Tebing Sungai Repoh Runtuh Perlu Ditangani Segera : CAP

Jalan berlopak dan air bertakung membahayakan keselamatan pengguna ke Pasar Besar Kangar.

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah tebing Sungai Repoh berhampiran Pasar Besar Kangar yang runtuh dan membahayakan pengguna jalan di kawasan tersebut.

Permukaan jalan merekah dan tidak rata akibat mendapan.
Lokasi Tebing Sungai Repoh berhampiran Pasar Besar, Kangar yang runtuh.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati kejadian yang melibatkan tebing sungai sepanjang 50meter itu telah menyebabkan jalan yang menjadi laluan orang ramai ke pasar berkenaan rosak dan berlopak. Masalah ini sudah lama berlaku dan sekarang tanah ditempat berkenaan semakin teruk mengalami keruntuhan dan mendapan.

CAP kesal walau pun kejadian ini sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya. CAP bimbang jika keadaan itu dibiarkan berlarutan bukan saja kesan keruntuhan dan mendapan tanah di sini akan merebak dan menjadi bertambah serius tetapi juga boleh menjejaskan keselamatan orang ramai pada masa akan datang.

CAP mencadangkan supaya pihak berkenaan membina tembok atau menanam pokok di lokasi yang terlibat bagi mencegah tebing sungai di sini terus runtuh. Jalan yang mendap serta berlopak perlu ditimbus dan diratakan permukaannya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku dan menjejaskan keselamatan para pengguna jalan tersebut.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Media, 3 September 2026