Golongan Epstein Malaysia Sudah Cukup Menjarah: Parlimen Mesti Bertindak

Kerugian RM13 bilion yang dialami oleh Lembaga Tabung Haji bukanlah satu tragedi terpencil. Ia merupakan satu amaran.

Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji mendedahkan amalan perakaunan kreatif, transaksi yang tidak telus serta membuat keputusan cuai melibatkan wang simpanan jutaan rakyat Malaysia. Lebih membimbangkan, ia mendedahkan bagaimana sesuatu sistem boleh membenarkan pihak yang diamanahkan mengurus institusi awam untuk mengambil risiko yang sangat besar, sedangkan rakyat biasa pula yang terpaksa menanggung akibatnya.

Inilah masalah lebih mendalam yang mesti dihadapi oleh Malaysia: kewujudan “Golongan Epstein” versi Malaysia yang telah berakar umbi iaitu satu rangkaian elit yang mempunyai hubungan politik, orang tengah, golongan profesional serta pihak institusi yang menjadi pemudah cara, yang mampu menukarkan akses dan pengaruh kepada kekayaan peribadi sambil melindungi diri mereka daripada sebarang bentuk akauntabiliti.

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah memberi amaran mengenai golongan ini dalam ulasan kami baru-baru ini berhubung skandal Tabung Haji. Pihak kerajaan, khususnya Parlimen mestilah memandang serius ancaman ini.

Lihatlah rekod yang ada. Malaysia telah mengharungi isu 1MDB, dengan liabiliti melebihi RM50 bilion; kemelut Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), yang menyaksikan kos melonjak daripada RM1.1 bilion kepada kira-kira RM12.4 bilion; dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion; serta dakwaan rasuah yang melibatkan sistem-sistem kritikal bagi keselamatan negara.

Masalahnya bukan sekadar berpunca daripada segelintir individu yang tidak berintegriti. Ia melibatkan rangkaian di sekeliling mereka: pihak perantara yang mengatur urus niaga, golongan profesional yang memberikan legitimasi, pegawai yang membiarkan salah laku berlaku, serta institusi yang gagal membendung penyalahgunaan kuasa.

Persoalan yang paling membimbangkan bukanlah sekadar siapa yang melesapkan wang itu?

Ia adalah siapakah pihak yang membolehkan perkara itu berlaku?

Pertimbangkan peranan Ketua Audit Negara.

Kontroversi Tabung Haji menimbulkan persoalan yang sangat tidak selesa mengenai pelantikan dan prestasi pejabat audit awam yang paling penting di negara ini. Tan Sri Dr Madinah Mohamad, yang berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari tahun 2017 hingga 2019, telah mengeluarkan pendapat audit tanpa teguran terhadap penyata kewangan Tabung Haji bagi tahun 2017. Keputusan itu kemudiannya dipersoalkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Ini menimbulkan persoalan asas: bagaimanakah seseorang yang mempunyai kelayakan profesional dan latar belakang teknikal nampaknya sangat tidak sepadan dengan tuntutan jawatan teknikal kritikal seperti itu boleh dilantik untuk mengetuai institusi audit tertinggi negara?

Pelantikan itu tidak mungkin berlaku begitu saja tanpa konteks atau faktor lain yang menyokongnya.

Seseorang telah mengesyorkannya. Seseorang telah meluluskannya. Seseorang telah menilai kelayakan calon. Seseorang telah menjalankan pemeriksaan yang berkaitan.

Apakah peranan yang dimainkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam? Apakah peranan yang dimainkan oleh Pejabat Perdana Menteri? Apakah yang sebenarnya diteliti dalam proses pelantikan dan pemeriksaan keselamatan?

Dan di manakah Institut Akauntan Malaysia?

Jika badan perakaunan profesional utama Malaysia komited untuk mengekalkan piawaian profesional, apakah tindakan yang diambil apabila timbul persoalan mengenai pejabat pengauditan tertinggi negara? Adakah ia menyuarakan kebimbangan? Adakah ia menjalankan siasatan? Adakah ia mempersoalkan bagaimana pelantikan sedemikian boleh dibuat?

Ini bukanlah persoalan yang didorong oleh dendam peribadi. Ini adalah persoalan mengenai akauntabiliti institusi.

Malah, ia menjurus kepada sesuatu yang lebih membimbangkan.

Mungkin sistem itu bukan sekadar gagal mengesan rasuah. Mungkin terdapat pihak dalam sistem itu yang mendapat manfaat daripada kegagalannya dan oleh itu, mempunyai kepentingan untuk membiarkan perkara itu berlaku tanpa campur tangan.

Itulah yang menjadikan Golongan Epstein begitu berbahaya.

Ia tidak semestinya merupakan sebuah pertubuhan sulit. Ia adalah satu sistem hubungan dan perlindungan bersama. Seorang individu dilantik. Seorang lagi meluluskan transaksi. Seorang lagi memberikan pengesahan profesional. Seorang lagi tidak mengemukakan sebarang pertanyaan. Seorang lagi melengahkan siasatan.

Tiada sesiapa pun perlu memberikan arahan secara terang-terangan.

Semua pihak sedia memahami mengenai bagaimana cara sistem itu berfungsi.

Masyarakat sivil Indonesia menggelar rangkaian seumpama itu sebagai “Jaringan Buruk” iaitu satu jaringan yang korup dan busuk, melibatkan orang tengah, pegawai, serta golongan profesional yang memudahkan berlakunya rasuah. Malaysia perlu berdepan dengan kemungkinan bahawa kita telah membentuk versi kita sendiri.

