
Program CAP di SJK (T) Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 11 Ogos 2026
Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bayan Lepas, Pulau Pinang merupakan sebuah sekolah yang mengutamakan kelestarian dengan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan. Sebagai permulaan, pihak sekolah menjalankan projek penuaian air hujan sebagai langkah penyesuaian terhadap kemarau, dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM) serta Water Watch Penang (WWP).
Bagi memupuk semangat mengurangkan, guna semula dan kitar semula, sekolah itu mempunyai sudut kitar semula yang disediakan di setiap bilik darjah supaya murid-murid dapat mempelajari cara mengasingkan sisa sejak usia muda dan setiap tandas di sekolah dilengkapi dengan pili air jenis tutup sendiri bagi mengelakkan pembaziran air.

SJK (T) Bayan Lepas turut mengendalikan projek kebun yang menanam pelbagai jenis tumbuhan dan herba di kawasan lapang sekitar sekolah. Di samping itu, sebagai langkah mempromosikan budaya sisa sifar, minyak masak terpakai dikumpulkan di dalam tong di sekolah untuk kegunaan semula, manakala penggunaan plastik sekali guna amat tidak digalakkan.
Segala inisiatif hijau ini telah membuahkan hasil, dengan sekolah itu berjaya meraih anugerah lima bintang dalam TASKAL (Pencapaian Program Transformasi Sekolah Ke Arah Lestari) pada 2025.
Bagi memupuk lagi gaya hidup lestari dalam kalangan murid dan guru, dua orang pegawai serta seorang pelatih daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengendalikan program sisa sifar di SJK(T) Bayan Lepas pada 11 Ogos 2026.
Program itu dihadiri oleh 85 orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6, yang terdiri daripada 47 murid lelaki dan 38 murid perempuan. Guru yang bertanggungjawab menyampaikan ucapan alu-aluan dan menjemput Pegawai Pendidikan CAP, Saraswathi Devi Odian, ke pentas untuk memulakan program.

Saras memperkenalkan topik perbincangan, iaitu “Melangkah ke Arah Sisa Sifar”, serta memberikan penerangan ringkas mengenai pengisian program pada hari itu. Beliau memulakan ceramahnya dengan menyentuh mengenai jenis-jenis sisa yang kita hasilkan setiap hari, termasuk sisa plastik.
Saras menegaskan bahawa jumlah sisa yang sangat besar yang kita hasilkan sedang menjejaskan planet kita. Beliau menggalakkan para pelajar untuk memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan sisa demi untuk planet yang lebih bersih, khususnya dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan memilih alternatif seperti bekas, botol air, dan beg yang boleh digunakan semula. Beliau turut menerangkan perbezaan antara sisa yang boleh dikompos dan yang tidak boleh dikompos sebagai persediaan untuk bahagian seterusnya.
Para pelajar mengikuti ceramah itu dengan penuh semangat dan interaktif. Saras menyentuh tentang manfaat kompos serta peranannya dalam mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah, selain menerangkan cara menukarkan sisa organik menjadi baja. Pada akhir ceramah, beliau berkongsi maklumat mengenai cacing tanah dan peranannya, dan para pelajar bergilir-gilir melihat cacing tanah hidup di dalam sampel kompos.
Seramai dua belas pelajar yang terpilih menyertai aktiviti amali yang seterusnya. Saras meminta para pelajar mengasingkan bahan bagi tanaman yang terdiri daripada tanah kebun, tanah merah, pasir, dan kompos serta menerangkan cara menyusun lapisan di dalam pasu tanaman: bermula dengan lapisan batu kerikil di bahagian dasar, diikuti dengan lapisan tanah kebun sebanyak separuh daripada nisbah keseluruhan, dan seterusnya mengisi baki ruang dengan campuran tanah merah, pasir, dan kompos dalam kadar yang sama rata.

Beliau menerangkan fungsi setiap komponen serta nisbah yang diperlukan untuk menghasilkan medium tanah yang subur. Seterusnya, Pegawai Pendidikan CAP, Theeban Gunasekaran, membimbing para pelajar cara mencampurkan bahan itu dan menunjukkan teknik penanaman yang betul.
Bagi sesi berikutnya, para pelajar dibawa ke bekas pengkomposan, di mana Saras menerangkan cara menyediakan bekas itu, termasuk keperluan untuk menyediakan lubang pengudaraan. Beliau menghuraikan secara terperinci mengenai lapisan-lapisan di dalam bekas kompos serta cara penjagaannya setelah diisi, selain jenis-jenis bahan buangan yang sesuai untuk dikompos, seperti bahan organik, sisa makanan, dan sisa kebun.
Theeban kemudian meminta para pelajar untuk turut serta mengisi bekas itu, bermula dengan lapisan dasar batu kerikil setebal satu inci untuk tujuan saliran, diikuti dengan lapisan pasir dan tanah kebun yang kaya dengan mikrob bermanfaat, sebelum diakhiri dengan lapisan sisa organik dan sisa kebun.

Program itu diakhiri dengan aktiviti penghasilan baja cecair, yang juga dikenali sebagai Farmer’s EM (Mikroorganisma Efektif). Penjelasan terperinci telah diberikan mengenai nisbah bahan-bahan serta manfaatnya.
Para pelajar ditugaskan untuk memotong bahan-bahan seperti pisang, betik, dan labu dan buah-buahan yang telah dipotong itu kemudiannya dimasukkan ke dalam bekas besar bersama telur untuk proses penapaian.
Akhir sekali, Theeban menunjukkan cara mengacau campuran itu, menerangkan jadual penyelenggaraan kepada para pelajar, serta menutup bekas itu dengan rapat.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid mengenai konsep sisa sifar dan amalan berkebun secara lestari. CAP berharap kesedaran ini bukan sahaja akan memperkukuhkan lagi usaha berterusan SJK (T) Bayan Lepas ke arah kelestarian, malah turut tersebar kepada keluarga dan rakan-rakan, sekali gus mewujudkan impak yang lebih meluas.

