Taksonomi Kewangan Mampan yang Lebih Kukuh Diperlukan untuk Hutan, Biodiversiti dan Hak Masyarakat Kita

Usaha yang dilakukan baru-baru ini untuk mengemas kini Taksonomi Malaysia untuk Kewangan Mampan, sistem klasifikasi untuk projek berdasarkan kriteria alam sekitar dan sosial, tidak dapat melindungi hutan, kepelbagaian biologi dan hak orang asal dan masyarakat tempatan dengan secukupnya.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah mengambil bahagian dalam rundingan awam mengenai draf Taksonomi Malaysia untuk Kewangan Mampan yang diadakan dari Mac hingga April 2026 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

Walaupun terdapat sedikit kemajuan berbanding versi sebelumnya, taksonomi yang dicadangkan itu masih lemah dalam menangani perlindungan hutan dan menegakkan hak orang asal dan masyarakat tempatan.

Berdasarkan penyelidikan baharu[1] kami, SAM mempunyai tiga tuntutan utama untuk mengukuhkan lagi taksonomi ini bagi institusi kewangan.

1. Melibatkan orang yang sebenarnya terjejas

Adalah amat jelas bahawa para pengawal selia telah mengarahkan lebih daripada 30 soalan maklum balas kepada institusi kewangan, dengan memberi tumpuan besar kepada pertimbangan data dan pelaksanaan, sedangkan tiada satu pun soalan ditujukan kepada NGO atau masyarakat yang terjejas.

Kami menggesa Pasukan Petugas Taksonomi Malaysia untuk Kewangan Mampan untuk mengadakan perundingan khusus dengan orang asal dan masyarakat tempatan dan secara rasmi memasukkan wakil-wakil daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akar umbi dan pertubuhan berasaskan masyarakat (CBO). Institusi kewangan mestilah dikehendaki untuk menggabungkan CSO dan input masyarakat dalam usaha wajar bagi sektor berisiko hutan.

2. Menjadikan Prinsip Izin, Maklum Awal, Bebas dan Telus (FPIC) Mandatori

Draf semasa membenarkan syarikat untuk mendapatkan pembiayaan “hijau” jika mereka mempunyai dasar hak asasi manusia korporat yang luas, walaupun sesuatu projek tempatan tersebut melanggar hak masyarakat. Itu adalah satu kelemahan yang besar.

Kami menekankan bahawa perlindungan alam sekitar dan sosial perlu disemak di peringkat projek. Yang penting, institusi kewangan mestilah meminta pelanggan mereka menghormati hak orang asal untuk memberi atau menahan FPIC pada mana-mana peringkat perancangan dan pelaksanaan projek. Saluran yang jelas untuk orang yang terjejas melaporkan rungutan atau acah hijau (greenwashing) mestilah disediakan di setiap institusi kewangan.

3. Mempunyai Senarai Merah khusus Malaysia

Pengawal selia kewangan Malaysia berhasrat untuk menyelaraskan diri dengan piawaian ASEAN. Tetapi rangka kerja wilayah itu tidak mempunyai kategori “merah” yang jelas untuk menyekat pembiayaan bagi projek pertanian dan perhutanan yang bermasalah.

Kita memerlukan Senarai Merah khusus bagi Malaysia yang secara automatik menyekat pembiayaan bagi kesalahan terburuk. Ini termasuklah membersihkan hutan, mengeringkan tanah gambut dan menceroboh wilayah hak adat orang asal. Jika sesuatu aktiviti memusnahkan Kawasan Sensitif Alam Sekitar kita atau melanggar hak asasi manusia, institusi kewangan tidak seharusnya dibenarkan membiayainya dalam apa jua keadaan.

4. Berikan kekuatan kepada peraturan itu

Akhirnya, taksonomi tanpa penalti adalah semata-mata aspirasi. Bagi memacu perubahan sebenar dan bukannya hanya acah hijau, pengawal selia perlu memperkenalkan peraturan mandatori yang mengikat. Institusi kewangan yang salah mengklasifikasikan projek yang merosakkan alam sekitar atau mengabaikan risiko biodiversiti mestilah menghadapi sekatan yang serius. Masalah acah hijau ESG telah diiktiraf secara meluas, termasuk oleh Rangkaian Bank Pusat dan Penyelia bagi Menghijaukan Sistem Kewangan (NGFS) yang menekankan bahawa pengawasan kawal selia yang berkesan dan mekanisme pengesahan yang mantap adalah penting untuk menghalangnya.

Untuk ulasan penuh SAM mengenai Taksonomi Malaysia untuk Kewangan Mampan, sila lihat catatan blog kami di sini[2]. Kami menggesa pengawal selia untuk mempertimbangkan dan menerima pakai cadangan dalam SAM’s Regulating Finance for Forests and Community Rights in Malaysia (February 2026) report[3].

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Surat Kepada Pengarang, 19 Mei 2026

 

[1]  Sahabat Alam Malaysia. (26 Februari 2026). Regulating Finance for Forests and Community Rights in Malaysia. https://foe-malaysia.org/wp-content/uploads/2026/02/260226_SAM_Regulating-Finance-for-Forests-and-Community-Rights-in-Malaysia-report_F.pdf

[2] Sahabat Alam Malaysia, “SAM Comments: Safeguarding Forests and Community Rights in Malaysia’s Sustainable Finance Taxonomy,”, 15 Mei 2026, https://foe-malaysia.org/articles/sam-comments-safeguarding-forests-and-community-rights-in-malaysias-sustainable-finance-taxonomy/.

[3] Sahabat Alam Malaysia. (26 Februari 2026). Regulating Finance for Forests and Community Rights in Malaysiahttps://foe-malaysia.org/wp-content/uploads/2026/02/260226_SAM_Regulating-Finance-for-Forests-and-Community-Rights-in-Malaysia-report_F.pdf