Bahayanya melangkaui isu Tabung Haji.

Kontroversi video Lingam pada 2007 telah mencetuskan dakwaan berkaitan pelantikan hakim dan pengaturan kes. Pada 2019, seorang hakim Mahkamah Rayuan membuat dakwaan serius mengenai campur tangan dalam badan kehakiman dan menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Dakwaan mengenai rasuah dan pakatan sulit juga dari semasa ke semasa melibatkan pihak polis serta institusi penguatkuasaan yang lain.

Setiap kes adalah berbeza. Namun, secara keseluruhannya, ia menimbulkan satu persoalan:

Apakah yang berlaku apabila institusi yang diwujudkan untuk memantau dan mengawal kuasa terdedah kepada rangkaian yang sepatutnya dipantau oleh mereka sendiri?

Bagaimana pula dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?

GLC menguruskan dana kekayaan awam yang sangat besar. Lembaga pengarah dan pihak eksekutifnya diamanahkan dengan wang rakyat Malaysia. Namun, apabila berlaku kegagalan yang dahsyat, beban kerugian akhirnya dipindahkan kepada pembayar cukai, sedangkan pihak yang bertanggungjawab mungkin masih mengekalkan kekayaan, rangkaian hubungan, dan status mereka.

Itulah ketidakadilan yang paling nyata.

Pekerja kilang yang menyimpan RM50 sebulan. Nelayan yang berusaha menyara keluarga. Pesara yang berkira-kira dengan setiap ringgit. Guru yang melakukan pekerjaan sampingan.

Golongan rakyat Malaysia ini tidak boleh mempertaruhkan wang simpanan mereka.

Namun, mereka yang menguruskan dana berbilion ringgit kadangkala boleh berbuat demikian.

Apabila sesebuah institusi awam kerugian berbilion ringgit, rakyat biasa yang menanggung akibatnya melalui cukai, peluang yang terlepas, perkhidmatan awam yang merosot, serta hilangnya kepercayaan terhadap kerajaan.

Oleh itu Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar satu lagi siasatan susulan satu lagi skandal.

Kita perlu membanteras rangkaian yang membolehkan skandal seumpama itu berlaku.

CAP menggesa semua Ahli Parlimen sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk melakukan lebih banyak lagi. Jauh lebih banyak lagi.

Parlimen mestilah berhenti menganggap setiap skandal sebagai peristiwa terpencil yang hanya dibahaskan untuk beberapa hari sebelum lenyap daripada perhatian umum.

Ahli Parlimen mestilah menuntut penjelasan mengenai pelantikan, perolehan, pengawasan profesional, kegagalan kawal selia, serta rangkaian individu yang berulang kali muncul dalam skandal-skandal terbesar negara.

Mereka mestilah memperkukuh pengawasan Parlimen terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi awam. Mereka mesti menuntut ketelusan dalam pelantikan jawatan kanan. Mereka mesti melindungi pemberi maklumat. Mereka mesti mendesak badan-badan profesional untuk bertanggungjawab atas kegagalan dalam kerjaya masing-masing.

Selain itu, mereka mestilah meneliti semula dan memperkukuh Rang Undang-Undang Sabotaj Ekonomi dengan segera.

Undang-undang itu perlu menetapkan bahawa tindakan memusnahkan kekayaan awam secara sengaja atau cuai melalui penyalahgunaan sumber awam sebagai satu kesalahan serius. Sekiranya terdapat bukti penglibatan secara sedar, akauntabiliti tidak boleh terhad kepada individu yang menandatangani cek semata-mata, malah mesti merangkumi pihak perantara dan pihak profesional yang membolehkan transaksi itu berlaku dengan penuh kesedaran.

Langkah-langkah pemulihan aset yang berkesan, pelucutan kelayakan profesional, dan sekiranya wajar dari segi undang-undang penarikan balik gelaran kehormat juga mesti dilaksanakan.

Sesuatu gelaran tidak boleh sekali-kali dijadikan perisai untuk mengelak daripada akauntabiliti.

Malaysia tidak memerlukan satu lagi slogan mengenai usaha memerangi rasuah.

Kita perlu mengubah insentif yang menjadikan rasuah sesuatu yang menguntungkan pelakunya.

Skandal Tabung Haji harus menjadi titik penentu yang tegas.

Parlimen mesti bertindak bukan sekadar bercakap kosong.

Setiap Ahli Parlimen, tanpa mengira parti, perlu bertanya: Siapakah yang membolehkan perkara ini berlaku? Siapakah yang mendapat manfaat? Siapakah yang tahu? Siapakah yang membiarkannya berlaku? Dan mengapa mereka dibenarkan untuk terus berbuat demikian?

Ini kerana jika Parlimen gagal menjawab persoalan-persoalan itu, kita akhirnya akan berdepan dengan satu lagi skandal seperti Tabung Haji. Satu lagi skandal seperti 1MDB. Satu lagi institusi yang dikosongkan dan dimusnahkan dari dalam.

Rakyat Malaysia yang gigih berusaha sudah cukup banyak berkorban.

Wang simpanan mereka bukanlah cip kasino. Institusi awam bukanlah wilayah kekuasaan peribadi. Kontrak kerajaan bukanlah ganjaran politik.

Dan kepercayaan orang ramai bukanlah sesuatu yang boleh dicuri oleh golongan berkuasa, dengan jangkaan bahawa pembayar cukai akan menanggung kerugiannya.

Golongan Epstein telah pun menikmati habuan mereka. Kini, Parlimen mestilah menamatkan segala-galanya.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 2 September 2026