undang yang mengatasi undang-undang dan adat anak negeri di Sabah dan Sarawak memerlukan rundingan dengan kerajaan negeri.Sebagai contoh, di Honduras dan Colombia, mahkamah Perlembagaan telah campur tangan dan mengisytiharkan penerimaan UPOV 1991 sebagai tidak berperlembagaan.
Kedua, Seksyen 15 Akta PNPV 2004 memberi kerajaan budi bicara untuk menolak pemberian hak pembiak baka bagi varieti yang boleh mengancam ketenteraman awam, moral, atau alam sekitar.Perlindungan ini adalah selaras dengan undang-undang negara yang lain, seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, yang menyekat penanaman tumbuhan tertentu.Walau bagaimanapun, penerimaan UPOV 1991 akan memerlukan pemansuhan Seksyen 15 kerana ia tidak selari dengan kerangka UPOV yang ketat.Memansuhkan Seksyen 15 akan membuka ruang kepada pembiak baka untuk menuntut hak monopoli ke atas varieti tumbuhan yang telah dilarang penanamannya di Malaysia — satu pelanggaran yang keterlaluan terhadap kedaulatan negara dan kepentingan awam.
Ketiga, Seksyen 12 Akta PNPV 2004 mengandungi perlindungan penting terhadap biopirasi sumber genetik tempatan, termasuk yang dimiliki oleh orang asal dan komuniti tempatan.Ia menghendaki pembiak baka mendedahkan sumber bahan genetik yang digunakan untuk membangunkan varieti baharu, serta mendapatkan persetujuan termaklum (prior informed consent) daripada orang asal dan komuniti tempatan jika varieti tumbuhan itu dibangunkan daripada varieti tradisional.Pembiak baka juga perlu menunjukkan pematuhan kepada Akta ABS 2017.Pemansuhan peruntukan ini akan membenarkan hak monopoli diberikan walaupun sumber genetik tumbuhan tempatan telah disalahgunakan — ini secara tidak langsung mengesahkan biopirasi dan menjejaskan hak orang asal dan komuniti tempatan.Perlindungan undang-undang yang serupa juga wujud di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah dan Ordinan Pusat Biodiversiti Sarawak, yang turut boleh terjejas.
Tambahan pula, di bawah Seksyen 12 Akta PNPV 2004, pemohon hak pembiak baka tumbuhan mesti menyerahkan dokumen yang menunjukkan pematuhan kepada undang-undang berkaitan organisma terubah suai secara genetik (GMO).Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Seksyen 15 memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menolak pemberian hak pembiak baka jika perlu bagi melindungi kesihatan dan alam sekitar.Walau bagaimanapun, kedua-dua peruntukan ini dianggap tidak selari dengan UPOV 1991. Pemansuhan kedua-dua seksyen ini akan mewujudkan percanggahan yang jelas dengan Akta Biokeselamatan 2007, yang bertujuan untuk mengurangkan kesan buruk GMO terhadap kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, alam sekitar, dan kepelbagaian biologi.Akta tersebut memerlukan penilaian risiko yang teliti dan kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang GMO boleh dilepaskan ke persekitaran.Tanpa perlindungan dalam Seksyen 12 dan 15, seorang pembiak baka mungkin diberikan hak eksklusif ke atas varieti terubah suai secara genetik — walaupun varieti tersebut mendatangkan risiko serius kepada kesihatan atau alam sekitar.
Cadangan pindaan kepada Akta PNPV 2004 untuk menyelaraskannya dengan UPOV 1991 akan mewujudkan konflik yang serius dan tidak boleh diterima dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara yang lain.Namun, kerajaan nampaknya tergesa-gesa untuk meneruskan perubahan ini tanpa rundingan atau justifikasi yang mencukupi.Adalah menjadi prinsip asas bahawa harta intelek (IP) tidak sepatutnya diberikan untuk perkara yang eksploitasinya akan melanggar undang-undang atau ketenteraman awam.
Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) secara konsisten menekankan bahawa Akta PNPV 2004 yang sedia ada sudah menyediakan sistem perlindungan varieti tumbuhan yang seimbang dan berfungsi dengan baik — sistem yang mengiktiraf hak pembiak baka dan pada masa yang sama hak para petani serta komuniti tempatan, di samping mempunyai perlindungan untuk menjaga kepentingan awam.Oleh itu, tiada keperluan untuk menerima kerangka UPOV 1991 yang tegar dan bersifat menyekat.[i]
Semakin ramai pakar kepelbagaian biologi dan sekuriti makanan telah memberi amaran bahawa UPOV 1991 tidak sesuai untuk keperluan negara-negara membangun.[ii] Sebaliknya, mereka menyarankan agar sistem alternatif bukan UPOV diguna pakai, yang boleh disesuaikan dengan keutamaan dan realiti pertanian negara masing-masing.
Oleh itu, kami menggesa Kerajaan dan Parlimen Malaysia agar tidak tunduk kepada tekanan untuk menyertai UPOV 1991 dan sebaliknya:
- Mempertahankan Akta PNPV 2004 sedia ada di Malaysia dan menghentikan serta-merta semua usaha untuk meminda atau memansuhkannya bagi tujuan penyelarasan dengan UPOV 1991;
- Mengadakan rundingan yang bermakna dengan para petani, komuniti orang asal, komuniti tempatan, serta rakyat dan organisasi prihatin, dan semua pihak berkepentingan terutamanya di Sabah dan Sarawak.
- Menjunjung norma-norma Perlembagaan Persekutuan, perlindungan sedia ada untuk para petani, dan memenuhi tanggungjawab perjanjian antarabangsa Malaysia di bawah ITPGRFA dan instrumen hak asasi manusia yang lain.
Kerajaan dan Parlimen mesti bertindak tegas untuk melindungi hak dan sumber pendapatan rakyat, menegakkan hak perlembagaan dan hak asasi manusia, serta mempertahankan warisan pertanian kita untuk generasi kini dan akan datang.
Rujukan lanjut:
[i] Potential Impact of UPOV 1991 on the Malaysian Seed Sector, Farmers and their Practices,
https://apbrebes.org/sites/default/files/2023-07/Potential%20Impact%20UPOV%20Malaysia_fin.pdf
[ii] A Compilation of Selected Literature on the Impact of the UPOV Convention, Alternative sui generis PVP Laws and the Effect on Farmers’ Rights,
https://www.apbrebes.org/sites/default/files/2020-12/APBREBES_UPOV-LitRev_EN_12-20_fin.pdf
Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
Kenyataan Media, 29 September 2025


