Persatuan Pengguna Pulau Pinang bimbang terhadap satu analisis terkini oleh “Environmental Working Group (EWG)” yang menekankan kelemahan struktur dalam sistem kawal selia makanan di Amerika Syarikat di mana lebih daripada 100 bahan kimia berkaitan makanan telah memasuki pasaran tanpa semakan rasmi oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (Food and Drug Administration – FDA), iaitu pengawal selia kebangsaan AS.
Bahan-bahan ini diperkenalkan di bawah kerangka “Generally Recognized As Safe” (GRAS), yang membenarkan pengeluar menentukan keselamatan ramuan tanpa notifikasi mandatori kepada pihak berkuasa. Walaupun sah di sisi undang-undang dan telah lama diamalkan, sistem ini menimbulkan persoalan penting mengenai ketelusan, pengawasan dan kebertanggungjawaban dalam sistem makanan moden.
Walaupun khusus kepada Amerika Syarikat, penemuan ini mempunyai perkaitan antarabangsa yang lebih luas. Dalam rantaian bekalan makanan global, keputusan kawal selia di sesebuah negara boleh member implikasi yang meluas. Memandangkan Malaysia mengimport sejumlah besar makanan diproses dan bernilai tambah, isu ini wajar diberi perhatian. Kebimbangannya bukanlah bahawa bahan-bahan ini semestinya berbahaya, tetapi ia mungkin tidak melalui penilaian bebas dan telus sebelum memasuki pasaran antarabangsa.
Rejim keselamatan makanan Malaysia, yang ditadbir oleh Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Kementerian Kesihatan, secara umumnya kukuh, dengan keperluan yang jelas mengenai pelabelan, bahan tambahan yang dibenarkan dan had bahan cemar. Namun begitu, seperti banyak negara lain, Malaysia sangat bergantung pada dokumentasi, pensijilan dan piawaian antarabangsa dalam menilai makanan import. Adalah tidak praktikal mahupun berdaya untuk menjalankan penilaian semula toksikologi secara menyeluruh bagi setiap ramuan.
Keadaan ini mewujudkan potensi titik buta. Ramuan yang diperakui sendiri sebagai selamat di negara asal, dan tidak dilarang secara jelas di bawah undang-undang Malaysia, boleh memasuki pasaran tempatan tanpa pemeriksaan bebas. Oleh itu, Malaysia mungkin bergantung kepada sistem kawal selia luar negara secara tidak langsung, walaupun kelulusan sendiri oleh industri dibenarkan.
Implikasi ini paling ketara dalam makanan yang terlampau diproses, berorientasikan kesihatan dan fungsi, yang lazimnya mengandungi bahan tambahan baharu, ekstrak tumbuhan dan sebatian bioaktif. Produk-produk ini dipasarkan atas dasar manfaat kesihatan yang ditanggap, namun bukti sokongan boleh berbeza-beza, khususnya dalam bentuk yang diperkaya atau diubah suai.
Walaupun banyak bahan tersebut berkemungkinan selamat, ketiadaan penilaian bebas menimbulkan ketidakpastian. Di Malaysia, keadaan ini diburukkan lagi oleh perbezaan dalam corak pemakanan, pendedahan kumulatif dan kepekaan populasi yang mungkin tidak dipertimbangkan dalam penilaian asal.
Yang penting, kehadiran sesuatu ramuan yang tidak disemak tidak semestinya bermaksud wujudnya bahaya kepada kesihatan awam. Keselamatan makanan adalah berasaskan risiko, dan banyak bahan adalah selamat dalam had tertentu. Isu teras ialah tadbir urus iaitu siapa yang menentukan keselamatan, berdasarkan bukti apa, dan dengan tahap ketelusan yang bagaimana. Apabila keputusan bergantung sepenuhnya kepada pengeluar, keyakinan awam mungkin terjejas.
Dari perspektif dasar, perkara ini menimbulkan kedua-dua cabaran dan peluang. Memperketatkan kawalan import serta mewajibkan penilaian menyeluruh sebelum pasaran boleh membebankan dan mengganggu perdagangan. Sebaliknya, mengekalkan keadaan sedia ada mungkin meninggalkan jurang pengawasan apabila bahan baharu muncul.
Pendekatan yang seimbang diperlukan. Memperkukuh keperluan pendedahan bagi makanan import, khususnya untuk ramuan baharu, akan meningkatkan ketelusan. Pengimport boleh diwajibkan menyediakan maklumat yang lebih jelas mengenai status kawal selia serta sama ada penilaian bebas telah dijalankan.
Memperluas pemantauan pasca-pasaran adalah satu lagi langkah praktikal yang lain. Pihak berkuasa boleh memantau produk yang berada di pasaran, menjalankan ujian bersasar dan bertindak balas terhadap kebimbangan yang timbul. Pendekatan ini adalah fleksibel, cekap dari segi sumber dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
Kesedaran pengguna juga penting. Walaupun tanggungjawab tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh individu, pilihan yang berasaskan maklumat boleh mengurangkan pendedahan kepada risiko yang tidak pasti. Pemakanan yang menekankan makanan segar dan kurang diproses berkemungkinan kurang mengandungi bahan tambahan yang kompleks. Pendidikan awam boleh memperkukuh perkara ini tanpa menimbulkan kebimbangan yang berlebihan.
Di peringkat antarabangsa, isu ini menekankan keperluan untuk penyelarasan dan kerjasama. Memperkukuh piawaian global serta menggalakkan ketelusan dalam proses kelulusan ramuan boleh membantu menangani jurang sistemik.
Kesimpulannya, penemuan EWG adalah relevan kepada Malaysia bukan kerana ia menunjukkan bahaya segera, tetapi kerana ia menonjolkan ciri-ciri struktur dalam sistem makanan global. Ketika Malaysia terus mempelbagaikan bekalan makanannya, kewaspadaan perlu dikekalkan. Meningkatkan ketelusan, memperkukuh pemantauan dan menggalakkan penggunaan yang berinformasi dapat mengurangkan risiko sambil mengekalkan manfaat pasaran terbuka.
Pengajaran yang lebih luas adalah jelas. Keselamatan makanan merupakan proses yang sentiasa berkembang dan perlu sesuai dengan teknologi, produk dan realiti kawal selia yang baharu. Mengekalkan sistem yang berwibawa, telus dan berasaskan sains adalah penting untuk melindungi kesihatan awam serta mengekalkan kepercayaan pengguna.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Surat Kepada Pengarang, 25 Mac 2026


